Wednesday, January 14, 2004

Sejalur Sinar di Ufuk Timur (4)
Zul selesai menunaikan solat maghrib. Matanya tunduk menekur di tikar sejadah. Keheningan kamar solat di pejabatnya jelas menyelungkupi suasana hatinya. Zul kian tenggelam dalam tafakur. Bibirnya masih lagi terkumat-kamit mengalunkan zikir. Dalam diri dia menyerahkan hatinya kepada Al Khaliq untuk disucikan, baik dari segala dosa-dosa yang mencengkam diri mahupun penyakit hati yang mengaburkan pandangan hatinya.

“Ya Allah ya Tuhanku, aku mohon kepada Mu akan keampunan atas kedua ibu-bapaku, kaum keluargaku, sahabat-sahabatku dan sekalian umat Islam. Ya Allah, aku mohon perlindungan dari Mu dari gangguan syaitan pada setiap masa. Ya Allah, kupohon dari Mu janganlah Engkau memalingkan hatiku dari agamamu, tetapkanlah hatiku dan matiku dalam agama Mu. Ya Rahman ya Rahiim, kupohon dari Mu kelapangan hati dan ketenangan jiwa dalam menghadapi urusan kehidupanku seharian. Engkaulah yang Maha Pengasih dan Engkaulah yang Maha Penyayang, sekiranya Engkau mentakdirkan aku mati, maka matikanlah aku sebagai para syuhada yang menegakkan syiar agama Mu di atas muka bumi ini. Amin ya Rabbal A’lamiin,” doa Zul penuh khusyuk. Bertakung air matanya di pelupuk mata ketika dia sedang berdoa. Padanya biarlah dia merintih di hadapan tuhannya. Segala kedukaan hatinya diluahkan di tikar sejadah, segala kesugulan jiwanya dicurahkan pada Penciptanya, segala pengaduan diajukan kepada tuhan yang berkuasa ke atasnya. Dia sedar kudratnya sebagai manusia tidak berkuasa mengubah apa-apa melainkan hanya memanjatkan doa kepada tuhan untuk diberikan rahmat ke atasnya.

Selesai solat maghrib dia segera bergegas kembali ke meja kerjanya. Keadaan mejanya tidak ubah seperti tongkang pecah. Penuh dengan fail, laporan, alat tulis dan segala macam sampah sarap ciptaannya. Zul mengemaskan segala perkakasan di atas meja dan mencapai bag galas untuk diisikan dengan fail-fail rujukan milik pejabat. Aduh, aku dah tak larat nak teruskan laporan ni, bisiknya. Dia berdiri tegak seketika sambil merenung laporan yang dikerjakan sejak petang tadi. Hmm, tak apalah. Biar aku bawa balik laporan ni dan cuba siapkan di rumah pulak.

“Hello mummy, ini Alang ni. Alang still kat pejabat lagi. Semua orang di rumah dah makan malam ke belum? Belum ya? Apa, mummy tak masak apa-apa malam ni? Haa..tak apa, biar Alang belanja makan kat luar malam ni. Insya Allah dalam 40 minit lagi Alang sampailah di rumah. Ok ya mummy, assalamualaikum!”, pantas Zul meletakkan gagang telefon. Okay, aku kena gerak sekarang ni. Lambat balik nanti, bising pulak mummy dan papa di rumah.

Zul mengaturkan langkahnya segera ke stesen LRT di tingkat bawah. Perjalanan pulang ke rumah dari pejabatnya di Menara Berkembar Kuala Lumpur hanya mengambil masa 30 minit saja dengan menaiki LRT. Itu pun dia terpaksa menukar LRT daripada laluan LRT Putra kepada laluan LRT STAR di Stesen LRT Masjid Jamek. Parah juga Zul membayar tambang LRT setiap bulan. Tapi apakan daya, dia tak mampu untuk punyai kereta. Berkali-kali Angah menyuruh dia membeli sebuah motorsikal supaya mudah untuk Zul bergerak ke sana ke mari tapi dia sengaja menolak cadangan Angah itu. Zul senang begitu, kurang stress katanya.

“Excuse me, saya rasa saya pernah nampak saudara. Tapi tak berapa ingat pulak di mana kita berjumpa, “ tegur seorang gadis. Dia berpakaian t-shirt berwarna merah jambu yang agak ketat sedikit dan berseluar jeans. Jelas kelihatan yang gadis ini gadis kota. Ketika itu keadaan di Stesen LRT Masjid Jamek agak kelam-kelam sedikit. Zul sedikit terperanjat. Maklumlah baginya bukan menjadi satu kebiasaan bagi gadis menegur lelaki. Zul meneliti gadis itu dari muka sampailah ke hujung kakinya. Wajahnya yang bujur sireh, bertubuh lansing, berkulit cerah dan memiliki sebuah senyuman yang manis sekali kelihatan seperti pernah dia ketemui sebelum ini. Berkerut-kerut dahinya cuba untuk mengingatkan wajah gadis itu. “Errr…saya pun rasa saya pernah jumpa cik ni. Tapi tak berapa ingatlah, sorry ya!”, balas Zul kembali. Boleh tahan juga minah ni, katanya dalam hati. Kemudian mata Zul menjeling ke arah jam tangannya. Alamak, kenapa pulak LRT lambat sangat ni. Mesti diorang di rumah kebulur menunggu aku balik, gerutunya.

“Haa baru saya teringat! Saya terjumpa saudara ni dalam flight dari Newark ke KLIA dulu. I was one of the flight crews at that time,” jelas gadis itu. “Hmm…eh kejap. Ini Cik Syarmila ke? Yang lawa-lawa tu kan?” tanya Zul selamba sambil membeliakkan matanya. Gadis di hadapannya tersenyum lagi. “Ya saya. Nama saya Syarmila Mansur tapi panggil saja saya Mila. Nama saudara apa ya?” ujar Mila tersipu-sipu malu mendengarkan pertanyaan Zul itu. “Panggil ajer saya Zul”. Mila menghulurkan tangannya tanda salam perkenalan. “Maaf saya tak salam dengan perempuan, haram!” Zul tersengih lagi. Pipi Mila mula terasa hangat, pipi gebunya yang putih itu mula kelihatan kemerah-merahan.

“Cik Mila, LRT untuk pulang ke rumah saya dah pun sampai. I guess I’ll see you some other time ok? By the way, this is my business card. You can either keep it or throw it away,” ujar Zul tersenyum sambil menghulurkan kadnya. Mila menyambut kad tersebut dari tangan Zul. “Ini pula kad saya. Zul pun boleh buat perkara yang sama juga, samada simpan kad ini atau pun buangkan terus dalam tong sampah tu,” balas Mila. Wajah Mila bertukar dari tersenyum manis kepada masam mencuka. Alamak, minah ni perli aku nampak, kata Zul dalam hati. Sengih Zul masih tak lekang lagi dari bibirnya. “Okaylah, jumpa lagi ya! No hard feeling tau? Assalamu’alaykum,” Zul dengan segera berlalu dan masuk ke dalam LRT meninggalkan Mila. Mila seakan terpaku di situ, terkejut dengan tindakan Zul. Terasa sebal hatinya diperlakukan sebegitu oleh Zul.

*******************************************************

Sudah hampir setengah tahun Zul pulang dari Amerika. Pelbagai peristiwa berlaku sepanjang tempoh itu. Kak Long sudah pun bertunang dengan Abang Faizal, Angah pula menyambung pengajiannya di UTM dalam peringkat ijazah sarjana dan Nani baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Papa juga telah pencen dari pekerjaannya sebagai anggota polis. Zul pun makin tenggelam dalam kesibukannya di tempat kerja. Dia selalu pulang larut malam sehinggakan papa dan mummy turut perasan perubahan dirinya. Waktu terluang di hujung minggu pula sering dia habiskan dengan aktiviti usrah dan kegiatan jemaah.

“Zul, papa ada hal sikit nak cakap dengan kau ni”.

“Ada apa papa? Zul ada hal di luar sekejap lagi,” balas Zul lembut. “Lama papa tak sembang dengan kau. Sejak kau terlibat dengan usrah kau tu, jarang kau ada kat rumah ni,” tegur papa sayu. Bergetar pada hujung nada suaranya. Zul melemparkan pandangannya ke luar rumah kemudian dia memakukan pandangannya pada budak-budak kecil yang bermain di luar pagar rumahnya. “Papa bukan nak kongkong sangat kau. Kau pun dah besar, bukan macam dulu-dulu. Cuma papa nampak kau jarang ada di rumah ni,” kata papa lagi. Papa meletakkan helaian suratkhabar yang tergenggam kemas di tangannya ke atas meja.

“Zul tak ke mana-mana papa. Zul cuma pergi program usrah saja dengan kawan-kawan. Usrah tu macam kelompok kecil yang bincangkan soal agama. Tak lebih dari itu,” jelas Zul. “Itu papa tahu, bahkan papa juga tahu usrah tu maksudnya keluarga dalam bahasa arab. Tapi bukankah keluarga kau di sini juga perlu dipentingkan juga?”, tingkah papa. Kali ini nadanya agak tinggi sedikit. Zul sedikit terkejut. Dia sedikit pun tak bermaksud untuk mengusik ketenangan hati bapanya. Namun dia segera menghindarkan segala perasaan buruk sangkanya pada papa. Bimbang kalau-kalau apa yang dilahirkan di hatinya akan mengocakkan lagi suasana ketika itu. Zul menelan air liurnya sesaat kemudian. “Papa, Zul tahu keluarga kita penting. Tak ada sesiapa pun dalam dunia ni boleh sangkal kenyataan tu. Bila Zul sertai usrah, bukanlah maksudnya Zul lupakan keluarga kita papa. Itu sesuatu untuk diri Zul, untuk bekalan Zul pada keluarga yang bakal Zul bina. Bekalan untuk Zul tebus hasilnya di akhirat nanti. Harap papa mengerti apa yang Zul lakukan ni ya,” ujar Zul seraya pandang tepat wajah papa. Dia mengeluh perlahan. Bagaimanakah aku dapat fahamkan papa?

Zul minta izin dari papa untuk keluar dari rumah. Dicapainya kunci kereta Wira 1.5L milik papa dan terus dia berlalu dari Taman Uda Jaya menuju ke Shah Alam. Di sepanjang Lebuhraya KESAS itu dia melayari perasaannya memikirkan tentang perbualan singkat dia dengan papa tadi. Sesekali datang perasaan bersalah datang menghinggap dirinya tapi dia cuba menyakinkan tindakannya itu tetap benar. Perubahan pada keadaan emosi papa setelah pencen dirasakannya semakin mendadak. Papa mudah sangat terasa hati apabila anak-anak tidak mendengar katanya. Ingat lagi Zul pada ketika Kak Long meluahkan hasratnya untuk bertunang dengan Abang Faizal. Papa sungguh-sungguh tidak bersetuju dengan keinginan Kak Long. Bengkak mata Kak Long menangis berhari-hari mengenangkan permintaannya yang ditolak mentah-mentah oleh papa. Apa kurangnya Abang Faizal daripada orang lain, rintih Kak Long pada papa. Angah yang sering mendiamkan diri dalam urusan keluarga pun terpaksa masuk campur dalam soal ini. Angah dan mummy cuba pujuk papa supaya menerima pilihan Kak Long. Takkanlah hanya kerana Abang Faizal anak orang kenamaan, maka dia tidak boleh bersama Kak Long, anak golongan kelas pertengahan. Akhirnya setelah sebulan Angah dan mummy memujuk papa, barulah dia setuju menerima Abang Faizal sebagai tunangan Kak Long. Itu pun setelah sebulan lamanya Kak Long tidak bertegur sapa dengan papa di dalam rumah. Abang Faizal juga bersungguh-sungguh membawa kedua orang tuanya datang berjumpa dengan papa untuk menunjukkan kesungguhannya menyunting anak dara Pak Mohamad ini. Apabila dilangsungkan majlis pertunangan Kak Long dengan Abang Faizal, Zul dapat lihat betapa berseri-serinya wajah kakaknya itu tanda sukacitanya dapat ditunangkan dengan bakal suaminya.

Trutttt…truttttt..trutttt..

Ah, siapa pulak yang kacau aku ni, bentak hatinya. “Hello, assalamualaikum. Ini Zul bercakap. Oh Mila. Mila nak jumpa Zul? Bila? 8.30 malam ni? Tak bolehlah Mila tapi kalau you nak jumpa I lepas Isyak okay lah kot. Jumpa kat Nan Corner? 9.30 malam ni? Insya Allah, kita jumpa di sana nanti ya. Assalamu’alaykum,” ringkas saja perbualannya dengan Mila. Zul terus saja menghalakan keretanya menyusur keluar dari lebuhraya itu menuju ke Seksyen 11.

Program usrah bermula pada waktu Zuhur dan tamat kira-kira satu jam atau dua jam selepasnya. Itu bergantung kepada topik-topik yang dibawakan semasa usrah berlangsung. Zul kadang-kadang diberikan tugasan untuk membentangkan tentang satu-satu isu dan selebihnya dibawakan oleh naqib usrah sendiri. Kegiatan berusrah bagi Zul tidaklah asing kerana dia telah mengenali amalan sunnah rasulullah ini sejak dia menuntut di PPP lagi. Semasa di sana dia aktif menyertai kegiatan keagamaan. Barangkali kerana tarikan daripada teman sebiliknya, dia akhirnya menjadi cenderung untuk bergiat dalam aktiviti sebegini.

“Assalamu’alaykum ikhwan yang ana kasihi sekalian. Hari ini ana ditugaskan untuk bawa tajuk, Politik Islam. Ana faham ramai di antara kita ini tidak begitu memahami apa itu politik Islam, bahkan ada yang berpendapat tiada tempat bagi politik dalam agama kita,” Zul memulakan penyampaiannya dalam sesi usrah. Ada ahli-ahli usrah yang lain mengangguk-anggukkan kepalanya dan ada pula yang mencatatkan segala butir yang dikeluarkan dari mulut Zul. “Contoh amalan politik yang pertama yang kita dapat lihat dalam sirah nabawiyah adalah semasa penggubalan perlembagaan Madinah iaitu Sahifah Madinah. Nabi Muhammad telah diangkat secara sebulat suara sebagai pemimpin kota Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Madinah Al Munawwarah. Hal ini juga mencangkupi kepada sifat tolak ansur yang ditunjukkan oleh golongan Ansar dan juga Muhajirin kepada golongan bukan Islam yang menetap di situ,” kelihatan tegas sekali Zul menyampaikan isi kandungan pidatonya. Sesekali Zul menyemak helaian nota di hadapannya bagi memastikan dia tidak terbabas dari topik yang sedang dibincangkan.

Setelah tamat sesi usrah, Zul sempat menyemak notanya dengan beberapa orang sahabatnya dalam usrah. Naqib usrahnya sempat memuji kehebatan Zul mengendalikan usrah pada kali ini. Zul hanya tersenyum sahaja. Dia tidak cepat lupa pada pujian. Dia sedar pujian yang diberikan oleh naqib adalah untuk meniupkan semangat bagi terus istiqamah atau kekal dalam aktiviti berusrah. Kemesraan yang wujud sesama ahli usrah merupakan hasil daripada tarbiyah atau didikan ikhlas yang berteraskan ajaran Islam. Bagi dirinya, dia berazam untuk mendalami ilmu Islam di samping sibuk bekerja kerana ilmu asas Islam ini adalah tuntutan fardhu ain kepadanya. Apabila selesai mendalami ilmu Islam, dia juga berhajat untuk mempelajari cabang-cabang ilmu dalam Islam. Zul sering mengingatkan dirinya yang Islam ini bukanlah satu ajaran agama semata tetapi ia lebih merupakan kepada satu cara hidup yang lengkap yang diturunkan oleh Maha Berkuasa kepada seluruh makhluk di mukabumi ini.

“Akhi, subhanallah ana kagumlah tengok gaya anta bagi pengisian,” tegur Taufiq. Dia tersenyum lalu menepuk-nepuk bahu Zul. “Alhamdulillah, ana rasa ini pun datang dari bantuan Allah Ta’ala.Kalau Dia tak bantu, masakan ana dapat buka mulut hari ni, betul tak akhie? Mudah-mudahan Allah sentiasa permudahkan urusan kita ya,” ujar Zul sambil tersenyum. Senang sekali berbicara dengan anak muda ini kerana sifatnya yang rendah diri itu. Tersenyum saja Taufiq mendengarkan penjelasan Zul. “Eh Zul, ana sebenarnya ada hal sikit nak bincang dengan anta. Baru-baru ini ana pergi berjumpa dengan Ustaz Marzuki. Dia sampaikan salamnya pada anta sekali. Ustaz minta bantuan dari kita,” kata Taufiq. “Bantuan yang macam mana ni akhie,” soal Zul tertanya-tanya. “Macam ni, ustaz kata dia hendak berjumpa dengan semua ahli usrah minggu depan. Ada amanat penting yang dia hendak sampaikan pada kita semua. Insya Allah dia akan bawa seseorang dalam perjumpaan usrah minggu depan”. Zul terangguk-angguk mendengarkan penjelasan dari Taufiq. Kemudian dia melemparkan pandangannya jauh ke luar tingkap seperti cuba meneka akan perkara yang bakal disampaikan oleh Ustaz Marzuki nanti.

****************************************************

“Assalamu’alaykum Mila”.

“Wa’alaykumsalam, Zul jemputlah duduk,” balas Mila lembut. Di sebelahnya ada seorang gadis lain yang kemas berpakaian t shirt dan jeans hitam. Mila sendiri berpakaian ringkas malam itu, hanya berblaus putih dan skirt labuh berwarna coklat tua. Mila tahu Zul tidak suka berjumpa dengannya bersendirian, jadi dia bawakan rakan serumahnya untuk menemani Mila berjumpa dengan Zul.

“Tak nak kenalkan ke kawan Mila tu pada Zul?” tegur Zul sambil menjeling pada teman di sebelah Mila. “Oh, terlupa pulak. Dia ni namanya Suria. Kawan serumah Mila. Su, kenalkan Zul. Inilah kawan yang Mila selalu ceritakan tu,” ujar Mila pada Suria. Suria menghulurkan tangannya pada Zul tapi segera Mila menarik tangan Suria ke atas meja semula. “Zul tak salam dengan perempuan,” kata Mila sambil melirik senyuman pada Zul. Isk, ada saja modalnya untuk perli aku, gerutu hati Zul. “Hmm..bila Mila balik dari LA? Berapa lama Mila cuti kali ni ya?” soal Zul seraya mengukirkan senyumnya pada kedua gadis di hadapannya. Mila menjelaskan yang dia hanya akan berada di ibukota untuk beberapa minggu sahaja. Selepas ini dia akan kembali meneruskan tugasnya semula sebagai pramugari di langit biru. Oleh kerana itu dia ingin sekali bertemu dengan Zul sebelum dia kembali bertugas. Banyak sekali perkara yang mereka bertiga bualkan di meja.

Sejak pertemuan mereka yang tidak sengaja di LRT setengah tahun dulu, mereka menjadi semakin akrab. Zul yang mula-mula mengirimkan pesanan ringkas pada Mila menerusi telefon bimbitnya. Pada mulanya Mila berasa agak kekok berbual dengan Zul kerana Zul agak ‘bersopan santun’ baginya berbanding dengan kawan-kawan lelaki Mila yang lain. Mila merasakan Zul mempunyai kelainan pada personalitinya. Acap kali dia bertemu dengan lelaki yang berpendidikan tinggi tapi kelakuan mereka tidak pula mencerminkan taraf pendidikan yang mereka punyai. Jarang dia berjumpa bekas pelajar lulusan dari luar negara yang mempunyai pendirian seperti Zul, lebih-lebih lagi pada pendiriannya mengenai agama. Ketegasan Zul dalam beberapa perkara mengenai kehidupan juga turut membuatkan Mila tertarik padanya. Lama kelamaan Mila berasa selesa berkawan dengannya.

“Mila, Zul nak baliklah. Tak balik rumah sejak dari Zuhur tadi. Sekarang pun dah jam 11.30 malam. Takut-takut bising pulak orang kat rumah tu,” jelas Zul. Dia memandang tepat ke wajah Mila. Mila pun mengangguk lemah tanda faham. Lagi satu perangai Zul yang Mila akur adalah kebencian Zul untuk berada di luar rumah sehingga lewat malam. Pada Zul, dia perlu berada di rumah seelok-eloknya sebelum jam 12 tengah malam. Mila termenung sekejap, apakah dia ini waris lelaki melayu terakhir? Orang zaman sekarang tidak betah duduk di rumah tapi Zul pula tak betah duduk di luar. “Okaylah Zul. Mila pun nak balik dah ni. Penat satu badan ni pun tak hilang lagi sebab keluar pergi shopping dengan Su siang tadi,” balas Mila sambil menjeling pada Su. Su hanya tertawa kecil. “Haa..mari Zul hantarkan ke kereta. Hmm..siapa nak bayarkan teh ais Zul ni? Orang tengah sengkeklah, maklumlah sekarang kan tengah bulan,” Zul menjeling pada Mila sambil mengenyitkan matanya pada gadis itu. “Kitalah tu jadi mangsa dia ya malam ni? Tak apa, kali ni Mila belanja. But next time Zul pulak yang kena bayarkan. Okay?” pantas saja Mila mengaturkan janji. Zul hanya tergelak saja sambil mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju.

Setelah Zul meninggalkan kereta Satria Gti berwarna kelabu metalik milik Mila, gadis itu terus menghidupkan enjin kereta dan berlalu dari situ. Mila memegang erat stering kereta sambil memusatkan pandangannya pada jalanraya. Dalam hatinya masih lagi tertanya-tanya, apakah motif sebenar Zul mengenyitkan matanya pada dia? Tak pernah dia lihat Zul berbuat demikian padanya. “Eh Mila, kawan kau tadi best lah. Aku suka borak dengan dia. Nampak cool ajer,” kata Suria sambil tersengih. “Aku dah cakap kat kau. Kau tak caya”. “Ye lah, ye lah. Aku ajer yang kena. Tapi dia tak handsomelah. Hmm..kalau dia handsome kan, sure ramai awek lain himpit dia kan Mila?” ujar Suria lagi. Mila hanya mengangkat bahu saja sambil mencebikkan mukanya tanda protes. “Eh Mila, dia single lagi tak? Aku rasa aku dah berkenan lah kat mamat tu,” usik Suria lagi. “Manalah aku tahu Su. Kenapa kau tak tanya dia tadi?” tempelak Mila. Jauh di sudut hatinya, dia berharap tiada wanita yang datang bertakhta di hati Zul.

No comments: