Thursday, January 29, 2004

Setiaku Di Sini(2)
Shida mengelamun seorang diri di tepi padang sekolah. Matanya meliar melihat pasukan bola jaring sekolahnya mengadakan sessi latihan. Dia rasa agak bosan kerana tiada apa-apa yang perlu dilakukannya petang itu.

"Hai Shida. Mengelamun jauh nampak?" tegur Zalina sambil menghulurkan tin coke yang dipegangnya.

"Oh kau Lina. Hmmm thanks." Shida menyambut huluran coke itu.

Shida dan Zalina adalah dua sahabat yang amat akrab. Mereka saling memahami antara satu sama lain. Jarang sekali mereka bermasam muka. Kalau adapun sedikit perselisihan faham, ianya hanya kekal untuk sepetang atau semalam sahaja. Namun memahami jiwa Shida merupakan satu cabaran yang begitu mencabar buat diri Zalina. Ini adalah kerana Shida merupakan gadis yang sukar untuk diduga lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru mengenalinya.

Shida merupakan seorang pelajar perempuan yang agak lasak. Tidak hairanlah jika dia mendapat jolokan awek brutal di kalangan rakan sekolahnya. Wajah dan potongan badannya memang boleh dikatakan sempurna dan cantik tetapi jangan haraplah untuk melihat Shida bersolek atau melawa. Namun Shida bukan gadis tomboy atau pengkit. Rambutnya yang panjang separas bahu itu hanya diikat ekor kuda, lengan baju sekolahnya sentiasa digulung sehingga hampir ke siku dan kain sekolahnya dibiarkan labuh menyapu lantai.

Bukannya Shida tidak mempunyai peminat tersendiri, tetapi tiada lelaki yang berani merapatinya apatah lagi cuba memikatnya. Sifatnya yang kasar dan ‘brutal’ menghalangnya daripada dirapati oleh lelaki. Lagipun Shida bukanlah jenis gadis yang jiwa-jiwa serta jiwang karat. Shida barangkali tidak memerlukan lelaki untuk hidup. Dia sendiri dibesarkan tanpa kehadiran seorang ayah.

Namun Shida adalah seorang gadis yang baik. Tidak pernah dia menyakiti hati guru-guru dan sahabat-sahabatnya. Malah Shida akan membantu dan melindungi rakan-rakannya. Pernah sekali Shida bergaduh dengan seorang pemuda liar yang cuba mengganggu Zalina sehinggakan Shida mendapat luka di kepala akibat ditolak pemuda itu.

Shida juga merupakan jaguh dalam sukan. Shida adalah pelari pecut sekolahnya dan pernah menyandang gelaran olahragawati sekolah di tingkatan 3 dahulu. Dia juga hebat dalam sukan hoki dan menjadi ketua pasukan hoki wanita. Pencapaiannya dalam akademik juga agak memuaskan.

Shida disukai rakan-rakannya walaupun dia agak kasar. Ke ‘brutal’annya itu tidak pernah menyusahkan orang lain. Oleh itu Shida tidak pernah mempunyai musuh… kecuali Anuar, pelajar yang baru mendaftar di sekolahnya minggu lepas. Semua ini bermula pada petang Selasa yang lalu.

"Haus betul aku Zalina. Penat betul tadi kan. Shida berkata riang kepada Zalina. Kayu hoki yang dipegangnya itu disandangkan ke bahu. Mereka baru sahaja menamatkan perlawanan hoki persahabatan dengan sebuah sekolah jiran. Sekolah mereka berjaya menewaskan pasukan lawan dengan 5 jaringan berbalas 1.

"Aku tahulah yang kau tu penat. Ya lah kan. Kau score 3 gol tadi." Zalina mencebik, menyampah pada kehebatan Shida di padang tadi.

"Yalah tu. Jomlah ke kantin. Aku belanja kau minum. Kau kan score sebiji tadi. Cantik pula tu." Shida menarik tangan Zalina kekantin.

Pelajar-pelajar lain, mungkin baru sahaja selesai menonton perlawanan hoki tadi juga berpusu-pusu ke kantin. Hendak tak hendak, Shida terpaksa berbaris di belakang mereka.

Hampir 10 minit dalam penantian, akhirnya giliran Shida pun tiba. Sambil tersenyum Shida membuat pesanan minuman

"Akak the ais dua."

"Sorrylah dik. Teh ais dah habis." Kakak kantin itu menjawab. Selalunya air bancuhan sebegitu tidak lagi disediakan di waktu petang sebegini.

"Tak apalah kak, bagi milo ais dua."kakak kantin itu hilang ke dapur. Kemudian dia muncul kembali menatang dua gelas air berwarna putih. Eh! Takkan milo colour putih kot??

"Milo pun dah habis. Horliks adalah." Kakak kantin itu tersengih. Shida mengambil tanpa banyak bicara. Apalah punya kantin. Minta milo dapat horliks. Horliks pun horliks lah. Shida membayar dan terus berlalu dari kaunter.

Tiba-tiba Shida terasa ada tangan yang memegang bahunya dan menariknya ke belakang. Tarikan itu menyebabkan air yang ditatangnya terlepas dan membasahi track bottomnya. Shida memandang ke belakang, mahu melihat siapa yang begitu kurang asam menariknya tadi. Seorang pelajar lelaki yang kelihatan innocent sedang menggaru-garu kepalanya.

Mulanya Shida berniat untuk memaafkannya. Pada fikirannya budak lelaki itu tidak sengaja. Tetapi apabila Shida memandang budak lelaki itu semula, budak lelaki itu sedang tersengih-sengih seperti kerang yang hampir mampus sambil mengenyitkan matanya kepada Shida. Tahulah Shida yang budak lelaki itu seronok di atas perbuatannya.

Kalau bukan kerana Zalina menariknya lekas-lekas selepas peristiwa hitam bercampur kelabu itu tentu sahaja Shida sudah memaki hamun budak lelaki itu. Malah kebarangkalian bahawa budak lelaki itu menerima celak mata free akibat penumbuk Shida juga besar. Budak lelaki itu terus berlari pergi tetapi sempat menjelirkan lidahnya pada Shida

"Setan! Puaka dajal!" Shida menjerit sekuat hati.

"Sudahlah tu Shida. Dia dah pergi pun." Zalina memujuk.

"Tak guna punya budak. Kau kenal siapa budak tu Lina? Geram betul aku."

"Kalau kau nak tahu itulah Anuar, student baru sekolah kita. Handsome kan?" Zalina menjelaskan.

"Handsome kepala otak kau. Jomlah balik. Tak lalu aku nak minum. Shida terus meraih beg galasnya dan berlalu pulang.

Bila diingat-ingat, memang Shida amat bengang dengan Anuar ekoran peristiwa itu. Memakai seluar yang basah sudah cukup untuk menarik perhatian mata-mata yang memandangnya. Sepanjang perjalanan pulang hari itu, Shida begitu malu orang menjeling seluarnya yang basah.

Perangnya dengan Anuar tidak hanya mati di situ sahaja. Setiap kali dia berselisih dengan Anuar, pasti Anuar akan memanggilnya dengan gelaran "awek horliks". Rasanya mahu sahaja dicekik-cekik leher budak Anuar itu. Tetapi entah kenapa setiap kali berhadapan dengan Anuar, Shida seolah-olah kehilangan kekuatan untuk membalas ejekannya. Barangkali buku sudah bertemu dengan ruas.

"Eii geram betul aku dengan si dajal besar tu!" luahnya kepada Zalina pada suatu hari. Sebentar tadi sekumpulan pelajar lelaki menyapanya dengan gelaran baru "awek horliks"nya itu. Shida begitu geram kerana gelaran itu telah tersebar ke segenap pelusuk sekolah.

"Benci betul aku dengan budak Anuar tu" Sambungnya lagi. Tangan kanannya menumbuk-numbuk tapak tangan kirinya.

"Kalau ye pun janganlah sampai benci. Nanti terjatuh cinta baru tahu." Zalina ketawa.

"Eii tak kuasa aku Lina oii..!"

Suasana kelas 4c tanpa guru masih seperti biasa. Penghuninya tetap berborak, memekak, tidur dan melakukan pelbagai aktiviti yang membuang masa walaupun berkali-kali ditegur oleh Julia si gila kuasa, penolong ketua kelas mereka.

"Hoi. Tak reti nak diam ke hah?" Julia memekik lagi. Namun tidak diendahkan oleh sesiapa. Memang seluruh kelas kurang menggemari Julia yang gila kuasa, kuat mengadu dan mengada-ngada itu.

Zainal, ketua kelas 4c asyik berbual dengan rakan baiknya Khairil. Kamil pula sibuk ke hulu-hilir bersama katalog Avonnya, membuat promosi dan memujuk pelajar-pelajar perempuan untuk membeli barangan Avon yang dijualnya. Shida hanya melepak di meja Zalina sambil berborak dan mengumpat. Hanya beberapa orang sahaja yang menghadap buku. Itupun sekadar buku cerita ataupun buku komik. Maklumlah, tingkatan 4 dianggap sebagai ‘honeymoon year’ oleh semua pelajar tingkatan empat di seluruh dunia.

"Shida!" Shida menoleh apabila mendengar namanya dipanggil. Kamil sedang tersengih-sengih memandangnya.

"Hah! Nak apa?" Shida bertanya.

"Ni lah yang aku nak story ni. Kau nak tahu, kempen Avon bulan ni kelas tau. Semua murah-murah. Sure kau berminat kan?" Kamil mula mempromosi. Zalina geli hati. Hai Kamil oii. Kau salah orang lah. Manalah minah tu nak pakai barang tu semua.

"Tak nak tahu dan tak berminat langsung." Shida menjawab ringkas.

"Eh Shida. Cubalah kau tengok dulu. Murah gila tau. Dia bagi less 30% lepas tu kalau ramai yang beli dapat lagi 20% diskaun. Orang perempuan macam kau kenalah pandai jaga body. Kalau tak nanti tak laku." Kamil mencucuk jarum.

"Tak payah lah Kamil. Aku tak minat. Lagipun aku ni kan dah lawa. Baik kau jual kat Julia tu. Dia tu tak cukup lawa." Serentak Shida dan Zalina ketawa. Kamil juga turut ketawa lucu.

Julia menoleh ke arah mereka, mungkin terdengar namanya disebut. Namun mereka bertiga tidak mengendahkannya.

"Takpelah. Kalau tak nak beli sudah." Kamil mencebik dan berlalu, kecewa kerana barangnya tidak dibeli. Sambil itu hatinya mengomel. Entah apalah si Shida tu. Bukannya reti nak berbedak. Apa lagi pakai perfume, krim atau losyen. Aku yang lelaki pun pakai. Namun dia akui yang Shida sudah sedia jelita walaupun tanpa penjagaan yang rapi. Kulit mukanya licin tanpa jerawat dan rambutnya bermaya dan sihat. Shida sebenarnya lebih cantik daripada Julia yang kononnya anak kacukan itu.

"Bangun." Suara Julia bergema, mengatasi segala kehingaran yang ada. Maklumlah, gila kuasa. Shida segera berlari ke tempatnya yang terletak di barisan belakang sekali.

Cik Liana Chong, guru sejarah merangkap guru kelas mereka melangkah masuk penuh bergaya. Beliau adalah guru yang paling seksi di sekolah mereka. Pakaiannya seksi dan berjenama. Mengalahkan Posh Spice. Beg tangan hitam bersulam perkataan CLC, singkatan namanya itu diletakkan di atas meja.

"Selamat pagi cikgu!" bergema suara para pelajar memberi ucapan selamat. Cik Liana Chong menjawab sambil tersenyum seksi. Macam manalah pelajar lelaki boleh belajar dengan cikgu sebegini.

"Baiklah semua. Saya nak buat satu pengumuman. Kelas kita akan menerima seorang pelajar baru." Cik Liana Chong melemparkan pandangan ke seluruh kelas. Kemudian dia menyambung bicara.

"Beliau akan bertukar dari aliran perakaunan ke aliran sains. Namanya Mohd Anuar Shah." Tiba-tiba bumbung kelas runtuh menimpa kepala Shida. Berita terkini yang dibawa oleh Cik Liana Chong itu membuatkan jantungnya menari dangdut.

"Shida. Meja di sebelah awak tu kosong. So Anuar akan duduk di situ." Kali ini langit pula jatuh menimpa kepala Shida. Jantungnya pula kini menari agogo. Kata-kata gurunya itu ibarat hukuman gantung sampai mati buatnya.

Tolonglah selamatkan aku daripada si dajal tu. Macam mana aku nak lepaskan diri ni. Matilah aku kalau kena duduk sebelah dajal besar tu. Eii takutnya. Tapi nak buat macam mana. Dulu aku yang sibuk-sibuk nak duduk seorang. Zalina tu dah bahagia duduk sebelah buah hati dia si Amir tu. Habis tu nak suruh siapa duduk sebelah aku ni hah? Kamil. Ye Kamil. Budak tu orait juga. Aku lagi rela dengar mulut kamil tu membebel daripada duduk dengan si Anuar tu….. Shida terus merangka rancangan.

"Shida, sebutkan lapan ciri-ciri pembentukan tamadun. Saya mengajar di depan awak mengelamun di belakang." Shida terkejut. Cik Liana Chong menjengilkan mata padanya. Seisi kelas memandang kepadanya. Shida terus menggelabah. Dia langsung tidak menumpukan perhatian tadi. Buku teks sejarahnya diselak sehingga ke kulit belakang. Yang pasti Shida tidak mampu untuk menjawabnya.

***************
Seminggu berlalu dengan adanya Anuar, si dajal besar itu di kelas 4c. Nampaknya tiada apa yang tidak diingini berlaku. Shida tidak merasakan sebarang ancaman langsung daripada Anuar. Anuar masih belum lagi memulakan persengketaan. Keadaan tidaklah seburuk seperti yang disangkakannya.

Shida berjaya memujuk Kamil untuk duduk di sebelahnya. Terbang juga wangnya 30 ringgit. Kamil mengenakan syarat yang Shida mesti membeli satu barangan Avonnya. Terpaksalah Shida mengalah dan membeli satu botol perfume. Woman of the Earth gitu. Boleh bagi hadiah kat ummi. Asalkan dirinya tidak berada hampir dengan si dajal besar itu. Eii seram.

Anuar bijak menyesuaikan diri di kelas baru. Pelajar lelaki kelas 4c begitu gemar bergaul dengan Anuar. Ada sahaja yang boleh mereka bualkan. Pelajar perempuan apatah lagi. Suka benar bertegur sapa dengan Anuar. Yang paling ketara ialah Julia. Julia begitu jelas cuba merapati Anuar. Anuar… tolong saya hantar buku di bilik guru lah, Anuar… tolong suruh si dia tu sapu sampah lah, Anuar… tolong panggil cikgu lah, pendek kata ada sahaja alasan Julia untuk merapati Anuar.

Yalah kan. Siapa yang tak suka berdampingan dengan jejaka yang kononnya kacak itu (memang kacak pun). Mereka sering berbisik-bisik bahawa Anuar itu tampan, berpenampilan menarik, punyai tulang rahang yang kukuh yang kononnya lambang lelaki sejati. Pirah mabuk. Namun Shida langsung tidak berhasrat untuk bertegur sapa dengannya. Entah sampai bila. Mungkin selama-lamanya selagi anuar tidak meletakkan senjata.

Rupanya ketenangan yang dikecapi oleh Shida itu tidak kekal lama. Ketenangan itu hanya bertahan selama seminggu itu sahaja. Anuar telah merosakkan ketenangannya di hari pertama di minggu yang kedua.

"Zalina, kau ada nampak organizer aku tak?" Shida bersuara cemas. Organizer Ziana Fan Club kesayangannya tiada di dalam mejanya.

"Tak. Kau letak mana Shida?" Zalina bertanya.

"Dalam meja aku. Kau ambil ye Kamil?" Shida menuduh Kamil pula. Mamat lembut ni bukannya boleh percaya sangat.

"Eh. Tuduh aku pulak. Pergilah tanya budak berdua tu. Dalam kelas ini cuma dia orang sajalah yang rajin mengambil harta-benda orang. Kau nak tahu Shida, hari tu habis bekas pensel aku yang gambar Hello Kitty tu dikerjakan dek dia orang tu." Kamil memuncungkan mulutnya kepada Khairil dan Zainal. Sempat juga dia menceceh dalam keadaan tegang itu. Shida segera melangkah ke arah Khairil dan Zainal.

"Hoi!" Khairil dan Zainal yang sedang berbual itu tersentak.

"Apa ni Shida main sergah-sergah je. Nak apa?" Zainal bertanya geram.

"Korang ambil organizer aku kan?" Shida terus menuduh.

"Apa tuduh-tuduh ni. Kita orang ni metal lah Shida, tak mainlah Ziana Zain ni." Khairil membela diri.

"Pukul 10 balik rumah. Lepas tu terus telefon pakwe, ajak tengok wayang. Mak suruh pergi kedai beli gula satu kilo. " Satu suara yang cukup arlegi di telinganya terdengar oleh Shida. Shida segera menoleh ke belakang. Anuar sedang mengawang-awangkan organizer kesayangannya. Shida mengetap bibir, marah. Tanpa berlengah lagi Shida terus menerpa ke arahnya.

"Hoi dajal besar! Siapa mengajar kau ambil harta orang ni hah?" Shida terus menengking kuat. Seluruh kelas memandang ke arah mereka.

"Alah. Rilekslah dajal kecik. Bukan aku bawak balik pun." Jawab Anuar selamba. Aaa. Tengok tu dia panggil aku dajal kecik.

"Dajal besar tak guna! Kau ni memang saja je nak cari pasal dengan aku. Baiklah. Kalau kau dah mengidam sangat nak berperang dengan aku…. Mulai saat dan ketika ini aku istiharkan perang!!!" Shida menjerit, merampas organizernya dari tangan Anuar dan terus berlalu keluar dari kelas. Pandangan mata seluruh penghuni kelas itu menghantarnya keluar.

No comments: