| Sejalur Sinar di Ufuk Timur (2) |
| “Alang, Angah, Nani…mari makan nih! Nasi dah terhidang!” kak long menjerit dari dapur. Dia cekap mengaturkan pinggan di atas meja makan. Mummy pula sibuk menyudu kuah masak lemak cili padi ke dalam mangkuk untuk dihidangkan di meja makan. Papa masih berada di hadapan televisyen, memerhatikan tiap butir yang diterangkan oleh pembaca berita di Bulletin Utama siaran TV3.
“Eh Ngah, jom ler turun makan. Kak Long dah teriak tuh,” ujar Zul. Angah kebetulan pula baru selesai mandi. “Eh ya Allah, aku baru lepas mandi nih. Kau pergi turun dulu lah. Ajak si Nani sekali. Leka sangat dia main komputer tu,” juih Angah pada adik bungsunya. Tak berkelip mata Nani menatap skrin komputer. Sedang khusyuk benar agaknya ‘chatting’ dengan teman online. Zul mencuit bahu Nani, “Nie, jom ikut Alang turun bawah tuh. Kak Long ajak makan,” tegurnya lembut. Nani segera mematikan komputer dan mengikut abang alangnya turun ke bawah. Setelah selesai makan malam bersama mereka semuanya terus mendirikan solat isyak berjemaah. Papa seperti lazimnya mengimami solat isyak. Sekiranya papa tiada, Angah akan mengambil alih tempat papa dan sekiranya Angah juga tiada, Zul pula yang akan mengisi kekosongan itu. Begitulah kira-kiranya aturan tugasan imam dalam keluarga mereka seperti mana yang telah disyariatkan dalam agama. Papa selalu berpesan pada anak-anaknya supaya jangan meninggalkan solat berjemaah. Bagi papa, solat jemaah adalah kunci kekuatan dan keharmonian keluarga. Kalau solat berjemaah tidak diamalkan, maka ranaplah kekuatan institusi baitul muslim jelas papa. Mereka adik-beradik hanya diam sahaja apabila papa menyampaikan tazkirahnya setiap kali tamat membaca doa selepas solat isyak berjemaah. Zul selalu menyimpan rasa kagumnya pada papa kerana cermatnya papa menjaga soal agama dalam keluarga. Papa bukanlah berpendidikan tinggi sangat, cuma sekadar mempunyai sijil persekolahan dari Sekolah Pertukangan yang kini sama taraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional. Tapi papa sangat-sangat menekankan soal pendidikan dalam keluarganya. Dia sedar pendidikanlah yang menjadi kunci bagi segalanya, baik untuk dunia mahupun untuk akhirat. Pernah satu ketika dulu papa berpesan pada Zul sewaktu dalam perjalanan pulang menghantar Kak Long di sekolah berasrama di utara tanahair, “Kau belajar rajin-rajin Zul. Papa ni tak ada harta nak wariskan pada kau bila papa mati nanti. Kaulah harapan kami untuk jaga si Nani bila kami dah tak ada nanti”. Waktu itu Zul masih lagi kecil, masih lagi bersekolah dalam darjah 6. Dia sendiri tidak mengerti sangat apa yang papa katakan tapi pesanan papa itu masih segar lagi dalam ingatannya walaupun ianya disampaikan padanya kira-kira 12 tahun yang lalu. Pesanan itulah yang menjadi keramat baginya, menjadi bekalan emosinya ketika dia menghadapi susah senang merantau di negara orang. Bermacam-macam kisah kesukaan dan kisah kedukaan yang terjadi pada Zul ketika dia menuntut di bumi Amerika. Jarang sekali pula dia bersungut pada papa tentang kesusahannya melainkan hanya bercerita tentang betapa seronoknya dia menjalani kehidupan di sana. Zul masih teringat lagi kenangan pahitnya semasa dia bergelar pelajar tahun pertama. Emosinya begitu tertekan apabila berjauhan dengan keluarga. Tambahan lagi prestasi akademiknya merosot kerana tekanan emosi yang menimpa diri. Fikirannya sangat kusut ketika itu. Baginya, jalan terakhir untuk menyelesaikan semua masalah yang menimpa diri adalah dengan pulang saja ke tanahair. Tapi dia malu! Dia malu untuk bercerita pada papa tentang keadaan dirinya kerana dia tidak mahu menghampakan harapan papa. Apatah lagi sekiranya dia menceritakan masalahnya itu pada mana-mana ahli keluarganya, sudah pasti lambat-laun papa akan ketahui akan masalahnya. Akhirnya Zul tidak tertahan lagi menanggung derita emosinya lalu dia membuat keputusan drastik dengan menarik diri dari semester akademik. Tindakannya yang mendadak itu menyebabkan dia dipanggil oleh Dekan Akademik dalam Fakulti Kejuruteraan. Selepas dipujuk oleh dekan untuk meluahkan segala-galanya padanya, barulah Zul menceritakan semua masalah yang dihadapinya. Zul menangis tersedu-sedan di hadapan dekan tanpa rasa segan dan silu lagi. Mujurlah dekan seorang yang memahami akan situasinya. Dia sendiri seorang ibu dan dia juga pernah menuntut jauh di luar negara tempat kelahirannya. Pastinya dia amat memahami keadaan anak muda ini. Dia kagum dengan keutuhan semangat anak muda kelahiran bumi Malaysia ini. Pada pandangannya, pemuda ini sebenarnya sangat yakin pada diri sendiri sedangkan diri sendiri dibelenggu masalah emosi yang teramat sangat. “I am sure you can overcome these problems. You’re strong young man. You prove to yourself that you’re not easily defeated. See, how far have you gone now? If I were you, I am pretty sure I packed my stuffs and go home. But you’re still here Zul. That proves something to me!”. Zul hanya mengangguk lemah. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia menitiskan air mata. Entah di mana silunya lagi. Tapi satu perkara yang pasti, dia berasa amat lega sekali selepas meluahkan segala isi hatinya pada dekan. Nasihat dekan disemat rapat dalam hatinya. Setelah itu dia mampu menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya bebanan emosinya dapat dihilangkan dan dia mula tampak yakin mengintai masa depan. ****************************************************** “Cikgu Nora, saya nak berjumpa dengan cikgu di pejabat saya dalam masa 15 minit dari sekarang”. “Baik Tuan Haji. Tuan Haji, ada apa-apa hal pentingkah?,” soal Nora dalam nada yang tertanya-tanya. Dadanya tiba-tiba rasa berdebar. Apalah pulak salah aku ni, ngomelnya sendirian. Nora melangkah cepat ke pejabat Tuan Haji Rosli, pengetua Sekolah Alam Shah. Dia merasakan setiap langkahnya menghampiri pejabat pengetua, semakin kuat degupan jantungnya. Kenapalah aku nak rasa bersalah kalau aku tak buat salah apa apa, hatinya berbisik lagi. “Haa..kenapa tercegat lagi di situ Cikgu Nora. Masuklah ke dalam,” jemput Tuan Haji Rosli mesra tapi sayang wajahnya masih lagi kelihatan serius yang teramat sangat. Nora pun duduk tegak di hadapannya. Dahi Nora berkerut-kerut memikirkan apa yang akan terkeluar dari mulut pengetua. Tuan Haji Rosli masih lagi menyemak-nyemak fail-fail yang bertaburan di atas mejanya. “Macam ni Cikgu Nora, saya dah baca cikgu punya laporan pasal kegiatan ko-kurikulum sekolah ni. Memang menarik proposal cikgu tu tapi ada masalah sikit pasal budget,” ujar Tuan Haji. Dia merenung kembali fail laporan kegiatan ko-kurikulum di hadapannya. Berteleku sebentar dan hal ini membuatkan Nora semakin gelisah. “Beginilah cikgu, biar saya bawakan cadangan cikgu pada panel PIBG sekolah dan juga pada alumni. Barangkali mereka dapat membantu usaha cikgu. Saya faham cikgu mahu lakukan yang terbaik pada sekolah ini dan insya Allah, saya juga ingin membantu,” tegas Tuan Haji lagi. Kini barulah Nora tahu kenapa tujuannya dia dipanggil ke pejabat. Dia mampu menarik nafas lega “Tuan Haji ni buat saya cuak ajer. Ingatkan panggil saya sebab nak marah marah ke, atau nak bagitau saya yang saya ada buat salah ke,” Nora tidak dapat menahan diri dari tergelak kecil di depan pengetua. Pengetua hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. “Walaupun saya ni nampak serius, tapi bukanlah bermakna saya asyik nak makan orang ajer kerjanya,” tingkah Tuan Haji. “Baik Tuan Haji, saya faham maksud Tuan Haji,” balas Nora. Nora pulang awal dari sekolah hari ini. Seharian dia asyik tersenyum mengenangkan peristiwa di pejabat pengetua pagi tadi. Ain, teman serumah Nora turut terasa kelainan pada kawannya hari ini. “Aihhh Cik Nora, awat hang sakan senyum hari ni? Menang loteri ka?” selorohnya. “Tak lah Ain, aku rasa happy la hari ni. Proposal aku dah diterima. Penat aku perah otak ni untuk buat proposal tuh,” balas Nora sambil mengukir senyum di bibirnya. “Oh yek? Kalau camtu, jom aku belanja kau makan kat luar hari ini. Kita celebrate kau punya proposal tuh, ok?,” ujar Ain. Kopaklah poket aku hari ni, bisik Ain dalam hati. “Haa Nora, sebelum aku terlupa baik aku cakap awal-awal pada kau. Tadi tengahari mak kau telefon. Dia sampaikan salam dia pada kau. Mak kau ada cakap something, katanya ada kawan kau telefon dari KL,” beritahu Ain. Nora terdiam. Dahinyer berkerut-kerut cuba memikirkan siapa yang menelefon rumahnya. “Hmm, tak apalah Ain. Nanti aku call semula mak aku. Tapi apa-apa pun, janji kau mesti dipenuhi. Aku nak kau belanja aku makan nasi goreng pataya kat Taman Tenaga tu!!” tegas Nora, dengan gaya menunjukkan arah ke kedai makan. Mereka berdua tiba-tiba ketawa serentak memecahkan kesunyian malam itu. “Aku dah agak dah. Mesti kedai Pakcik Mat tu jugak yang kau tuju!” sambung Ain. . Nora dan Ain sudah lama berkawan sejak dari zaman kolej lagi. Kebetulan mereka masing-masing mempunya mengikuti kursus yang sama cuma kelas-kelas saja yang berbeza. Agaknya sudah betah dengan perangai masing-masing, mereka terus mengekalkan persahabatan mereka hingga selepas tamat bergelar mahasiswi IPTA. Pengalaman 4 tahun hidup bersama Nora ketika di PPP dahulu sudah cukup membuatkan Ain kenal hati budi dan tingkah laku Nora. Bagi diri Ain, Nora tak ubah seperti saudara kandungnya. Susah senang ditanggung bersama, rahsia peribadi dikongsi bersama. Sesiapa pun pasti akan mengasihi Nora sekiranya dia kenal hati budi wanita bernama Noraisyah ini. “Ain, kau ingat lagi pada Zul tak?”. “Zul mana ni Nora? Banyak sangatlah orang nama Zul yang aku kenal ni,” balas Ain. Tangannya masih lagi lincah menyudu nasi ke dalam mulutnya. “Eh Nora, sedapnya nasi goreng pataya ni kan. Yum yum..ishh sedap tak ingatnya lah!” ngomel Ain sendirian. Nora masih lagi tak berpuas hati dengan reaksi Ain. “Alah, mamat yang sama-sama dengan kita dalam Kelab Silat di PPP dulu. Tak ingat ke?” soal Nora lagi. “Oh, ingat-ingat! Dia yang cuba nak mengurat kau dulu kan? Tapi kau jual mahal pada dia,” cebik Ain. “Kesian Zul tu aku rasa. Aku tahu dia suka kat kau gila-gila,” tambahnya lagi. Nora hanya terdiam saja. “Hmm..yang dah lepas tu biarlah lepas Ain. Sebenarnya tadi aku call mak aku, dia kata Zul yang telefon dari KL. Mamat tu dah balik dari Amerika,” jelas Nora. Ain tercengang di situ. “Aik, ingat lagi dia pada kau ek? Aku ingat dia dah lupakan kau!” soalnya. Nora hanya mengangguk. Dia sendiri kurang pasti mengapa pemuda itu kembali mencari dirinya. Aku tak mahu lukakan hati kau lagi Zul, bisiknya sendirian sambil merenung jauh. Terbayang-bayang lagi kali terakhir dia melihat wajah Zul di KLIA 4 tahun dulu. Terngiang-ngiang lagi kata-kata terakhir Zul di telinganya ketika itu. Selera makan Nora terhenti tiba-tiba. Matanya berkaca-kaca. Aku benci setiap kali perasaan ini datang. Sudahlah, kenapa aku yang mesti menanggung rasa bersalah? Bukan aku pun yang tergila-gila pada dia. Bukan aku yang tak mahu terima kasihnya cuma masanya saja yang belum sesuai. Bertubi-tubi soalan bernada penyesalan datang mengisi hati Nora. Sudunya masih lagi menguis-nguis nasi goreng di hadapannya. Setitik air mata akhirnya tumpah ke atas nasi goreng pattaya kegemaran Nora. “Eh Nora, kau menangis ke? Eh, sorry lah kalau aku kecikkan hati kau. Aku tak bermaksud macam tu pun!” , Ain mula menggelabah melihatkan keadaan kawannya. “Ya Allah janganlah tumpah air mata di sini. Nasi goreng pattaya tu dah sedap dah walaupun tak campur air mata kau. Haa…nanti brader-brader motor kat depan tu nampak kau macam ni, jatuhlah saham wei!” pujuk Ain sambil cuba berlawak. Nora dengan segera mengesat air mata di pelupuknya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, takut-takut ada orang di warung itu nampak dia menitiskan air matanya. Bermacam-macam perasaannya ketika itu. Malu, sesal, sebak, semuanya bercampur baur. Nora jarang begini sebenarnya. Dia wanita tabah dengan kehidupannya. Jarang sekali dia menitiskan air matanya. Cuma apabila terkenangkan peristiwa itu, dia menjadi cukup sensitif sekali. “Ain, jom baliklah. Aku dah tak ada selera nak makan lagi. Kita bungkus sajalah nasi ni ya,” pinta Nora. Ain mengangguk lemah. Ikut kau lah Nora, janji kau tak menangis lagi, desis hati Ain dalam diam. |

No comments:
Post a Comment