Sejalur Sinar di Ufuk Timur (5) |
Hatinya kian resah apabila malam makin dinihari. Matanya masih lagi terkelip-kelip merenung siling biliknya. Ah, sampai bilakah aku akan terus begini. Aku perlukan tidur ini untuk bangkit awal pada esok hari, ngomelnya sendirian. Keadaan sunyi sepi di biliknya menyelimuti diri. Hanya bunyi cengkerik yang mengisi tiap ruang kosong, sedikit sebanyak menjadi simfoni penghibur kesunyiannya itu.
Jemu menanti mata yang tak terpejam tadi, dia bangkit dari katilnya dan berlalu ke mejanya. Dia merenung gambarnya bersama tunang, Ahmad Shariza, yang diambil kira-kira satu tahun yang lepas ketika selepas majlis pertunangannya diadakan. Ahmad Shariza atau lebih gemar dipanggil Shariz jarang bercakap. Shariz lebih suka mendengar celoteh Nora apabila keluar dengannya. Nora merenung wajah tunangnya dalam-dalam. Dia senang sekali memerhatikan wajah tenang tunangnya itu terutama apabila Shariz sedang fokus mengerjakan sesuatu. Ada satu perasaan yang tak dapat dia gambarkan muncul dalam hatinya setiap kali dia merenung wajah Shariz. Sinar mata Shariz sering bercahaya, seolah memancarkan sesuatu yang luhur. Hanya pasangan yang bercinta saja mampu mentafsirkan apakah cahaya itu, bicara hatinya lagi. Dia juga pernah melihat sinar mata yang sama tetapi dari jiwa lelaki yang lain suatu ketika dahulu. Nora menarik lacinya dan mengambil keluar diari dari ceruk laci. Perlahan-lahan dia menyelak tiap lembar diarinya. Nora jarang menulis dalam diari melainkan dia ada sesuatu yang penting untuk diceritakan atau yang penting diingati. Hatinya tertarik untuk melihat catatan bertarikh 13 Ogos 1998. 11/9/1998 – 12. 20 tengah malam. Aku tak tahu kenapa aku menangis waktu melihat dia melangkah pergi. Aku tahu, dia tinggalkan Malaysia dengan hati terluka. Hati aku sebak bila aku nampak air matanya bergenang bila mana dia menoleh ke belakang. Redup sinar mata dia cukup membuatkan aku sebak tak tertahan. Aku akur yang hatiku dimilikinya, bukan Lan tapi Zul. Di situ juga air mata aku terburai dari kelopaknya. Hatiku luluh semahu-mahunya. Hati pedih menangis Jiwaku yang suram Malam yang panjang ini, aku bersendirian Merenung kehidupan Memikirkan kesudahan Pada siapakah hendak kucurah keresahanku Aku berpaut pada sejengkal tali cuma Itulah yang ada sementara aku Hidup di dunia ini Inikah dugaanku Inikah kesempatan Haruskah kuterus atau membiarkan ianya berlalu Dekat di depan mata, berat meluah kata Terpendam segala apa dirasa Sekian lama ini Apakah kita nanti tiada dapat serasi Ataukah hanya aku bermimpi untuk memiliki Aku ingat lagi email yang dia hantar padaku. Dia janji, dia akan hentikan segala komunikasi dengan aku kalau dia tahu aku sudah berpunya. Selagi perkara tu tidak terjadi, dia akan tetap mendatangi aku dalam apa cara sekali pun. Aku benci pada diriku sendiri kerana melepaskan dia. Aku tahu dia kecewa yang teramat sangat. Tapi aku sangat lemah. Aku tak mampu lagi tanggung rasa bersalah aku pada dia. Aku tak tahu pun kenapa aku rasa bersalah. Salah ke aku meminta waktu darinya? Aku sungguh-sungguh terasa kehilangannya sejak dia tahu dari Ain yang aku sudah berpunya. Dia betul-betul kotakan janjinya. Kini sudah sebulan Zul tinggalkan hidup aku. Tiada lagi email darinya, tiada lagi nota ringkas darinya, tiada lagi panggilan telefon darinya. Aku sunyi sekali. Aku rindukan nasihat-nasihat darinya, aku rindukan lenggok bahasanya, aku rindukan senyuman bibirnya. Lan tinggalkan aku bila dia tahu aku pergi ke KLIA untuk menghantarnya. Lan cemburu mengetahui aku menangis bersungguh-sungguh di lapangan terbang. Salahkah aku menangisi pemergiannya? Sudahnya Lan pergi terus meninggalkan aku. Zul, maafkan aku zul! Aku akui hatiku hanya untuk kau, aku akui egoku melampaui batas kewajaranmu. Aku rindukan kau Zul. Bilakah rinduku ini akan berakhir? Setitis air mata Nora berderaian jatuh di atas lembaran diarinya. Dia tidak menyangka sejarah emosinya yang cermat disimpan di lipatan sejarah masih lagi menganggu ketenangan tasik hati wanitanya. Dia menyelak lagi lembaran diari. Kali ini Nora melihat catatan catatan bertarikh 15 November 2001. 15/12/2001 – 8.00 malam Sudah hampir seminggu lebih aku terlantar di katil hospital. Kata mak, aku terlibat dalam kemalangan kereta. Aku sebenarnya masih samar-samar dengan apa yang terjadi ketika itu. Yang aku tahu, aku tiba-tiba terdengar Kak Nina menjerit Allahu Akbar dan dentuman kuat menghentam kananku. Aku lihat Nasir, adik bungsuku tercampak keluar dari tingkap. Aku tidak tahu apa yang terjadi pada Pak Long kerana dia duduk di tempat pemandu di hadapanku. Selang sesaat selepas itu kepalaku terhempas pada sesuatu yang keras dan pandanganku terus kelam. Dan bila kusedar, aku sudah terlantar 5 hari di hospital. Ummi dan Abah ada menanti di tepi katilku. Aku bertanya di manakah Nasir, Kak Nina dan Pak Long? Ummi serba salah. Dia menangis tidak berhenti sebaik saja aku bertanyakan tentang mereka. Abah kulihat menelan air liurnya sendiri. Abah kata adik Nasir dan Pak Long meninggal dalam kemalangan. Adik Nasir tercampak keluar dari kereta dan merempuh sebuah motorsikal yang kebetulan sedang mengikuti kereta kami dari belakang. Pak Long cedera parah di kepalanya akibat hantukannya di stering kereta. Doktor tidak mampu untuk menyelamatkannya kerana darah beku yang berkumpul di bahagian otak Pak Long meragut nyawanya sebaik saja dia tiba di hospital. Kak Nina? Kak Nina mujur alhamdulillah selamat. Tali pinggang keselamatannya menyelamatkan Kak Nina dari turut terhumban keluar dari kereta seperti arwah adik Nasir. Bahu kiri Kak Nina retak dan tangan kanannya patah. Aku? Abah cakap doktor sendiri ragu-ragu untuk menyelamatkanku. Kata mereka aku ini tidak punya lebih dari 50% untuk hidup. Hatiku koyak akibat hentaman momentum. 3 tulang rusukku patah dan mencederakan paru-paruku. Para doktor bertungkus-lumus cuba untuk menyelamatkan nyawa aku. Kata seorang doktor pakar lagi, hatiku ini tidak dapat dijahit lagi. Ianya perlu diganti. Kemudian Abah kata ada seorang pemuda dan seorang gadis yang datang dari KL untuk melawatku kira-kira satu hari selepas aku dimasukkan ke dalam hospital. Abah dan ummi menerima kehadiran pemuda itu kerana pemuda itu mendakwa dia kenalan lamaku. Katanya lagi pemuda itu mendapat berita aku terlibat dalam kemalangan dari seorang teman kami di kolej. Kebetulan ketika itu dia berada di rumah untuk bercuti dari luar negara. Tambah lagi terkejut apabila pemuda itu menunjukkan surat kebenaran untuk mendermakan sebahagian hatinya untuk menyelamatkan aku. Abah bertanya berkali-kali apakah dia pasti untuk melakukan perkara itu. Pemuda itu cuma memandang sayu ke arah aku dan berkata ya. Pembedahan memindahkan sebahagian hatinya kepadaku mengambil masa 10 jam. Abah dan ummi kata mereka tidak berputus-putus mendoakan keselamatan kami berdua. Gadis yang menemani pemuda itu pun turut kelihatan sangat gusar, kata ummi. Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar dan aku telah pun selamat menerima sebahagian hati pemuda itu. Selang sehari selepas pembedahan, pemuda itu dan temannya berangkat pulang semula ke KL. Abah dan ummi tidak berpeluang mendapatkan alamatnya atau pun nombor telefonnya. Semuanya berlaku seperti kisah dalam dongeng. Pertolongan yang diharapkan datang jatuh bergolek. Sebelum beredar pemuda itu turut sempat meninggalkan sejambak bunga dan sebuah anak patung teddy bear untukku. Hanya dua ayat saja yang ditinggalkan pada kad di jambangan bunga itu. “Akan kukorbankan apa saja untuk mu, biar nyawa bercerai badan, biar jasad hancur dimamah tanah. Cintaku masih padamu, dulu, kini hingga selamanya. Dari, ZM”. Zulhariq Mohamad. Hanya nama itu saja yang aku mampu teka. Apakah ini semuanya takdir tuhan? Setelah lama tanpa khabar berita, dia muncul lagi dalam hidupku. Kali ini bukan minta untuk ditangisi, tapi untuk menyelamatkan nyawaku. Aku sudah terhutang nyawa dengannya. Bagaimana harus kuganti jasanya? Sekali lagi pandanganku kelam, basah dengan air mata. Kali ini Nora tidak lagi mampu menahan sebaknya. Sendunya dilepaskan dalam rintihan. Apakah dosa Zul sehingga dia mendapat layanan yang begitu buruk dari Nora? Di manakah silapnya hubungan kita Zul? Apakah aku yang degil atau pun sudah suratan takdir menjadikan kita begini? Mengapakah hatiku degil, jahil dan benci pada cintamu? Nora tertunduk sayu di mejanya. Titisan demi titisan air matanya jatuh membasahi catatan memorinya itu. Nora meramas-ramas jarinya sendiri seperti kehilangan arah. Sesaat kemudian dia melayangkan pandangan mata pada wajah Shariz yang setia menyerikan mejanya. Hati tambah pilu, hati jadi kaku dan hati pun jadi kelu. **************************************************** Perjalanan hidup Zul yang berliku-liku menuntut dia menjadi berani. Dia harus berani pada kenyataan dan juga berani menghadapi kenyataan itu. Tiap langkah hidupnya dititipkan suka-duka yang barangkali sukar bagi emosi seorang manusia mendepaninya namun Zul gagahi jua. Dan pada dirinya, tiap kejadian yang tuhan jadikan itu sudah diiringkan hikmah pengajaran dari sebaliknya. Sungguh pun ada ketika-ketikanya dia berasa lemah dan benci melihatkan takdir hidupnya, dia tetap beriktikad untuk menjalani kehidupan seperti biasa dan enggan tunduk pada tekanan hidup. Hatinya seperti biasa merindukan hanya seorang wanita dalam hidupnya. Seorang wanita yang dikenali kira-kira 6 tahun dulu ketika menuntut di kolej. Wanita yang dahulunya seorang gadis kini hampir menjadi seorang wanita, pendidik dan isteri. Yang pasti wanita itu bukan miliknya biar pun sudah berjuta kali dia cuba untuk memenangi hati wanita itu. Apakah lagi silap taktiknya? Di manakah lagi sudut hati wanita itu yang harus dia selami? Ciri-ciri lelaki yang bagaimanakah yang wanita itu mahukan darinya? Acap kali soalan-soalan itu bermain di ruang benak Zul. Apakah diri ini penuh kekurangan sekali hingga gagal berkali-kali menyakinkan cintanya pada wanita itu? Kesunyian waktu tengah malam membuatkan Zul melayani perasaan penuh kekhusyukan sehingga dia terlepas ke ruang fikirannya sendiri. Sibuk melayari ruang legar benaknya, dia tidak sedar mummy datang menghampirinya. “Zul, lama termenung?” lembut saja suara sang ibu menegur. “Oh, mummy. Hmmm..Alang cuma teringat kisah dulu-dulu ajer. Mummy belum tidur lagi ke?” balas Zul. Di tangannya masih lagi tergenggam sebiji gelas berisi air Milo, minuman kegemarannya sejak dari kecil. Matanya agak sedikit bundar menatap wajah tua mummy. Terlihat garis-garis kedutan tua di wajah mummy. “Mummy rasa tak berapa selesa baring di bilik. Rasa panas sikit malam ni ya? Zul pulak tak tidur ni sebab apa? Takkan layan kenangan dulu-dulu ajer kot?” Mummy senyum bersahaja. Dia melabuhkan punggung di sebelah Zul. Sudah besar ya anak terunaku, bicara hati mummy sendirian. Mummy seringkali cuba menelah hati anak terunanya tetapi ternyata gagal. Entah mengapa hatinya begitu sukar untuk melepasi tembok hati anak ketiganya itu. Ditatapnya wajah Zul puas-puas. Kata orang Zul ada iras-iras wajahnya. Riak wajah yang serius tetapi tak lokek menghulurkan senyum tika keadaan mengizinkan. Hidung Zul pula tidak mancung seperti Kak Long dan Angah, tapi kemek sedikit tampak hidung melayu tulen. Bibirnya nipis, bermisai dan sedikit berjanggut menambahkan lagi perawakan serius anaknya. Bagi mummy, Zul mewarisi dua sifat dari papanya; penyabar dan pandai mengambil hati orang terutamat sekali ketika berbicara bersama. Zul tidak kekok membawa dirinya di hadapan orang lain, baik dengan ahli keluarga sendiri mahupun dengan orang luar. Tahu bila dia harus merendahkan suaranya tanda beradab sopan dan bersuara lantang untuk memperdengarkan buah fikirannya. Sifat degilnya pula diwarisi dari perangai mummy sendiri. Degilnya bukan yang bersifat negatif tapi lebih cenderung ke arah nilai positif. Mummy akui akan hakikat itu. Mummy ingat lagi ketika Zul lumpuh sebelah kaki sewaktu dia berumur 4 tahun. Sungguh pun tubuhnya kecil namun Zul tak pernah putus asa menggagahi untuk berjalan. Terkial-kial dia cuba melangkah dan terjatuh tapi dia tidak pernah putus asa. Mummy dan papa sudah mencuba pelbagai cara untuk merawati penyakitnya itu tetapi gagal. Akhirnya papa berikhtiar untuk mendapatkan khidmat bomoh urut di Kelantan selepas beroleh nasihat dari temannya di pejabat. Ketika di sana, bomoh itu mengurut kaki kecil Zul. Muka Zul sewaktu diurut kakinya berkeriut seperti sedang menderita dengan kesakitan yang dahsyat sekali. Namun begitu tidak sedikit pun dia berteriak mohon dihentikan proses pengubatan itu sungguh pun dia hanyalah seorang budak berumur 4 tahun. Dalam kesakitan menahan segala urat sendi dipulas dan diinjak-injakkan, Zul tetap juga menitiskan air mata seperti kanak-kanak yang lain bila disakiti. Mummy sendiri tidak tertahan melihatkan penderitaan anaknya sehingga mummy turut menangis tersedu-sedu juga. Setelah beberapa kali Zul dibawa berubat dengan bomoh urut tersebut, dia akhirnya sembuh dari penyakit lumpuhnya itu dan akhirnya dapat berjalan seperti kanak-kanak normal yang lain. Mummy dan papa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dilepaskan mereka dari menghadapi ujian getir ini. “Mummy, Zul nak tanya mummy satu perkara”. “Apa dia nak? Tanyalah,” ujar mummy. “Kenapa orang laki-laki susah nak faham orang perempuan? Maksud Zul, hati orang perempuan,” bicara Zul lagi. Kali ini kepalanya tunduk ke bawah. Mummy merenung Zul. “Mummy sebenarnya tak tahu jawapan yang macam mana yang Zul hendak. Bagi mummy, tiap-tiap manusia ni samada laki-laki atau wanita adalah unik. Jadi untuk kita fahami satu-satu hati manusia itu memangnya payah. Tidak ada jalan mudah melainkan kita iringkan dengan doa kepada tuhan,” jelas mummy. “Tapi mummy, macam mana pulak kalau kita dah doa pada tuhan? Kita dah minta pun pada tuhan supaya dibukakan pintu hati kita untuk fahamkan orang perempuan tu tapi tak faham-faham juga. Kat mana pulak salahnya?”, tingkah Zul dengan nada tidak berpuas hati. Mummy hanya menghela nafasnya berat. “Zul, setiap perkara yang jadi dalam hidup kita ni sudah pun Allah siapkan hikmah pengajarannya. Cuba Zul fikirkan contoh kisah pengembaraan Nabi Musa dengan Nabi Khaidir ya nak? Nabi Musa ni selalu persoalkan tindakan Nabi Khaidir walaupun Nabi Khaidir sudah beri amaran pada Nabi Musa supaya jangan persoalkan tindakannya kalau dia hendak ikut Nabi Khaidir mengembara. Nabi Musa pulak jenis langgar saja amaran Nabi Khaidir. Dalam hal ini Nabi Musa bertindak kurang sabar sikit, tapi akhirnya bila Nabi Khaidir terangkan rasional tindakannya, barulah Nabi Musa rasa kesal dengan tindakannya yang agak melulu tu. Kita selalunya takkan faham kenapa sesuatu perkara itu terjadi tetapi lambat-laun nilai pengajaran dari peristiwa yang kita lalui tu akan datang juga pada kita. Cuma perlukan masa dan redha kita Zul,” jelas mummy dengan nada suara yang lembut sekali. Sesekali tangan mummy mengusap lembut bahu anak terunanya. Zul cuma terdiam seketika dan lesu memandang mata mummy. Sesekali tergerak di hatinya untuk berkongsi gelora hati dengan ibunya sendiri. Tapi barangkali lama sangat dia dibesarkan di sekolah berasrama, lantaran itu dia kekok apabila berbicara dengan darah dagingnya sendiri. Hati sendiri rasa gusar tapi sayang tak tahu pada siapa nak disalurkan kegusarannya. Kadang-kadang timbul rasa cemburu apabila terkenangkan sukanya Kak Long bertemankan Abang Faizal. Ada juga rasa irihati melihatkan Angah yang begitu tenang saja tanpa teman wanita. Jiwanya masih lagi jiwa muda dan secocok dengan aliran masa yang menjadikan hatinya ingin dimanjakan oleh kaum Hawa. Bilakah dia akan bertemu dengan jodohnya, hanya takdir dan waktu penentu segala. |
Karya : mxm659 ; sumber : www.melayu.com
No comments:
Post a Comment