Wednesday, February 04, 2004

Setiaku Di Sini(3)
Beg sekolah dicampakkan kasar ke atas katil. Pantas Shida menukar bajunya. Kemudian dia turun dari bilik ke ruang makan dengan kegeraman pada Anuar yang masih belum padam.

"Masam saja anak ummi hari ini. Gaduh dengan boyfriend ke?" Zaleha menegur mesra.

"Ish ummi ni, mana ada. Syida tengah tension lah. Ummi masak apa hari ini?" Syida bertanya manja. Serta merta kegeraman yang menyelubungi dirinya itu hilang bersama tawanya.

"Gulai ketam kegemaran Syida lah." Zaleha menjawab.

"Eii bestnya ummi. Sayang ummi!" Syida menerpa Zaleha dan memberi satu kuncupan mesra di pipinya. Kemudian Syida terus melangkah laju ke meja makan.

Zaleha hanya melihat telatah anak kesayangannya dari jauh. Hatinya terhibur.Keriangan Syida buah hati pengarang jantungnya itu menyebabkan dia lupa penderitaan yag pernah dihadapinya dahulu.

***************

"Sampai hati abang buat Leha macam ini bang. Abang kejam!!" Zaleha hanya tersedu-sedu menangis. Di hadapannya Faruk berdiri bersama Hamidah.

"Siapa yang kejam? Aku ataupun engkau? Siapa yang mengkhianati cinta kita ini? Siapa lagi kalau bukan kau!" Faruk bersuara kasar. Zaleha hanya menangis sayu.

"Sudahlah Zaleha. Aku akan berkahwin dengan Hamidah. Aku sudah bosan hidup dengan kau. Mulai hari ini aku ceraikan kau dengan talak satu."Faruk bersuara lantang dan menuding jarinya kepada Zaleha. Hamidah hanya tersenyum melihat keruntuhan sebuah mahligai sepasang suami isteri itu.

"Abang... Sampai hati abang buat Leha macam ini. Kasihanilah Leha bang, kasihanilah anak kita bang." Zaleha terus menangis meminta simpati sambil mengusap-usap perutnya yang semakin membengkak itu.

"Anak kita? Hei Zaleha. Budak dalam perut kau tu bukan anak aku tahu tak. Entah jantan mana yang kasi bunting sama kau tu." Faruk menengking lagi.

"Sumpah bang, Leha berani junjung Al Quran bang. Anak ni anak kita. Anak adalah simbol percintaan kita selama ini bang. Sumpah bang! Sumpah!" Zaleha terus merayu meraih simpati suaminya.

"Ah pergi mampus dengan sumpah engkau. Sumpah perempuan seperti kau ni memang t idak boleh didengar langsung. Hamidah mari kita pergi dari sini. Tinggalkan perempuan jalang itu mati di situ." Faruk menarik tangan Hamidah dan berlalu. Hamidah menoleh ke arah Zaleha. Hati perempuannya langsung tidak tersentuh melihat keadaan Zaleha.

"Akhirnya aku menang Zaleha!" Halimah tersenyum sinis kepada Zaleha. Senyuman yang menggambarkan kejahatan dan kebusukan hati.

Zaleha terus menangis. Memorinya menyelak semula sejarah percintaannya dengan Faruk. Mereka bercinta sejak di alam persekolahan lagi. Seluruh kolej memang bersetuju bahawa mereka adalah pasangan yang paling ideal.

"Pengajian kita akan tamat tidak lama lagi. Apa kata kalau kita bertunang nanti." Kata Faruk kepada Zaleha ketika mereka berjumpa di pinggir tasik yang indah sambil memadu kasih asmara. Faruk merebahkan kepalanya ke ribaan Zaleha sambil membelai-belai mesra jemari Zaleha.

"Tapi Leha takut keluarga abang tak suka pada Leha. Maklumlah, Leha orang kampung. Tak setaraf dengan keluarga abang." Zaleha bersuara membayangkan kerisauannya.

"Keluarga abang tak kisah siapa pilihan abang. Yang penting ialah abang bahagia disamping Leha." Faruk membalas. Namun Zaleha tetap murung.

"Baiklah. Kalau Leha tak percaya, nanti abang suruh keluarga abang hantarkan rombongan meminang petang ini juga. Esok kita kahwin." Faruk menyambung lagi.

"Gatal"rengek Zaleha sambil mencubit paha Faruk.

Faruk adalah seorang pemuda kacak yang berasal dari keluarga yang kaya raya. Siapa yang tidak kenal bapanya, Tuan Berham yang menjadi pemilik ladang Berham, ladang terbesar di daerah itu. Bapanya amat dihormati dan disegani oleh semua orang.

Percintaan antara Faruk dan Zaleha juga telah direstui oleh kedua-dua pihak keluarga. Tuan Berham sekeluarga amat menyenangi Zaleha yang pada hemat mereka seorang gadis yang bermaruah, penuh nilai ketimuran, pandai menjaga diri dan seorang wanita yang solehah. Oleh itu dengan mudah sahaja mereka menerima Zaleha sebagai calon menantu mereka.

Sebenarnya, Tuan Berham telah lama bercadang untuk menjodohkan Faruk dengan Hamidah, anak kepada rakan niaganya sejak mereka berdua kanak-kanak lagi. Namun rancangan ini diluar pengetahuan Faruk. Oleh kerana Faruk telah memilih pasangan hidupnya sendiri, Tuan Berham terpaksa dibatalkan.

Hamidah sebenarnya ialah salah seorang rakan sekelas Zaleha. Namun setelah mengetahui Zaleha akan dinikahkan dengan Faruk, Hamidah memencilkan diri dari Zaleha. Hamidah menjadi begitu benci pada Zaleha kerana padanya Zaleha telah merampas Faruk yang bakal menjadi miliknya. Namun Zaleha tidak mengesyakinya kerana dia tidak tahu rancangan ayah Faruk untuk menjodohkan Hamidah dengan anaknya.

Majlis perkahwinan Zaleha dan Faruk telah berlalu. Kini mereka hidup bahagia sebagai sepasang suami isteri yang sah. Zaleha juga sedang mengandungkan anak pertama mereka berdua. Sehinggalah ketika usia kandungannya baru mencecah lima bulan....

Pada malam itu Zaleha sedang berehat bersendirian di rumah kerana suaminya bekerja di luar. Ketika itu hujan turun agak lebat dan angin ganas bertiup menolak daun tingkap ruang tamu yang tidak ditutup rapat. Zaleha melangkah ke tingkap itu lalu menutupnya. Hatinya merasakan sesuatu yang tidak enak. Zaleha mula risaukan keselamatan suaminya.

Zaleha baru sahaja hendak melangkah ke dapur apabila terdengar pintu hadapan rumahnya diketuk keras. Segera Zaleha berjalan ke pintu dan membukanya. Dua orang lelaki tersenyum padanya.

"Puan ini Puan Zaleha, isteri kepada En Faruk bukan?" lelaki itu berkata.

"Ya benar. Ada apa encik?" Hati Zaleha bergelodak ingin tahu.

"Suami puan sedang sakit. Dia pengsan." lelaki itu menyambung lagi. Zaleha tersentak.

"Ya Allah. Teruk kah keadaan dia encik? Apakah penyakitnya?"Zaleha bertanya cemas.

"Saya tidak pasti tapi dia menyuruh saya membawa puan untuk berjumpa dengannya. Dia ada di Hotel Perkasa, berehat di sana." Lelaki itu terus menyambung.

"Sebentar ya encik." Zaleha berlari masuk ke dalam dan mencapai selendang kuning hadiah suaminya.

***************

Zaleha dan lelaki itu kini berada di hadapan bangunan Hotel Perkasa. Dia bergegas keluar dari kereta dan membuka payungnya. Hujan masih lebat menimpa bumi. Tiba-tiba selendang yang dipakai oleh Zaleha terbang dan jatuh ke dalam lopak air kerana ditiup angin kencang. Zaleha tidak sempat mengambilnya semula. Baginya dia perlu cepat berjumpa suaminya.

Zaleha di bawa masuk ke dalam sebuah bilik hotel oleh seorang lelaki. Terus sahaja matanya meliar mencari kelibat suaminya. Tetapi Faruk tiada di situ.

"Mana suami saya?" Tanya Zaleha kepada lelaki yang mengiringinya itu. tetapi lelaki itu hanya tersenyum sinis. Kemudian dia mengangkat wajahnya dan ketawa.

"Kau tak kenal aku lagi Zaleha. Aku Azman. Azman Zaleha."Lelaki itu bersuara parau.

"Azman. Kau Azman. Kenapa kau bawa aku ke sini? Mana Faruk? Mana suami aku?" Zaleha bersuara lantang.

"Pedulikan Faruk Zaleha. Dia tiada di sini. Sekarang mari kita bermesra. Sejak dari kita bersekolah lagi aku teringin untuk memiliki kau." Azman terus berkata-kata.

Azman memang sudah lama mengidamkan Zaleha. Sebagai playboy, pastinya dia mahu memiliki mana-mana gadis yang diidaminya. Dia pernah cuba memikat Zaleha sebelum ini tetapi tidak dilayani oleh Zaleha kerana Zaleha tersangat maklum atas perangai buayanya.

"Mari Zaleha," Azman menghampiri Zaleha. Zaleha hanya mengundur ke belakang.

"Jangan Azman, jangan. Aku ada suami Azman." Zaleha merayu. Namun rayuannya tidak dipedulikan. Tubuhnya ditolak kasar ke atas katil. Azman terus menindih tubuh mungilnya.

"Jangan Azman, jangan." Zaleha terus meronta-ronta cuba melepaskan dirinya.

Bang!! Tiba-tiba pintu bilik hotel itu terbuka. Faruk dan Hamidah berdiri di hadapan pintu. Azman berhenti dari menggomoli Zaleha. Zaleha terus berlari pada Faruk.

"Abang... Azman bang. Dia cuba..." Zaleha cuba menjelaskan pada Faruk.

"Aku tak sangka. Aku tak sangka kau sehina ini Zaleha. Aku sangka kau wanita baik, wanita suci. Tapi rupanya kau lebih hina daripada bangkai." Faruk bersuara perlahan.

"Tapi bang..." "Sudah!! Aku sudah lihat segalanya. Kau curang Zaleha. Kau curang!!" Faruk segera memotong cakap Zaleha dan terus berlari pergi.

"Abang!!...." Zaleha menjerit dan menangis. Hamidah dan Azman hanya memandang sinis padanya.

"Akhirnya aku menang Zaleha! Aku menang!! ha ha ha!!" Hamidah yang dari tadi hanya membisu bersuara dan berlalu pergi menyusuli Faruk.

Zaleha diceraikan oleh Faruk. Malah bayi yang dikandungnya itu tidak diakui anaknya. Zaleha begitu sedih. Mujurlah ibu dan bapa mertuanya masih menaruh kepercayaan pada Zaleha. Mereka tidak percaya yang Zaleha seburuk itu. Mereka juga yakin yang Zaleha dianiaya.

Akhirnya masa yang dinanti pun tiba. Saat untuk Zaleha melahirkan telah sampai. Tuan Berham lah yang bersusah-payah membawa Zaleha ke hospital. Zaleha akhirnya selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Tetapi sungguh kasihan bayi itu kerana terpaksa berbintikan Abdullah kerana ayahnya tidak mengakui yang dirinya itu datang dari keturunan ayahnya. Anak itu ialah Nur Shahida Abdullah.

Tuan Berham jugalah yang mengusahakan agar Zaleha dan anaknya berpindah dari daerah itu. Beliau telah membelikan sebuah rumah untuk Zaleha di Kuala Lumpur. Tuan Berham juga membelikan Zaleha sebuah premis kedai dan memberikan modal agar Zaleha memulakan perniagaannya sebagai punca rezekinya untuk membesarkan Shida.

Setiap kali Zaleha mengenangkan kisah silamnya itu, airmatanya akan mengalir. Dia tidak akan menyalahkan suaminya malah dia tidak boleh menyalahkan Faruk kerana dirinya dan Faruk sebenarnya teraniaya. Namun begitu Zaleha masih tetap menyintai Faruk kerana cintanya pada Faruk adalah sesuci embun pagi. Zaleha juga akan menceritakan sejarah silamnya itu kepada Shida apabila Shida sudah cukup dewasa untuk menerimanya.

"Ummi, ummi menangis? Kenapa ummi?"Zaleha tersentak dari lamunannya. Dilihatnya Shida sedang memandang hairan kepadanya.

"Mana ada Shida. Mata ummi masuk habuk lah." Zaleha berdalih.

"Hmm ummi ni ada-ada sajalah. Shida naik dulu ye." Syida terus naik ke biliknya. Zaleha hanya menghantar dengan ekor matanya sahaja. Oh Shida... anakku sayang.

Shida menyimpan semula pemutar skrunya ke dalam beg. Rancangannya itu hanya diketahui oleh dirinya seorang sahaja. Zalina pun tidak tahu menahu tentang rancangannya itu. Kalau Zalina tahu pun tentu dia akan menegah dan membelakangkan niatnya untuk membalas dendam kepada Anuar.

Tiga batang skru panjang pada kerusi Anuar telah dicabut. Tak sia-sia rupanya dia demam dan tidak boleh ke kelas pendidikan jasmani. Masa sakitnya itu digunakan sebaiknya untuk membalas dendam. Tak perlulah dia hendak merancangkan bagaimana caranya hendak mengelakkan dirinya dari dituduh merosakkan kerusi Anuar. Biar Anuar tahu awek horliks ini juga pandai bertindak ganas .

Sekeping nota berbunyi "Hai Sedap ke jatuh?! awek brutal balas dendam." ditampalkan di bawah meja Anuar. Apabila Anuar jatuh nanti tentu dia akan terbaca nota itu dan tentu dia akan tahu siapa yang mendajalkan kerusinya. Dan tahulah dia yang Shida tidak main-main dalam peperangannya itu.

Eii tak sabarnya nak tunggu kelas Pendidikan jasmani tu habis. Tak sabar nak tengok orang tergolek dog. Subjek lepas ni matapelajaran Matematik Moden. Cikgunya ialah Encik Zaki yang sporting. Tentu dia tak kisah kalau si Anuar tu tergolek dog dalam kelas dia. Kikiki!!... Shida ketawa sendiri.

Kringgg.... loceng yang menandakan pertukaran subjek berbunyi. Semua rakan-rakan sekelas telah masuk ke dalam kelas kecuali Anuar. Eh mana Anuar ni tak masuk masuk. Eii cepatlah masuk. Aku nak tengok kau tergolek nie. Shida hanya berbisik di dalam hatinya. Tidak sabar-sabar melihat aksi yang penuh mendebarkan.

"Rugi kau tak join kita orang semua main bola jaring tadi Shida. Budak lelaki kalahkan girls gitu." Kamil bersuara sebaik sahaja duduk di kerusinya. Tetapi Shida tidak berminat untuk mendengarnya. Apa yang difikirkannya ialah Anuar yang belum muncul-muncul lagi yang begitu merisaukannya.

"Bangunn!! Suara Julia yang gila kuasa itu bergema. Entah bilalah agaknya ketua kelas hendak menunjukkan kuasanya. Semua pelajar bangun mengucap salam kepada guru yang masuk. Alamak!! Kenapa Encik Ramli pula yang masuk. Bukan Encik Zaki. Alahai matilah aku kali ini. Shida menepuk dahi.

Cikgu Ramli adalah seorang guru yang garang.Maklumlah, guru disiplin sekolah yang begitu digeruni oleh semua pelajar. Misainya yang melentik itu sudah cukup menggerunkan. Anuar masih belum masuk ke kelas. Masih sempat untuknya menghalang Anuar dari duduk di kerusinya itu. Ke manalah agaknya dajal besar tu.... Otak Shida terus bekerja mencari jalan penyelamat.

"Baiklah para pelajar sekalian. Hari ini Encik Zaki tidak dapat hadir kerana isterinya bersalin."Encik Ramli memandang ke seluruh kelas sambil mengurut-urut misainya.

"Jadi sampai mana Encik Zaki dah ajar...." Bicara Encik Ramli terhenti apabila Anuar mengetuk pintu kelas dan melangkah masuk.

"Maafkan saya cikgu. Saya ke tandas tadi." Anuar berbicara sopan. "Duduk di tempat awak sekarang." Anuar akur dan terus melangkah ke tempatnya. Matanya melirik kepada Shida si dajal kecilnya. Shida kelihatan menggeleng-geleng sambil mengapai-kapaikan tangannya. Mulutnya terkumat kamit menyatakan sesuatu. Apelah minah ni nak cakap. Lantaklah situ. Shida semakin cemas. Isyaratnya tidak difahami oleh Anuar.

Anuar kini telah sampai di tempatnya. Dia terus meletakkan punggungnya ke kerusi. Shida menutup mata dan kerusi tanpa skru yang diduduki oleh Anuar mula bergoyang-goyang dan ….

"Arrrghhhh!!!" Anuar terduduk jatuh ke lantai. Kerusinya roboh. Seisi kelas melemparkan pandangan kepadanya dan mula ketawa melihat keadaan Anuar yang terjatuh itu.

"Macam mana awak duduk Anuar. Tengok kerusi awak dah patah!" Encik Ramli mula meninggikan suara. Shida hanya mematungkan diri sambil berlindung di belakang Kamil. Anuar yang masih belum bangun itu terlihat nota di bawah mejanya. Tahulah dia siapa yang mendajalkannya dan apa yang cuba diberitahu oleh dajal kecil tadi. Dia segera bangun.

"Cikgu! Saya rasa Anuar disabotaj. Selalu Anuar duduk di kerusi tu tak ada apa-apa pun!"Entah mulut mana yang begitu sial memberi pendapat kepada Encik Ramli. Suara itu bagai mencabut nyawa Shida. Zalina segera merapati Shida.

"Shida! Kau dajal Anuar ke?" Zalina bertanya separuh berbisik. Shida hanya diam dan menundukkan kepalanya.

"Kita kena siasat. Tadi masa kelas Pendidikan Jasmani, ada tak sesiapa yang tinggal di kelas?" Encik Ramli bertanya.

"Ada cikgu.. Shida! Katanya dia demam." Julia mula menunjukkan kegila kuasaannya. Rasanya mahu sahaja Shida mencarik mulutnya.

"Shida... betulkah awak yang mensabotaj Anuar?" Encik Ramli membulatkan matanya kepada Shida. Shida hanya terkelu seribu bahasa.

"Cikgu," Panggilan Anuar menyebabkan semua perhatian beralih dari Shida ke Anuar.

"Saya rasa bukan sabotaj cikgu. Sebenarnya kerusi saya memang sudah lama bergoyang-goyang. Selama ini pun saya kawal diri bila duduk. Takut patah. Lagipun PJ tu kan kelas pertama. Kalau benarlah ada orang nak dajal err sabotaj saya, dia boleh lakukannya sejak petang semalam." Kenyataan Anuar itu membuatkan Shida tersentak. Dia tidak sangka Anuar akan bertindak melindunginya. Lagipun itulah peluang keemasan untuk Anuar membalas dendam ke atasnya. Shida hanya mampu mengurut dada. Lega.

"Kalau macam tu awak pergi ke Stor dan dapatkan kerusi lain. Yang lain duduk semula di tempat masing-masing. Dan ingat. Saya tak mahu kamu semua buat perkara-perkara tak senonoh di sekolah ini. Budaya mengenakan orang ini bukan budaya yang sihat malah ia hanya memalukan orang." En Ramli memulakan syarahan. Anuar terus melangkah keluar. Sambil itu dia sempat mengenyitkan matanya pada Shida dan menyebabkan Shida menggelabah.

"Kau tengok tu Shida. Dia selamatkan kau tadi tau. Kalau tidak tak tahulah apa Encik Ramli buat kat kau." Zalina berkata kepada Shida di kantin. Waktu itu adalah waktu rehat.

"Aku tau la Lina. Tapi aku tahu si dajal besar tu mesti nak balas dendam punya." Tengoklah cara dia pandang aku tadi." Shida membalas.

"Kau tu asyik nak pandang serong saja pada dia tu. Apalah kau ni." Zalina mula hilang sabar pada rakan baiknya yang degil itu.

"Bukannya rugi kau baik dengan dia. Dia tu handsome, bijak pulak tu. Nanti bolehlah kau study sama-sama dengan dia." Zalina menyambung lagi. Shida mula menyampah mendengar bebelan kawannya itu.

"Hah! Itu pun si Anuar." Zalina terus memberitahu sambil menuding jari telunjuknya ke arah Anuar. Anuar semakin menghampiri mereka. dia berhenti di sebelah Shida. Shida kelihatan menggelabah.

"Hai dajal kecik. Hebat juga rancangan kau tu. Tak apalah ya. Nantikanlah balasan daripada aku. Hati-hati ya." Anuar terus berlalu pergi.

"Orang macam tu kau suruh aku kawan. Eii tak mahu aku Lina oii. Kalau kau nak kau ambil lah dia." Shida berkata. Kemudian dia mengangkat punggungnya dan berlalu meninggalkan Zalina sendiri.

***************

Sudah dua hari berlalu selepas peristiwa kerusi patah itu. Dua hari jugalah Shida berdebar-debar menantikan pembalasan yang bakal diterimanya. Namun tiada apa-apa yang berlaku.

Sejarah merupakan matapelajaran terakhir untuk hari ini. Cik Liana Chong masuk ke kelas dan mula mengajar. Shida keluar sebentar ke tandas di awal kelas Sejarah. Lima minit kemudian dia masuk semula ke kelas dan terus duduk di kerusinya.

"Kamil berikan contoh tokoh Islam dalam bidang perubatan." Cik Liana Chong menuding jarinya kepada Kamil. Kamil hanya terpisat-pisat. Kemudian dia mengangkat bahu.

"Sorry cikgu saya tak tahu lah." Kamil tersenyum gedik.

"Tak apalah, Shida bantu Kamil." Alah senang saja. Ibnu Sina jawapannya. Shida cuba bangun untuk menjawab. Tetapi dia merasakan kain sekolahnya seperti melekat di kerusi dan menyebabkan Shida tidak dapat berdiri dengan betul.

Alamak apa pulalah yang melekat kat kain aku ni. Ini tentu si Anuar punya kerja. Shida meneka di dalam hati.

"Ibnu Sina cikgu." Dengan hanya separuh berdiri Shida menjawab.

"Bagus." Apa kena budak Shida tu. Terpisat-pisat. Mungkin bendera merah naik lah tu. Ketidak selesaan berlaku. He he he. Tapi kenapa jadi macam tu? Never mindlah. Cik Liana Chong hanya senyum sendiri. Yang pasti hati Shida sedang menjerit kegeraman apabila melihat Anuar tersengih geli hati.

Karya : Langkasari

No comments: