Wednesday, January 14, 2004

Sejalur Sinar di Ufuk Timur (3)
Kak Long mengatur langkahnya cermat sebaik sahaja dia keluar dari bank Bumiputera-Commerce. Matanya sentiasa melihat ke hadapan, tampak penuh keyakinan di dada. Sedang dia melangkah menuju ke arah pintu keluar dari bangunan KLCC, Kak Long terserempak dengan seseorang yang dia sudah lama tidak ketemu. “Eh Kak Long! Kak Long buat apa di sini?” tegur Nora mesra. Kak Long menghulurkan tangannya dan Nora menyambut salam Kak Long dengan erat sekali. Mereka berpelukan sebentar. “Kak Long baru keluar dari bank tadi. Saja Kak Long nak tengok berapa simpanan dalam bank,” jelas Kak Long sambil menjeling ke arah pemuda yang berdiri di sebelah Nora. “Oh, sebelum Nora lupa kak! Kenalkan Ahmad Shariza, tunang Nora,” kata Nora sambil melirikkan pandangannya pada tunang tersayang. Kak Long hanya menganggukkan kepalanya dan tersenyum di situ. “Eh, janganlah tercegat di sini saja. Jom kita pergi food court kat tingkat 3 sana. Boleh kita bual panjang lagi,” cadang Kak Long.

Mereka bertiga berjalan beriringan menuju ke Medan Selera di tingkat tiga Grand Suria Mall. Masing-masing seronok menceritakan perihal diri masing-masing sejak pertemuan terakhir mereka kira-kira empat tahun yang lalu. Kak Long juga tidak lupa mengkhabarkan pada Nora yang adiknya, Zul, sudah pun menamatkan pengajiannya di Amerika. Dalam hatinya sekoyong-koyong datang perasaan sedih apabila melihatkan kemesraan yang wujud di antara Nora dan tunangnya. Kasihan Alang, menanti bulan yang takkan jatuh ke ribaan, desis hatinya.

“Zul masih single lagi ke kak?” tanya Nora. Kak Long menganggukkan saja kepalanya tanda jawapan positif. Nora terdiam sebentar. “Emm…Kak Long dah kahwin ke belum ni? Zul pun dah tamat belajar kan. Adik bungsu Kak Long, si Nani tu pun agaknya dah besar dah sekarang ni,” ujar Nora lagi, seolah-olah cuba mengalihkan perhatiannya ke topik yang lain. Kak Long merenung sinar mata Nora, seakan-akan cuba menafsirkan apakah ada sambungannya pada soalan yang pertama tadi. Dia menghela nafas yang panjang. “Kak Long belum ada kesempatan lagi Nora nak cari calon untuk diri sendiri. Sibuk jaga urusan keluarga. Kerja di pejabat pun berlambak. Tak apa, kalau ada jodoh tak ke mana, lambat laun kahwin juga. Betul tak Nora?”, jelasnya dengan berseloroh bersahaja. Kedua-duanya tertawa kecil di situ.

Banyak sebenarnya kisah rahsia yang terselit di balik kemesraan mereka berdua. Kak Long mengenali Nora terlebih awal dari adiknya mengenali gadis itu. Nina. kakak kepada Nora adalah teman serumahnya ketika dia menuntut di bumi England dulu. Biarpun dia tidaklah mengenali secara rapat diri Nora, namun sedikit sebanyak dia beroleh juga kisahnya apabila tiap kali Nina mendapat kiriman surat dari Malaysia. Pernah satu ketika Nina memakluminya yang adiknya mempunyai peminat di kolej. Tapi sayangnya, adiknya tak pernah menaruh perasaan yang sama pada pemuda itu. Yang merunsingkan adiknya apabila pemuda itu begitu bersungguh-sungguh memenangi hatinya sedangkan dia hanya menganggap pemuda itu sekadar teman biasa. Nina cuba mendapat khidmat nasihat Kak Long bagaimana untuk mengatasi masalah adiknya itu. Pada waktu itu Kak Long sedikit pun tidak menyangka yang pemuda yang dimaksudkan itu adalah adiknya sendiri sehinggalah dia mendapat panggilan telefon dari Malaysia.

“Kak Long, Alang kecewa sungguh dengan dia!”.

“Laaa…kenapa ni Alang? Kecewa dengan siapa ni?”, soal Kak Long. Zul mengeluh panjang, sugul saja kedengarannya. “Zul rasa kak, Zul dah jatuh cinta dengan si minah ni. Zul dah buat macam-macam kak. I mean, literally, I did so many things to win her heart,” jelas Zul. Sekali lagi, nada suaranya murung sekali. “Zul tak pernah rasa macam ni kak. Demi Allah, Zul tak pernah rasa macam ni,” begitulah luahan hati adiknya. Kak Long merasa serba salah sekali. Apa yang harus aku katakan padanya, bisik hatinya. “Alang dah luahkan ke perasaan Alang pada dia? Alang dah merisik ke budak pompuan tu sebelum masuk line?” tanya Kak Long lembut. Dia bimbang sekiranya soalan-soalannya mengeruhkan lagi suasana hati Zul yang gundah itu. Pelik dia akan keadaan emosi adiknya itu. Jarang sekali Zul menunjukkan emosinya pada perempuan. Dia sedar yang adiknya punya cita-cita yang tinggi dan jarang sekali memberi perhatian pada perkara-perkara remeh sebegini. Jiwa kentalnya jarang sekali mengambil pusing tentang soal cinta duniawi apatah lagi ingin merebut hati seorang wanita. Apabila ditanyakan tentang soal cinta remajanya, sering saja Zul mengelak dan mencebikkan mukanya.

“Zul dah usha dah minah tu. Zul dah selidik dah latarbelakang keluarganya. Zul tahu dia masih lagi single kak. Kenapa dia tak mahu terima Zul, kak? Apa kurangnya Zul ni? Apa lagi yang dia mahu Zul buat untuk dia?” soal Zul bertalu-talu pada kakaknya mohon simpati dan mohon pengertian. Kak Long mati akal sebentar. “Dik, cinta bukan boleh dipaksa. Kak Long pasti ramai lagi perempuan di kolej Zul tu. Mesti ada yang lagi hebat dari dia, lagi canggih dari dia bahkan lagi lawa dari dia,” terang Kak Long. “Tapi kak, Zul tak mahu orang lain. Zul nak dia juga. Dialah yang paling baik di mata Zul, dialah yang paling lawa di mata Zul. Zul tak pernah rasa cinta kak, tapi Zul yakin dialah cinta hati Zul,” balas Zul keras. Sejurus selepas itu kedengaran di corong telefon suara Zul yang tertahan-tahan, tersedu menahan air mata dari tertumpah dari pelupuk matanya. Kali ini Kak Long tewas. Kak Long tak mampu berkata apa-apa lagi untuk menenangkan hati adiknya yang rawan. Hati Kak Long tertanya-tanya, apakah kehebatannya gadis bernama Nora ini hingga membuatkan jiwa jantan adiknya longlai sama sekali. Kedua-duanya terdiam buat seketika.

“Alang, Kak Long memang betul-betul tak tahu macam mana lagi nak redakan hati Alang. Tapi Kak Long yakin setiap yang berlaku ni, mesti ada hikmahnya yang kita tak nampak. Alang, Kak Long ni orang perempuan. Kak Long tahu hati perempuan ni macam mana. Kalau hati dah berkata tidak, maka tidaklah jawapannya. Tak guna lagi dipujuk-pujuk lagi. Kalau betul Zul rasa hati Zul kuat padanya, Zul biarkan saja dia pergi dari Zul. Lambat laun dia akan kembali juga kalau takdir Allah menentukan. Jangan biarkan emosi menguasai dirimu. Bukankah papa pernah pesan dulu, hati yang lemah akan mudah dikuasai syaitan?” lembut saja Kak Long menuturkan katanya. Zul masih lagi bungkam di hujung talian sana. Kedengaran lagi bunyi kesatan air mata di pipi adiknya. “Adik dengar tak cakap Kak Long ni?” soalnya lagi. “Ya kak, Zul dengar ni”, balas Zul lemah.

Begitulah perbualannya dengan Zul suatu ketika dahulu. Mujur saja adiknya masih lagi waras untuk mengawal emosinya ketika itu. Kalau tidak, Kak Long sendiri tidak tahu apakah yang akan dilakukan oleh adiknya itu. Seminggu selepas dia mendapat panggilan telefon dari Zul, Nina teman serumahnya memaklumkan padanya yang masalah Nora telah pun selesai. Pemuda yang tergila-gilakan adiknya sudah pun berhenti daripada berkomunikasi dengan adiknya. Walaupun itu bukanlah satu petunjuk yang terbaik, tapi sudah cukup untuk melegakan hati adiknya. Terpacul dari mulut Nina menyebutkan nama adiknya, Nora pada Kak Long. Kak Long terpaku seketika. Nora, bukan ke nama itu yang Zul sebutkan dulu, bisik hatinya. Setelah dia bertanyakan dengan lebih lanjut tentang perihal adik Nina, barulah dia ketahui yang Nora yang dimaksudkan oleh Zul adalah adik kepada si Nina. Subhanallah, kecil sangat bumi tuhan ini. Nina sendiri terkejut apabila mengetahui pemuda yang menggilai adiknya adalah adik kepada
Zulaika, teman serumahnya itu. Ketika itu dia merasa malu yang teramat sangat. Berkali-kali dia meminta maaf pada Zulaika akan peristiwa yang terjadi di antara adiknya dan juga adik Zulaika. Sungguh-sungguh dia tak menyangka sama sekali begini kesudahannya.

“Amboi Kak Long, lama termenung tu! Teringat siapalah tu ya?” tegur Nora. Kak Long tersedar dari lamunannya. Kemerah-merahan pipinya menahan perasaan malu. “Tak ada apa-apalah Nora. Tiba-tiba kenangan lalu mengusik jiwa,” ujarnya selamba. Kak Long tersengih sebentar.

Nora dan tunangnya memohon diri untuk berlalu dari situ. Katanya mereka ada urusan yang hendak diselesaikan. Sebaik sahaja mereka menghabiskan minuman masing-masing, mereka berdua berlalu dari situ. Sempat juga Kak Long minta Nora menyampaikan salamnya pada Nina. Nora juga mohon Kak Long menitipkan salamnya pada Zul. Kak Long kembali tersandar semula di kerusinya. Melepaskan keluhan yang panjang. Terlalu banyak kebetulan yang terjadi dalam hidup keluarganya. Apakah ini sememangnya kebetulan atau suratan ketetapanNya, dia sendiri tidak mengetahuinya. Namun jauh di sudut hatinya dia memanjatkan doa agar adiknya sentiasa tabah dan semoga hidup Nora dilimpahkan kebahagian berpanjangan.

***************************************************

Perjalanan ini terasa menyedihkan
Sayang engkau tak duduk di sampingku kawan
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering berbatuan..oh
Tubuhku tergoncang dihempas batu jalanan
Hati tergetar menampak kering kerumputan
Perjalanan ini seperti jadi saksi
Gembala kecil menangis sedih
Kawan coba dengar apa jawapnya
Ketika ia kutanya mengapa
Bapak ibunya telah lama mati
Ditelan bencana tanah ini
Sesampainya di laut,, kukhabarkan semua
Kepada karang kepada ombak kepada matahari
Tetapi semua diam, tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri terpaku menatap langit
Barangkali di sana ada jawapnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana
Mungkin tuhan mulai bosan melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa dosa
Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang

Syahdu sekali lagu ini ya, getus hati Zul. Dia begitu khayal sekali menghayati tiap baris seni kata lagu nyanyian M Nasir dan Ebiet G Ade. Kedua-duanya adalah penyanyi pujaan Zul. Tak hairanlah dia mudah tenggelam dengan melodi indah dan juga senikata yang penuh makna hasil gurindam kedua-dua penyanyi yang tersohor itu. Sedang asyik sekali dia menikmati lagu Berita dari Kawan, telefonnya berbunyi meminta perhatian. Aduh kacau betullah ni, orang baru nak merehatkan kepala, gerutunya sendirian.

“Hello, boleh saya bercakap dengan Encik Zulhariq Mohamad”. “Ya, bercakap di sini,” balas Zul tenang. “Saya buat panggilan ni dari Kedai Ubat Ah Seng, Jalan Ipoh. Kami dimaklumkan yang Encik Zulhariq ada membuat tempahan Ubat Tongkat Ali, makjun tenaga batin dari kami,” kedengaran lagi suara pemanggil itu. Dahi Zul mula berkerut. “Eh, saya tak pernah buat order tu. Kedai Ubat Ah Seng pun saya tak pernah dengar namanya. Awak silap orang kot,” jelas Zul bersungguh-sungguh. Tetiba suara pemanggil bertukar kepada gelak ketawa. Berdekah-dekah sekali ketawanya. “Woi! Ini aku lah, Fizzah,” gelaknya tak berkeputusan. “Fizzah? Fizzah mana? Ohhh..Hafiz Zahri. Celaka kau kenakan aku ya?!” kali ini giliran Zul pula yang ketawa besar. “Mana kau dapat nombor telefon pejabat aku ni?” soal Zul termengah-mengah menahan diri dari tertawa lagi. Fizzah atau nama sebenarnya Muhd Hafiz Zahri, temannya di sekolah menengah dulu menjelaskan yang dia mendapat nombor telefon ini dari teman yang lain. Sudah lama dia cuba mencari jalan untuk menghubungi Zul tapi baru kini berjumpa masa yang sesuai.

“Yo Fizzah, sorry lah aku tak boleh bercakap lama dengan kau. Aku sebenarnya ada kerja ni. Apa kata kalau kita jumpa hujung minggu ni?” cadang Zul. “Okay, aku setuju. Aku pun sebenarnya lama dah nak sembang-sembang dengan kau ni. Dengar cerita banyak kisah sensasi pasal kau sekarang eh?” usik Fizzah. Zul hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menidakkan soalan itu. Selepas itu mereka memutuskan tempat dan waktu untuk bertemu, Zul meletakkan gagang telefonnya kembali. Dia tersengih sendiri. Kau Fizzah memang tak pernah hilang minat kau nak kenakan aku ya, kata Zul lagi sambil menggeleng-gelengkan kepalanya lagi. Alamak dah jam 6.30 petang ni tapi laporan data analisis belum siap lagi. Matilah aku kali ni! Zul kembali memusatkan fikirannya pada tugasan yang belum diselesaikan lagi. Dia berazam untuk menyiapkan laporan itu sebelum dia pulang ke rumah malam ini.

No comments: