Thursday, January 08, 2004

Sejalur Sinar di Ufuk Timur (1)

Bab 1 : Kepulangan Yang Dinanti

“This is the final boarding call for flight MH90 to Kuala Lumpur. All passengers please be at Gate A9 for boarding”.

Aha, itu panggilan untuk aku, bisik hatinya sendirian. Segera pemuda itu memperkemaskan beg galas di bahunya dan bergerak ke Gate A9. Langkahnya tenang dan teratur. Riak mukanya juga jelas menunjukkan dia berkeyakinan tinggi menyusun perjalanan. Sambil tersenyum kepada pramugari di pintu Gate A9, dia menghulurkan tiketnya dan juga pasport merah. Sebaik sahaja dia selesai mengesahkan identiti diri, dia meneruskan langkahnya ke perut kapal terbang Boeing 777 milik Penerbangan Malaysia untuk kembali ke pangkuan tanahair Malaysia.

Selesa melabuhkan punggungnya di kerusi, dia segera mengeluarkan iPod dan disumbatkan earphone ke telinganya.

“I am sorry sir, you’re not allowed to turn on any electronic device until we take off. I hope you do understand that this is the standard in-flight regulation,” tegur pramugari MAS. Matanya tidak berkelip menatap pemuda itu.

“Oh, I am sorry. Sure I’ll keep this in my pocket here,” balasnya sambil mengukirkan senyuman kelat di bibir. Ada – ada saja pramugari ni, bentak hatinya. Tiba-tiba hatinya terasa sebal. Dia lemparkan pandangannya ke luar tingkap. Fikirannya sekoyong-koyong melayang ke memori lama kira-kira 4 tahun dulu.

**********************************************************

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang – 11 Ogos 1998.

“Papa, Mummy, Alang minta maaf zahir dan batin ya! Alang nak berlepas ke Amerika dah ni. Alang minta sangat-sangat papa dan mummy doakan keselamatan Alang di sana nanti. Jangan lupa doakan Alang berjaya sentiasa ya?”, ujar Zul lembut sambil mencium kedua tangan ibu dan ayahnya. Dia sedar pemergiannya ke Amerika adalah untuk meneruskan cita-citanya. Sejak dari bangku sekolah menengah lagi dia mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran di sana. Dan kini dia beroleh peluang untuk menyempurnakan hajat di hati. Takkan aku sia-siakan peluang ini, bisik hati Zul.

Pelupuk mata Zul sudah basah dengan air mata. Hatinya sayu memandang wajah tua papa dan mummy. Air mata mummy sudah terlebih dahulu gugur di atas bahu Zul. Mummy peluk Zul erat-erat. Kak Long terpaksa menenangkan mummy. Papa pula nampak lebih tenang. Barangkali dia sudah mempersiapkan diri menghadapi saat-saat ini. Tambahan pula papa seakan sudah terbiasa dengan keadaan begini sementelah Kak Long juga pernah pergi menuntut ilmu di England tiga tahun dahulu. Bahu Alang mula terhenjut-henjut. Sedu-sedannya bertambah-tambah apabila lebih-lebih lagi mengenangkan yang dia akan berpisah dengan keluarganya untuk tempoh empat tahun. Kak Long, Angah dan Nani akan ditinggalkan.

“Zul!” tegur suara halus dari belakang. Angah menepuk bahu Zul lantas meleraikan lamunanya singkatnya. “Alang, ni ada kawan kau nak cakap dengan kau,” bisik Angah. Zul menoleh ke belakang dan dia terpempan. Tiba-tiba datang darah gemuruhnya menyerbu ke jantung. Terkasima!

“Hmm…aku ingat ko takkan datang ke airport Nora. Bukan ke kau kata kau ada kelas hari ini?”. Si gadis berbaju kurung berwarna merah jambu berbunga kecil itu tertunduk diam seketika. Alang merasa serba salah. Apakah dia patut meneruskan pertanyaannya? Adakah dia patut membiarkan gadis itu membisu sahaja? Perlahan-lahan Nora mengangkat wajahnya. Wajahnya kelihatan sugul, kurang bermaya dan kedua matanya bengkak.

“Aku minta maaf Zul. Aku tahu aku banyak buat salah pada kau. Aku tahu kau banyak makan hati dengan aku sepanjang kita berkenalan”. “Itu semua dah lama aku lupakan Nora. Dah lama aku maafkan kau. Kau dan aku sekarang ini tak lebih dari kawan saja. Kau pun dah ada Lan, kan?”, ujar Zul tenang. Alang pandang kedua ibu bapanya, seakan memohon belas dari mereka berdua. “Tapi Zul, aku pilih Lan pun sebab kau!” Nora pantas meningkah kata Zul. “Ah, kau takkan faham apa yang aku nak katakan. Tak apalah. Nah, ambillah hadiah ni. Aku akan doakan kau sentiasa selamat di sana,” seraya dia menghulurkan sebuah beg kertas berwarna coklat tanah. Air matanya perlahan-lahan menitis membasahi pipinya yang putih gebu. Tapi Zul masih lagi ragu-ragu untuk menerima buah tangan pemberian Nora.

“Alang, tak baik buat kawan Alang macam tu. Ambillah hadiah tu,” bisik Kak Long di telinga Zul. Zul mengangguk kecil. Beg kertas bertukar tangan. Dia sebenarnya malu. Dia malu apabila Nora hadir di hadapan orang tuanya dan menuturkan kata-kata yang sedemikian. Hanya Kak Long saja mengerti bagaimana huru-haranya perasaan Zul di kala itu. Papa dan mummy terdiam dan tertanya-tanya, siapakah Nora?

Nora mengundurkan dirinya dari hadapan Zul dan keluarganya. Hatinya pilu sekali. Dia sama sekali tidak menyangka yang dia akan membuat keputusan mengejut untuk datang ke lapangan terbang. Dia juga tidak menyangka sama sekali yang air matanya akan mengalir deras di hadapan Zul, lelaki yang pernah bermati-matian untuk memenangi hatinya. Maafkan aku Zul sebab tidak menerima cintamu, tutur hati wanitanya sendirian. Anak matanya mengekori tiap langkah terakhir Alang turun dari eskalator menuju balai berlepas. Dia nampak Zul memandangnya dengan pandangan yang penuh bermakna. Nora akhirnya tenggelam dalam sendunya. Perlahan-lahan dia merasakan dirinya didakap erat dan kedengaran sendu yang tertahan-tahan di cuping telinganya. Rupa-rupanya Kak Long yang mendakap Nora erat dan berkongsi tangisan. Kedua-duanya menangisi pemergian sementara orang yang dikasihi.

*********************************************************

“All passengers may turn on their electronic equipments. We just left the Newark International Airport and…..”

Suara lunak sang pramugari segera menyedarkan Zul dari lamunannya. Dia tersengih sendirian apabila mengenangkan peristiwa empat tahun lalu itu. Sekejap saja masa berlalu. Dia kini sudah selesai menamatkan pengajiannya di Amerika. Dia datang ke bumi Amerika dengan hati yang terluka, kini mampu mengukir senyuman puas tanda kemenangan. Menang menghadapi cubaan di bumi orang putih. Menang menghadapi liku-liku dugaan emosi yang kadang kala meruntun hatinya. Biarlah semua itu tersimpan di lipatan memorinya. Kini yang pasti, dia amat rindukan sehingga terpapar tiap wajah ahli keluarganya; papa, mummy, Kak Long, Angah, Nani dan juga sebuah wajah yang mencuri hatinya, Nora.

“Excuse me sir, would you like to have lunch now?”.

“Oh yes, sure I do. What shall we have for lunch?’.

“Emm..we have hot red saucy chicken with rice, corn pudding, and fruit for dessert”, jelas pramugari tersebut.

“Aah…lovely!” balas Zul sambil tersenyum padanya.

Sempat juga dia menjeling ke tag nama pramugari itu. Syarmila. Sedap juga nama minah ni ya, getus hatinya. Hasrat di hatinya untuk terus berbual dengan Syarmila termati apabila hidangan tengaharinya sudah siap terletak di hadapannya. “Thank you Miss Syarmila,” ucapnya ikhlas. Sebuah senyuman manis terukir di wajah Syarmila. “You’re most welcome sir!” balas Syarmila. Dia berlalu dari situ untuk meneruskan tugasnya menghidangkan menu tengahari bagi para penumpang yang lain.

Waduh, sungguh molek sekali adab wanita Melayu ini. Begitulah resam budi pekerti orang Malaysia dan lebih-lebih lagi umat Melayu. Lama sungguh aku berada di bumi mat salleh, sekali-sekala menatap wajah melayu dalam perantauan cukup buat aku kagum dengan bangsaku. Maklumlah kami dijajah lebih dari 400 tahun lamanya dan negara kami dibentuk berdasarkan citarasa penjajah namun jatidiri peribumi masih lagi utuh dijunjung oleh bangsaku, Melayu. Tapi pasti tiap yang molek itu ada kurangnya, begitulah kita resam manusia. Tapi tak mengapa, masih ada lagi ruang untuk kita memperbaiki untuk bangkit seiring dengan bangsa lain dalam dunia ini. Bak kata Perdana Menteriku dulu, perjuangan kita masih lagi belum selesai.

Zul terangguk-anguk dan khayal dalam dunia pemikirannya. Tenggelam segala deria rasa apabila dia memusatkan pemikirannya pada falsafah hidupnya. Memang sungguh tempoh 4 tahun berada di bumi Amerika menukarkan dia kepada manusia baru. Punyai jatidiri yang lebih kental, punyai matlamat hidup yang lebih teguh dan juga punyai keyakinan yang lebih tinggi dari sebelumnya. Cuma kini dia agak gusar, nasib apakah seterusnya yang bakal dia hadapi setiba di bumi pertiwinya, Malaysia. Apakah Malaysia sudah banyak berubah? Apakah Kuala Lumpur masih lagi kekal dengan suasana yang hingar-bingar? Adakah manusia di kota itu kekal dengan santunnya atau pun semuanya sudah beralih ke biadab budaya Barat?

No comments: