Friday, July 30, 2004

Amin
 
DI KAMPUNG Sepinang Merah, waktu senja seakan namanya. Apabila matahari hampir terbenam, manusia mula pulang ke rumah. Si bapa yang telah lama mencari rezeki, dan si ibu pula menjaga anak-anak di rumah. Azan maghrib berkumandang. Anak-anak muda masih berkeliaran. Ada yang bermain bolasepak. Ada yang bermain gitar di tepi sungai. Ada yang melayan internet di cyber cafe. Malah, ada yang tertidur di dalam bilik tanpa mengambil pusing langsung tentang dunia luar. Amin adalah seorang remaja yang sangat bersopan santun. Dia tidak lupa akan tugasnya sebagai anak lelaki, untuk membantu bapanya di bendang. Bila tiba maghrib, badan disucikan serta tidak berlengah-lengah lagi untuk ke masjid.
 
Amin begitu berdisiplin, dan baik akhlaknya kalau nak dibandingkan dengan rakan-rakan sebayanya yang lain. - Di surau, Pak Itam menegurnya.
 
"Amin, lewat sikit ya kamu hari ini?" Pak Itam membetulkan serbannya.
 
"Saya terpaksa membuat susu untuk adik bongsu saya...." Amin tersenyum. Terserlah seri di wajahnya kesan daripada wudhuk yang sempurna. "Baguslah.... kalau tidak, selalunya kamu yang melaungkan azan!" sampuk Pakcik Hashim.
 
"................" Amin hanya mampu tersenyum.
 
Tidak lama kemudian, tibalah ayah Amin bersama-sama dengan ketua kampung, Encik Arshad. Bilal bangun dan membaca iqamah. Makmum seramai 16 orang bangkit dan mula membariskan saf. Amin turut berbaris, bersama-sama dengan para makmum yang lain.
 
"Rapatkan saf...." Tok Imam memberikan isyarat supaya para makmum merapatkan saf sembahyang. Takbir dilafazkan, dan para mukminin yang berada di dalam surau terus melakukan ibadah mereka yang wajib. Setelah selesai menunaikan solat maghrib berjemaah, Amin bingkas bangun mengikuti ayahnya pulang ke rumah. Walaupun rumahnya agak jauh daripada surau, itu tidak menjadikan alasan kepadanya untuk tidak berjalan ke surau. Dia suka berjalan ke surau, kerana dia tahu akan nilai pahalanya yang tinggi. Dinilai dari setiap langkah yang dilakukan untuknya.
 
"Kalaulah semua ummat Islam tahu akan pahala sembahyang berjemaah subuh di surau, mereka akan pergi sembahyang berjemaah di surau.... walaupun terpaksa merangkak...." Amin teringat akan pesanan Tok Guru di surau minggu lepas.
 
Dia faham, betapa manusia seringkali leka dan lalai. Semata-mata, manusia telah dihijabkan mata mereka. Katakanlah Allah s.w.t. ingin menunjukkan mereka dunia ini tanpa hijabnya. Alangkah gerunnya, dan akan bertempiaran larilah semua ummat manusia. Tetapi, iman itu sangat sukar untuk diperoleh nikmatnya. Hanya kesungguhan dan ketaqwaan para hambaNya sahaja akan menentukan kejayaan. AMIN akhirnya tiba di rumah. Ibunya telah lama menghidangkan makan malam. Kini, Amin dan ayahnya sudah tiba, dan mereka akan makan bersama-sama. Ibunya, bapanya, dirinya, adik-adiknya dan sedikit makanan sebagai rezeki hari ini. Amin bersyukur dengan kurniaan rezeki dari Allah s.w.t. untuk mereka hari ini. Amin, seorang remaja yang amat sukar dicari, lewat hari ini.... di negara maju bernama Malaysia.
 
AMIN, sekarang sudah pun berusia 19 tahun. Langkahnya adalah kerana Allah. Nafasnya ditarik dan dihembus demi keredhaan Allah. Laungannya, adalah kerana Islam. Perbuatannya adalah dengan kehendak rohani. Dia tidak berminat untuk meruntun nafsu. Tidak ada keinginan untuk menerima shawat. Amin, seorang remaja yang sukar ditemui di zaman sekarang. Di sebuah sekolah pondok di tanah arab, Amin belajar. Belajar tentang ilmu Al-Quran, Tasawwuf, Hadis, Syarak dan bermacam-macam ilmu kebaikan di dunia dan bekalan di akhirat. Amin sekarang menuntut dengan seorang Tuan Guru. Namanya, "Syeikh As-Syukr Ibnu Abdullah".
 
PADA suatu lewat hari, Amin berjalan seorang diri. Dia sedang berfikir tentang masyarakat di negara arab itu yang sangat berlainan dengan orang-orang di kampungnya, suatu ketika dahulu. Di kampung Sepinang Merah dulu, remajanya sangat suka berhibur. Tetapi, di pekan As-Syhur ini (dekat sempadan Jordan), keadaan sungguh aman dan tenteram. Tiada kenderaan seperti Proton Wira ataupun Mercedes Benz, tetapi manusia lebih suka menggunakan keldai dan baghal sebagai tunggangan. Amin hairan. Amin hairan dengan kesabaran mereka. Amin mendekati seorang pengembala kambing gunung.
 
"Assalamualaikum. Wahai pakcik yang mulia, apa khabar kamu hari ini?" tanya Amin dengan senyuman yang manis.
 
"Waalaikumsalam. Wahai hamba Allah yang muda belia, kenapa kamu membazirkan masa dengan berjalan-jalan seperti ini? Bukankah lebih baik kamu pergi beribadat kepada Allah s.w.t.? Hari kiamat kian hampir!" tegur orang tua itu.
 
"Saya sedang mencari diri."
 
"Buat apa mencari lagi? Bukti kekuasaanNya sudah ada merata-rata. Jangan kamu berdusta lagi! Pergi! Jangan ganggu kami melakukan kerja seharian kami!" gertak orang tua itu sambil merotan kambingnya lagi.
 
"....................." Amin tersenyum. Dia melangkah perlahan menuju pula ke pekan. Di sana ada ramai orang sedang membeli belah. Si penjual pula sangat ramai. Ada yang datang dari Iran. Ada yang datang dari India. Ada juga dari China. Paling ramai dari negara Arab itu sendiri.
 
"Ya Amin!....." panggil seorang lelaki. Lelaki itu adalah kawan baiknya di madrasah.
 
"Ya Hassan!..." Amin tersenyum. Langkahnya rapi, dan wajahnya ceria. "Apa khabar orang Malaysia ini?!" tanya Hassan ringkas.
 
"Saya sihat alhamdulillah. Bagaimana dengan kamu?"
 
"Saya tentunya sihat. Lihatlah diri saya? Bukankah saya ini besar dan tinggi?!"
 
"Ya benar, syukur kepada Allah!" Amin melihat Hassan yang sedang mendepakan tangannya.
 
"Apa kamu mahu beli hari ini, wahai Amin?"
 
"Saya tiada wang. Saya hanya mahu berjalan-jalan. Mencari diri...."
 
"Ya Allah! Rezeki kamu hari ini wahai sahabat! Saya mahu belanja kamu makan roti hari ini. Bolehkah?"
 
"Alhamdulillah..... rezeki daripada Allah tidak mampu ditolak, wahai Hassan!" Amin menepuk bahu Hassan, dan mereka berdua berlalu pergi. Sebuah warung sederhana besar menjadi pilihan dua orang remaja ini.
 
"Saya dengar, kamu sudah pun menghafal Al-Quran wahai Amin?" tanya Hassan sedikit berbisik.
 
"Alhamdulillah. Ianya nikmat yang sangat sukar saya perolehi. Demi Allah, saya takut ilmu ini ditarik balik. Maka, saya lebih rela membaca Al-Quran 24 jam daripada tidur yang melalaikan, tanpa mengingatinya semula!" Amin tersenyum. Seorang pelayan lelaki datang. Lelaki itu berserban labuh, jubahnya agak lusuh, dan gaya pakaiannya sama seperti pejuang mujahidin di Afghanistan.
 
"Wahai hamba Allah, apakah pesanan kalian?" tanya lelaki itu.
 
"Roti kosong dua. Air susu kambing dua gelas. Kuah kari satu mangkuk!" Hassan bersuara lantang.
 
"Terima kasih...." balas pelayan tersebut.
 
"Ceritakan aku tentang negara kamu wahai Amin!" bisik Hassan kemudian.
 
"Saya malu untuk menceritakan tentang dunia luar kepadamu, wahai sahabat..." Amin tunduk. Dia teringat akan kampungnya, bandar-bandar di sekelilingnya, dan juga ibu kota Kuala Lumpur. Yang penuh dengan dosa-dosa dan maksiat.
 
"Apa salahnya! Saya tak pernah ke luar negara! Saya sangat berminat untuk mendengar kisahnya!" sambung Hassan keras.
 
"Baiklah....." Amin tersenyum. Dia meletakkan sebuah kitab Hadis di atas meja di sebelahnya, dan mula memejamkan mata.
 
"Cepatlah...." Hassan tidak sabar.
 
"Malaysia adalah sebuah negara yang maju dan makmur." Amin memulakan bicara.
 
"Wah! Hebatnya?!"
 
"Tetapi, penuh dengan hiburan melampau, jenayah, perempuan tidak tutup aurat, alat-alat muzik yang sangat menyakitkan telinga, riba berleluasa, dan pelbagai jenis dan ragam manusianya.... mereka suka berdengki walaupun hanya kerana rumput rumah jiran sebelah lebih subur daripada milik sendiri." Amin membuka matanya. Dia agak hiba, dan wajahnya menggambarkan perasaan benci yang berbaur kesedihan.
 
"Bukankah ianya sama seperti negara-negara yang lain? Wahai sahabat?"
 
"Ya..... tapi, tidak seperti di negara ini. Negara yang aman dan damai. Tiada jenayah. Tiada hiburan yang melampau. Rezeki yang berpatutan. Rakyatnya tahu mengenai Islam, lebih daripada pengetahuan mereka tentang perihal dunia! Malahan, sanggup mereka mati syahid kerana agama mereka!" Amin membalas serius.
 
"Setahu saya, Malaysia juga ada agama rasminya. Islam bukan?"
 
"Ya, saya mengenali Islam adalah kerana agama ibu bapa saya juga Islam. Tapi, saya mengenali Islam, adalah kerana Allah s.w.t. yang memberikan hidayah serta NurNya kepada saya. Bukan kerana negara saya.... bukan kerana saya telah dilahirkan muslim." jawab Amin yakin.
 
"Saya setuju. Hidayah itu adalah dari keizinan Tuhan. Bukan daripada ketentuan kita. Namun, ilmu itu sangat penting bukan? Dakwah juga diperlukan?" Hassan mengambil sedulang makanan daripada pelayan tadi.
 
"Sebenarnya, negara saya sedang di dalam proses perubahan. Islam akan bangkit di mana-mana." Amin berhujah.
 
"Saya bersetuju wahai saudara ku...."
 
"Saya amat berharap, supaya negara tanahair tercinta akan berubah menjadi seperti negara ini. Mampu untuk mengamalkan hukum hudud. Tiada hiburan yang berunsur yahudi. Tiada riba dan rasuah. Penguatkuasanya bermaruah. Tiada jenayah. Dan rakyatnya bersatu padu kerana Allah, bukan kerana bangsa dan negara." Amin tunduk.
 
"Amin..... marilah.... mari kita makan...." Hassan tersenyum.
 
"Ya.... rezeki Allah tidak boleh ditolak.... Bismillahirrahmanirrahim..." Amin menyinsing lengan. Rezeki Allah dijamah, dan mereka makan makanan itu secukupnya. Tiada yang kurang, dan tiada yang lebih.
 
AMIN adalah seorang pelajar Malaysia di sebuah kawasan, di negara arab yang sangat subur permukaannya. Dunianya agak sederhana kalau nak dibandingkan dengan dunia luar yang lain. Hasil ekonominya hanyalah tanaman. Tiada pelajar Malaysia lain di sana, kecuali dirinya. Dia sudah mengembara daripada Malaysia ke Acheh. Dari Acheh ke Iran. Dari Iran ke Arab Saudi (Mekah dan Madinah) untuk melakukan umrah. Dari Arab Saudi ke Sudan. Dari Sudan, ke Jordan. Dari Jordan terus ke Palestin.
 
Amin sangat berhati waja. Tidak ada remaja lelaki di Malaysia yang sanggup melontar batu sama sepertinya di Palestin. Tiada remaja di dunia yang sanggup berpuasa setiap hari semata-mata kerana keyakinannya kepada agama Allah yakni, Al-Islam. Amin..... sangat sukar dicari. Bahkan, bagaikan dongeng di kala ini. Dia mungkin wujud, tetapi sukar dipercayai. Sukar dipercayai, kerana Amin berbangsa melayu. Sepatutnya, seorang hamba Allah yang zuhud itu wujud bukan kerana bangsanya. Tetapi, kerana hatinya. Percayalah, bahawa.... keimanan kita itu bukan diperolehi daripada keturunan. Berbaktilah kepada agama. Bersatu padulah kerana Allah. Saban hari saban malam, manusia hidup di muka bumi. Allah s.w.t. memberi mereka rezeki. Begitu juga dengan Amin.
 
Pada hari ini, Amin berjalan sendirian di tepian gunung. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Di tangannya seutas tasbih yang cantik diukir daripada tukang kayu tempatan. Wajahnya bersih, bersinar dengan cahaya keyakinan. Hatinya tenang, setenang langit ciptaan Allah Azza Wajalla. Matanya redup, kerana kepalanya lebih selalu tunduk ke bawah, seakan malu kepada Allah; pencipta langit dan bumi. Mulutnya terkumat-kamit berzikir, dan dia berjalan menuju ke rumah tok gurunya. Syiekh As-Syukr sedang menebang kayu di hadapan rumahnya. Peluh dikesat, dan dia tersenyum puas.
 
"Assalamualaikum wahai guru ku!" Amin menghampiri gurunya.
 
"Waalaikum salam wahai Amin, apakah hajatmu yang membawa dirimu ke mari?" tanya gurunya sambil bercekak pinggang.
 
"Saya ingin menziarah. Adakah salah wahai tuan guru?"
 
"Tiadalah salahnya..... mari.... mari ke sini dan bantulah aku!" tuan gurunya mengambil sebilah kapak, dan Amin tidak berlengah-lengah lagi. Dia mendekati Syiekh As-Syukr dan mula memotong bilah-bilah kayu dengan bersungguh-sungguh.
 
"Bacakan aku sepotong hadis...." Syiekh As-Syukur duduk di atas batu, dan mengesat peluhnya di bahu.
 
"Saya terlalu kerdil untuk membacakan hadis di hadapan tuan...." Amin tunduk.
 
"Masakan tidak wahai Amin? Engkau seorang murid yang sangat bijak...."
 
"Saya teringat satu hadis yang saya pelajari di Khartoum pada tahun lepas....."
 
"Bacakanlah....." bisik gurunya dengan ceria.
 
"Baiklah...." Amin menguntumkan senyuman. Dia berdiri dengan rapi, dan mula menarik nafas yang agak dalam.
 
"Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka, dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa tersebut." Amin tersenyum puas setelah selesai membacakan sepotong hadis.
 
"Benarlah wahai Amin...."
 
"Apakah maksud tersirat daripada hadis ini wahai Syiekh?"
 
"Hadis ini memberi penjelasan tentang kelebihan orang yang menjemput orang yang berpuasa berbuka malah disunatkan berbuat demikian serta dorongan supaya melakukannya."
 
"Dalam tindakan menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka terdapat seruan kepada kasih-sayang, persamaan dan bantu-membantu di kalangan umat Islam."
 
"Pahala seperti ini akan diganjarkan kepada sesiapa sahaja yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka walaupun hanya dengan sebiji kurma, seteguk air minum atau seteguk susu." pesan tuan guru dengan suara yang berdesir, bagaikan angin di gunung ganang.
 
"Terima kasih wahai tuan guru...."
 
"Kita sama-sama mendalami ilmu Allah. Ucaplah syukur kepada Allah s.w.t.!!" "Alhamdulillah..." "Alhamdulillah..." "Bukankah kamu berpuasa sunat pada hari ini wahai Amin?...." tanya gurunya.
 
"Ya..... bagaimanakah tuan tahu?"
 
"..............." Syiekh tersenyum lalu menepuk-nepuk bahu Amin. "....marilah, mari masuk ke rumah kami. Mudah-mudahan ada rezeki untuk kamu pada malam ini." Syiekh As-Syukr mengajak Amin masuk. Mereka berdua berjalan seiringan dan menuju ke sebuah rumah kecil di kaki gunung. Angin bertiup. Siang berlalu menjemput malam. Senja kian larut, dan maghrib kan tiba. Amin, terus menuntut di muka bumi kerana Allah. Baginya, beramal soleh bukan mengira tempat dan masa. Walaupun masih muda remaja, hidayah Allah itu amat penting baginya. Dia perlu mencari, kerana hidayah Allah hanya untuk mereka yang mencarinya. Bukan untuk mereka yang lari daripadanya. Wallahu'aklam......
 
HARI Isnin. Seekor burung bertenggek di atas dahan pepohon kurma. Angin sejuk bertiup perlahan. Pagi yang indah membawa arus perubahan, atau, adakah arus kecintaan? Amin sedang duduk di atas pangkin yang diperbuat daripada kayu. Hatinya tenang, dan dia sedang menghayati ayat-ayat Al-Quran yang sedang dibacanya di dalam hati.
 
"Assalamualaikum......" seorang pemuda lalu dan memberikan salam.
 
"Waalaikum salam......" jawabnya tenang dan senyumannya memancarkan cahaya keimanan. Amin terus menggerak-gerakkan tasbih. Dia berdoa dan bersyukur kerana diberikan kesihatan untuk dia terus beribadah kepada Allah pada hari ini. Amin takjub dengan kejadian alam. Malam yang silih berganti dengan siangnya. Matahari dan bulan tidak pernah leka menjalankan tugas. Amin sedar, ramai manusia telah mengkagumi ilmu-ilmu kajian saintifik. Namun, pada hakikatnya, manusia itu sendiri adalah bukti ketinggian Ilmu Allah.
 
"Kalau manusia boleh mencipta kereta, bayangkan betapa Allah berhak ke atas kereta tersebut. Kalau manusia mencipta robot, bayangkan betapa Allah lebih berhak ke atasnya. Jikalau manusia mencipta dan mencipta, sehingga tiada lagi bahan untuk diciptakan, percayalah; dunia sudah di hujung usia, dan manusia tidak akan mampu untuk menggunakan akal mereka demi keduniaan."
 
"Akal manusia adalah pelita di kala kegelapan. Allah s.w.t. menjadikannya demi untuk mereka berfikir dan mendekatkan diri kepadaNya. Bukan untuk kehidupan dunia semata-mata." Amin terangguk-angguk bagaikan faham dengan pesanan gurunya semalam. Dia tersenyum bila membayangkan betapa hebatnya ciptaan Allah di muka bumi ini. Tiada cacat celanya. Kalaupun ada kecacatan, itu semua adalah gara-gara keghairahan manusia menjadi punca. Sekali sekala, Allah berhak menurunkan ujiannya. Kemiskinan dan huru-hara, itu semua adalah ujian yang nyata.
 
Angin menggerak-gerakkan pepohon kayu nan rimbun di kaki bukit. Rumput rampai yang subur dinikmati oleh kambing-kambing gunung. Beberapa orang hamba Allah lalu lalang di hadapan rumah kecil tempat Amin menumpang hidup. Hidupnya sebagai seorang perantau. Mencari ilmu supaya hidup berguna di kemudian hari. Bukan hanya sebagai manusia, tetapi lebih kepada untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.
 
AMIN akhirnya bangun dan menuju ke sebuah rumah. Di rumah itu, Amin akan berbakti. Dia perlu menjaga kambing-kambing peliharaan tuan rumah tersebut.
 
"Wahai Amin, engkau tak pernah lewat untuk menjalankan tugas mu...." jerit seorang lelaki di hadapan rumah. Kawasan rumahnya luas, dan pokok-pokok anggur nan subur hidup.... terbentang luas di hadapan mata.
 
"Saya tidak berhak memungkiri janji. Saya berada di bawah kekuasaan Allah Rabbul 'Alamin..." Amin tunduk dan membalas sapaan majikannya dengan senyuman.
 
"Sungguh bertuah ibu dan bapamu....."
 
"Saya lebih bertuah kerana dilahirkan oleh mereka....." Amin berkata benar.
 
"Cepat, marilah masuk dan makanlah bersama-sama kami...." ajak lelaki bertubuh besar tersebut lagi kemudiannya.
 
"Adakah ianya rezeki dari Allah untuk saya, wahai tuan?" tanya Amin hairan.
 
"Semestinya..... malahan, rezeki ini juga adalah untuk semua manusia. Jangan malu-malu, masuk lah!" pinta Syiekh Radzi.
 
"Terima kasih tuan Syiekh....." Amin bersalaman dengan tuannya.
 
"Sama-sama..... saya gembira jika kamu mahu menjamahnya...."
 
"Rezeki Allah tidak mampu saya tolak wahai tuan Syiekh....."
 
"Benar..... benar, benar! Benar kata kamu wahai Amin....." Syiekh Radzi berjalan seiringan dengan Amin dengan hati yang gembira. Seketika, ruang tamu yang besar itu dilihat oleh Amin seakan-akan istana. Memang benar, bahawa Syiekh Radzi merupakan seorang peniaga berjaya di Bandar As-Syams, Jordan. Bandar yang kurang ternama, namun cantik dan segar mata memandang. Syiekh Radzi juga memiliki binatang ternakan yang banyak, dan ladang yang besar. Pekerjanya sahaja sudah mencecah hampir 100 orang.
 
"Silakan....." seorang gadis cantik datang menghampiri Amin.
 
"Ya Allah, siapakah anda?" Amin terlompat ke kanan. Hatinya berdegup kencang.
 
"Inilah anak saya..... namanya Sumayyah...." Radzi tersenyum. Amin menggelengkan kepalanya dan tunduk menjaga pandangan. Masakan tidak? Gadis bernama Su'ayyah itu tidak langsung bertudung. Apatah lagi berselendang? Malah, hanya memakai T-Shirt dan berseluar jeans.
 
"Apakah kamu malu wahai Amin?" tanya Syiekh Radzi.
 
"Saya memohon maaf..... lagipun, saya tidak biasa dengan ahli keluarga tuan...." bisik Amin tenang. Dia pernah melalui kes yang serupa semasa di kampungnya dulu. Dia faham, zaman sudah berubah. Sekarang bukan lagi zaman seperti zaman Rasulullah s.a.w. Mereka semua sudah ada TV dan komputer. Masakan anak-anak muda tidak terpengaruh dengan budaya kuning? Amin dan Radzi akhirnya duduk di atas sofa. Makanan pagi dihidangkan dan mereka berdua makan bersama.
 
"Ceritakan kepada aku tentang perjalanan kamu wahai Amin...." tanya Radzi berkobar-kobar.
 
"Saya tiada apa-apa pengalaman menarik. Kecuali ketika saya sedang menaiki sebuah lori dari Parsi, hinggalah ke Iraq......" terang Amin jujur. "Apakah pengalaman engkau itu sungguh menarik, wahai lelaki yang jujur?" tanya Radzi.
 
"Ya..... ketika saya menaiki kenderaan itu, saya telah dipertemukan dengan seorang askar Russia. Askar terbabit meminta supaya saya memberikannya 100 dolar. Jika tidak, saya akan diturunkan di tengah-tengah gurun. Bukan saya sahaja, malahan ramai lagi yang diminta untuk melakukan perkara yang serupa...."
 
"Ya Allah..... alangkah malangnya nasibmu wahai Amin!"
 
"Ya.... tetapi, saya sempat berdoa kepada Allah dan secara tiba-tiba, askar Russia itu melarikan diri tanpa bercakap sepatah perkataan pun kepada kami...." Amin mengunyah roti bakar dengan perlahan-lahan.
 
"Wah!!?.... apakah yang berlaku...."
 
"Sebenarnya, segerombolan pengawal sempadan datang untuk memeriksa kenderaan kami. Askar Russia itu melarikan diri kerana, kerja penipuannya sudah dikesan oleh pemeriksa kenderaan itu tadi." terang Amin dengan jujur.
 
"WAAh! Patut lah!.... hahahaha!" Radzi ketawa berdekah-dekah. Tergambar kegembiraan di wajahnya.
 
"Ya, begitulah....." Amin tersenyum.
 
"Ceritalah lagi...." sela Radzi.
 
"Ya....." Amin menganggukkan kepalanya.
 
"Ceritakan kepada aku bagaimana keadaan rupa muka bumi di Khartoum, Sudan?"
 
Amin menghela nafas. Dia melontarkan pandangannya ke luar rumah. Dia cuba menggambarkan bandar Khartoum yang 100 kali lebih kecil dari Kuala Lumpur. Bandar yang 1000 kali lebih dhaif dari Johor Baharu. Amin mula membuka bicara.....
 
"Bandarnya terletak di antara dua sungai nil. Nil keruh dan nil jernih. Bandarnya agak besar, tiada banggunan tinggi dan universiti terkemukanya termasuklah; universiti khartoum dan juga universiti afrika. Ramai ulama terkenal belajar di sana. Rakyatnya berbilang kaum. Ada arab badwi. Ada juga arab mesir. Ada yang dipanggil suku sakat Al-Mahdi. Dan ramai juga orang-orang yahudi di sana....."
 
"Saya dengar, Amerika pernah mengebom beberapa banggunan di sana. Benarkah?..."
 
"Ya.... saya sudah melawat beberapa banggunan tersebut. Salah satu daripadanya ialah sebuah kilang membuat ubat-ubatan. MasyaAllah, alangkah hinanya tentera Amerika itu. Mereka hanya mahu memusnahkan bekalan perubatan di negara Islam itu, dan sengaja melakukan porak peranda. Ramai kanak-kanak yang masih kecil tanpa makanan di sana. Rakyat mereka sangat kuat bersabar. Saya sungguh terharu...."
 
"Tentulah ada hikmah yang Allah berikan...." Radzi turut terharu.
 
"Saya sempat menziarah beberapa tempat dan makam mereka yang telah gugur syahid di sana. Alangkah beruntungnya mereka...." Amin bertenaga.
 
"Ya..... saya juga bercita-cita untuk mati di jalan Allah...."
 
"Semoga kita sama-sama gugur syahid....." Amin tersenyum.
 
"InsyaAllah...." "Amin......" Amin meneruskan perbualannya. Daripada pengalamannya mengembara di Malaysia, hinggalah pengembaraannya ke benua Asia, Arab dan Afrika. Amin benar-benar mencontohi sifat Salman Al-Farisi r.a. yang suka mengembara mencari sinar keredhaan Ilahi. Itulah sifat lelaki yang mewarisi kepahlawanan Islam. Bukan sifat lelaki yang materialistik. Bukan sifat lelaki yang meruntun nafsu syahwat. Lelaki itu seharusnya bijak memilih jalan-jalan yang diredhai Allah. Bukanlah mencari hiburan, dan keegoan kehidupan semata-mata. Percayalah, jalan yang paling selamat ialah dengan memberatkan akhirat tanpa melupakan kepentingan duniawi Hari ini hujan turun membawa rahmat.
 
Amin sedang duduk di gua kecil batu sambil memerhatikan kambing-kambing jagaannya berada di dalam kawalan. Dia mendongak ke luar dan tersenyum, memikirkan betapa Allah s.w.t. sangat menyayangi seluruh insan di muka bumi ini. Air sungai mengalir tenang tidak jauh dari padang rumput di hadapannya, dan kambing-kambing gunung itu terus mengunyah-ngunyah walaupun dibasahi hujan renyai. Amin teringat kepada ibu kesayangannya. Seorang ibu yang penyayang, dan tidak pernah leka memberikan nasihat kepadanya suatu ketika dahulu. Walaupun jauh di mata, namun kasihnya kepada ibu tidak pernah hilang daripada jiwanya yang tulus suci. Dia tersenyum, namun matanya bergenang.
 
Di dalam kepahitan, adanya kemanisan. Tiada hidup yang dapat memperlihatkan manusia itu senantiasa bahagia. Hanya yang disayangi oleh Allah sahaja berhak menerima ujian pahit dan manis. Amin sedar, dia sedang diuji dengan pelbagai ujian kerana kasih sayang Allah kepada hamba-hambanya.
 
"Min, mak nak kamu belajar bersungguh-sungguh ya nak? Walaupun keluarga kita ini miskin, tapi biar hati kita penuh dengan ilmu akhirat. Tiada sebab kenapa kita tidak boleh berjaya ya?" ibunya pernah memberikan nasihat ketika dia masih kecil dan bersekolah di sekolah rendah.
 
"Kenapa Min mesti pergi ke sekolah Maahad ibu?" tanya dirinya suatu hari apabila ditukarkan ke sekolah pondok sewaktu usianya masih kecil. Hajat di hati mahu bersama-sama dengan rakan seperjuangan di padang permainan. Namun, sudah ditakdirkan dirinya mendapat rakan-rakan lain yang berlainan usia. Mereka mempelajari Al-Quran, Hadis dan pelbagai subjek-subjek matapelajaran ukhrawi. Amin ikhlas menuntut, demi Allah dan keluarganya yang dicintai.
 
"Ayah tak ada duit nak belikan kamu segala perkakas sekolah Min. Elok saja kamu bersekolah di Maahad. Di sana, pakcik kamu boleh tolong tengok-tengokkan kamu. Lagipun, dia seorang ulama' yang terkenal di Kelantan." cadang ayahnya suatu ketika setelah dirinya cuba meminta agar diteruskan nasibnya belajar di sekolah biasa.
 
"Ibu nak lihat suatu hari nanti, anak ibu menghafal Al-Quran. Bijak berbicara dengan nas-nas Al-Quran, Al-Hadith dan juga mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w. tau?"
 
"Ibu juga nak lihat, Amin berjaya menjadi seorang dewasa yang baik budi pekerti. Menghormati orang lain, dan bersifat pemalu. Jangan tinggikan suara dengan orang, dan jangan berkelakuan buruk kerana perlakuan buruk itu adalah ciri-ciri syaitan."
 
"Ayah pula sukalah jika Min berjaya mengharumkan nama Islam, bangsa dan negara jika bisa menakluk dunia dengan ayat-ayat suci Al-Quran. Teruskanlah merantau, agar segala pengalaman itu akan menjadi pedoman buat kamu di suatu hari nanti." Amin tunduk ke bawah. Batang ranting diukir-ukir ke atas pasir yang menjadi lantai setia si gua Al-Abkhi.
 
Air matanya dikesat dan dia masih tersenyum lemah tidak bermaya. Sudah hampir setiap hari dia berlapar tanpa makanan. Dia hanya mampu berpuasa sunat. Upah mengembala kambing masih belum diperolehi. Syiekh Radhzi pergi keluar negara menguruskan perniagaan. Tiada orang lain yang sangat baik dengan dirinya melainkan tuan Syeikh. Hanya kadang kala dia mampu mendapat ihsan daripada Tuan Gurunya di Palestine. Itupun kalau beliau datang ke pekan tempat dia sedang meneruskan hidupnya sekarang. Dia bangkit dan mahu turun ke sungai. Dia mahu mengambil air sembahyang. Dia ingin melakukan solat sunat sementara adanya waktu lapang.
 
Alpine2
 
##Blues ke AkU##

No comments: