Wednesday, February 25, 2004

Setiaku Di Sini(5)
Shida tahu dia yang harus dipersalahkan. Dia amat menyesal kerana dialah yang mengakibatkan kecederaan pada diri Anuar. Dia amat takut sehingga terbawa-bawa dalam mimpinya.

Dalam mimpinya, Shida dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh Anuar. Pintu bilik gantung berkeruak nyaring dan menyeramkan apabila dibuka perlahan.

Bilik itu sederhana besarnya. Tali gantung terjuntai dari atas, disangkutkan pada sebatang palang besi yang melintang. Bulatan tali itu dibaluti dengan sejenis kulit dengan tombol keras diantara simpulannya. Jika bulatan tali itu diketatkan, tombol keras itu akan berada di tengkuk mangsa. Di bawah tali yang terjuntai itu, sekeping papan menutupi satu lubang berbentuk empat persegi.

Apabila tali sudah dikalungkan di leher pesalah, ia akan diketatkan. Kepala pesalah akan ditutupi dengan kain hitam, tangan dan kakinya diikat. Apabila sudah tiba masanya, tukang gantung akan menarik batang besi, papan tempat berdiri akan terbuka dan serta merta pesalah akan tergantung.

"Tidak!" Shida meronta dan terjaga. Segera dia mengucap dan beristifar. Begitu teruk Shida dibelenggu kesalahannya.

Sepanjang hari Shida tidak bertegur sapa dengan Zalina. Tindakannya siang tadi pastinya membangkitkan kemarahan Zalina. Dia akui yang dia degil, keras kepala dan tak mahu mendengar kata.

Shida begitu kesal dengan apa yang terjadi. Kalaulah dia tahu kejadian itu bakal berlaku, diberi 10 nyawa pun dia tidak akan melakukannya. Tapi malang tidak berbau. Mungkin kecederaan Anuar agak teruk. Dia sendiri tidak sempat untuk mengamati kecederaan Anuar. Tapi Anuar tidak hadir ke perjumpaan persatuan silat sendeng sekolah. Alasannya sakit. Sepanjang waktu perjumpaan hinggalah di kala ini, Shida tetap merasakan yang dialah punca segalanya. Terdetik rasa simpati terhadap dajal besarnya berputik di sanubarinya.

Kesian pula aku pada si Anuar tu. Tak pasal-pasal sakit. Apa patut aku lakukan? Nak minta maaf? Sure dia ingat aku surender.

Pada waktu sedemikian tiba-tiba Shida terasa yang dia memerlukan Pelesit. Lantas dia segera melayari internet. Masuk sahaja ke channel Kampung, terus sahaja nama pelesit dicari. Yes. Pelesit ada lah.

********************************

Assalamualaikum awek brutal

Waalaikumsalam

Awak kemana tadi? Lama saya tunggu

Inilah yang saya nak storykan.

Kenapa dengan awak ni?

Kali ni saya ada masalah besar lah pelesit.

Ceritalah pada saya....saya sudi mendengar.

Saya dajalkan mamat tu lagi. Tapi dia tercedera.

Kasihan dia. Awak ni dasyat laaa....

Saya tak sengaja sebenarnya. Tapi saya rasa bersalah yang amat sangat.

Mesti awak takut nak minta maaf sebab tak mahu dianggap kalah kan????

Betul tu...

Eh! come on laa...awak tak boleh negative thinking. Actually orang yang
menang itu ialah orang yang berjaya
mengatasi kemarahannya.

Hemmm...betul cakap awak tu....tapi... apa yang perlu saya buat??

Awak pergilah berjumpa dengan dia dan mintak maaf diatas apa yang berlaku......

Emm...baiklah, awak punya pasal saya ikut cakap awak....

Pelesit terus memberi nasihat dan panduan kepada Shida. Shida menerimanya dengan baik. Nyata Pelesit berjaya melembutkan hati Shida. Pelesit mengetahui sedikit sebanyak tentang diri Shida berdasarkan gambaran daripada Shida. Pelesit tahu sifat brutal Shida, imej Shida dan macam-macam lagi. Pelesit tahu akan namanya dan dia sendiri menyatakan yang namanya Shah. Cuma mereka lebih gemar menggunakan nama samaran di alam siber. Shida mula merasakan yang dirinya sudah tertarik pada kawan tanpa wajahnya itu.

Saya nak tanya awak sikit...awak suka ikat rambut macam ekor kuda ke?

Yap! kenapa?

Tadi saya ada jumpa awek yang berambut macam tu. Nampak tak jambu laa..tapi awak jangan marah saya pulak..saya nyatakan apa yang saya rasa....

Habis tu awak susah apa?

Cubalah ubah sikit penampilan awak tu.

Hoi mamat!!!Baik-baik sikit tau..awak tu kaunselor saya saja, bukan perunding imej saya....penyibuk aje..

He..he..he..marah pulak minah ni...tak adalah, saya cuma nak awak nampak cute sikit..

Alah!!!bukannya awak nampak punnn.....

Minggu depan awak exam kan?

Ye laa..camana saya boleh tak sedar pulak...ishhh!!!!

Tak apalah, saya wish good luck

Okey la geng, wa blah dulu....

Take care....bye

Barulah Shida teringat yang minggu depan peperiksaan akan bermula. Shida akui yang dia kurang bersedia lagi. Nampaknya terpaksalah dia study gila-gila. Pelesit juga ada mencadangkan untuk membuat study group di internet. Kelas gitu.

Jam menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam. Shida terus menutup lampu dan terus melelapkan matanya, mengharapkan seribu mimpi indah akan bertandang.

"Lina!" Tercungap-cungap Kamil memanggil Zalina yang sedang membaca buku cerita di kelas awal pagi itu.

"Yang kau terlari-lari macam dikejar pontianak cindai ni kenapa Kamil?" Zalina menutup bukunya dan memberi perhatian kepada Kamil.

"Bukan dikejar pontianak cindai lah, tapi dikejar Dewi Remaja gitu." Cungapan Kamil mulai reda.

"Dewi Remaja? Siapa? Juliana banos ke?" Zalina terus bangkit daripada kerusinya.

"Kalau nak tahu jom ikut aku." Zalina membuntuti Kamil ke koridor kelas. Kelas mereka terletak di tingkat tiga bangunan utama, jadi dari situ mereka dapat melihat keseluruhan perkarangan sekolah.

"Tu hah!!! Kau nampak tak budak perempuan tu?" Kamil menuding jarinya ke arah seorang pelajar perempuan yang baru sahaja melepasi pintu pagar sekolah.

Siapa tu? Rasa macam pernah nampak. Tapi ingat-ingat lupa pula. Memang cun bila dipandang dari jauh. Layak juga pegang title Dewi Remaja tu.

"Siapa tu Kamil?" Zalina bertanya inginkan kepastian.

"Kau ni Lina. Kawan baik sendiri pun tak kenal. Itu Shida lah." Apa? Shida? Wow!! tak percaya aku dibuatnya. Apa kena minah seekor tu. Buang tebiat ke? Tak pernah-pernah melawa tup-tup dah jadi Dewi Remaja...he..he..he

"Jom Kamil. Kita masuk kelas tunggu Shida tu. Nanti kita nyakat dia." Zalina mengajak Kamil masuk ke dalam kelas.

Eii!! rimasnya aku bila rambut tak berikat. Janggal pula rasanya. Besok aku nak ikat rambut balik lah macam ni. Ikat rambut ala-ala Britney Spear gitu. Baby one more time lagi. Lawa jugak. Tak lah si pelesit tu komen lagi.

Tengoklah. Lengan baju pun tak digulung. Pagi-pagi dah rasa panas. Lepas tu satu badan berbau perfume. Pagi-pagi lagi ummi dah pening sebab anak dara dia tiba-tiba datang nak minta perfume Woman Of Earth baru dia. Kamil sure kutuk aku. Zalina tentu puas melazer aku. Khairil dan Zainal pasti melopong melihat aku. Maklumlah tengok orang lawa. Cis! perasan lagi. Shida terus mendaki tangga untuk ke kelas.

Shida menghampiri kelasnya. Rambutnya ditolak ke belakang. Terus dia melangkah memasuki kelasnya. Segala jangkaannya tadi tepat berlaku.

"Fuyyo! Macam Miss World lah kau Shida. Vouge gitu." Kamil menyapanya.

"Kenapa ni Shida? Mak kau suruh kau bertunang ke?" Zalina pula bersuara.

Shida melemparkan pandangan ke arah Khairil dan Zainal. Yang pasti mereka sudah mula melopong sedari dia masuk ke kelas tadi.

Tempat Anuar masih kosong. Anuar masih belum tiba lagi nampaknya. Shida agak terkilan kerana tidak dapat melihat reaksi Anuar ke atas penampilan terbarunya itu.

Cikgu Zaki masuk ke kelas dan mula mengajar. Di awal kelas tadi dia juga menyuarakan rasa hairannya ke atas perubahan drastik Shida. 10 minit selepas kelas bermula barulah Anuar tergopoh-gapah sampai.

"Maafkan cikgu, saya terlewat." Anuar terus melangkah ke mejanya. Dahinya masih bertampal dengan plaster luka. Sempat dia membuang pandangan ke arah Shida. Wajahnya berubah. Terus sahaja dia mengukir senyuman kepadanya. Namun Shida tak pasti maksud senyuman itu sama ada ikhlas ataupun mengejeknya.

Yang pasti sepasang mata di penjuru kelas sedang merenung aksi mereka. Sepasang mata milik Julia itu jelas dibayangi kebencian yang menebal.

***************

Anuar tenang menunggu sendiri di tepi padang. Dia terus duduk di atas bangku putih sambil menunggu orang yang berjanji mahu berjumpa dengannya.

"Itu dia Shida. Hah! Kau pergilah jumpa dia. Dia tunggu kau tu." Zalina menolak Shida agar segera pergi mendapatkan Anuar.

"Eii malulah. Kau temankanlah aku Lina!" Shida merengek.

"Jangan nak mengada-ngada. Kau yang buat salah! Kau pegilah jumpa dia." Terus Zalina menolak Shida. Shida terus melangkah menghampiri Anuar.

"Anuar.." Anuar menoleh kearahnya sambil melontarkan senyuman yang bisa membuat skru-skru dilutut Shida jadi longgar...Shida yang kelihatan malu itu berdiri sambil menundukkan kepalanya.

"Duduklah sini." Anuar menginjak sedikit memberi ruang kepada Shida untuk duduk. Perlahan Shida melabuhkan punggungnya di sebelah Anuar walaupun malunya agak menebal.

"Saya nak mintak maaf pasal kejadian hari tu. Sebenarnya, memang saya rancang nak mendajalkan awak. Tak sangka sampai awak cedera pulak." Shida terus menyampaikan niatnya.

"Pasal tu ke? Saya dah lama maafkan awak. Lagipun sikit aje. Cuma luka sedikit saja." Anuar membalas bicara.

"Betul ke? Kalau macam itu tak apalah. Saya pegi dulu yek..!" Shida terus mengangkat punggungnya dan berlalu pergi. Bukannya aku boleh duduk lama-lama dengan dia. Nanti aku jugak yang susah kena gossip.

Anuar membiarkan Shida berlalu. Di bibirnya satu senyuman nakal terukir. Dia begitu seronok melihat nota yang tergantung di belakang Shida yang berbunyi

‘Saya Girlfriend Anuar’.

Julia tinggal sendiri di kelas. Rata-rata semua pelajar lain sudah pulang. Tangannya sibuk mencoret sesuatu di dada sehelai kertas putih. Wajahnya tampak serius.

Julia terus menulis tanpa mengendahkan persekitaran. Dia sebenarnya sedang menulis sehelai surat, surat cinta yang ingin ditujukan kepada Anuar. Masuk itu sudah lima pucuk surat telah dilayangkan namun tiada sebarang respon daripada Anuar. Julia sedaya upaya cuba untuk memenangi hati Anuar.

Julia merupakan seorang gadis cantik yang berasal daripada keluarga yang kaya dan ternama. Siapa tak kenal bapak Julia, Datuk Azman iaitu seorang pengarah sebuah syarikat ternama. Ayahnya itu begitu berpengaruh dan disegani.

Sejak kecil lagi Julia tidak pernah menatap wajah ibunya. Ayahnya itulah yang membesarkannya. Menurut ayahnya, ibu Julia sudah tiada, meninggal dunia ketika melahirkannya. Oleh itu Julia dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ibu.

Namun Datuk Azman tidak pernah menikahi mana-mana wanita lain selepas itu. Hanya pada Julialah kasihnya tertumpah. Datuk Azman menyayangi Julia ibarat menatang minyak yang penuh. Segala kemahuan Julia tidak pernah dihampakan. Segala permintaannya ditunaikan. Baginya itulah cara terbaik untuk membahagiakan dan menggembirakan cahaya hatinya itu.

Kerana kemanjaan yang diberikan oleh bapanya, julia membesar menjadi seorang gadis yang manja. Bukan sahaja manja malah liar dan suka memberontak. Asuhan dari bapanya itu menanamkan perasaan sentiasa mahukan kemenangan di jiwanya. Baginya segala kemahuannya perlu dipenuhi. Jika tidak dia akan memberontak.

Julia mempunyai segala-galanya. Harta, wang ringgit dan paras yang menawan. Aset-aset tersebut menjamin Julia memenangi hati mana-mana lelaki yang dihajatinya. Bukan sedikit teman lelaki yang pernah didampinginya. Bukan sedikit juga gadis-gadis yang merayu meminta kembali kekasih mereka. Malah Julia pernah ditampar oleh seorang pelajar perempuan tingkatan 5 kerana merampas kekasihnya ketika Julia di tingkatan Tiga dahulu. Namun pelajar itu tetap mendapat habuan. Dengan kekuasaan ayahnya pelajar itu telah dibuang sekolah.

Sehelai kertas yang ditindih di bawah buku teks sejarannya itu menarik minatnya. Lantas tangannya terus mencapai kertas tersebut. Sepucuk surat rupanya. Matanya berlari mencari nama pengirimnya. Nama Anuar ditemui dan senyuman terukir di bibirnya. Akhirnya Anuar membalas suratnya.

Terus sahaja matanya menari-nari meneliti kandungan surat itu. Tiba-tiba senyuman di bibirnya terpadam. Matanya menyalakan api kemarahan. Surat itu segera direnyukkan dan dicampakkan ke lantai. Riak wajahnya menggambarkan kemarahan yang amat sangat.

Inilah kali pertama kemahuannya tidak dipenuhi. Inilah kali pertama dia diketepikan oleh seorang lelaki. Inilah kali pertama dia tidak berjaya memenangi hati seorang lelaki. Egonya begitu tercabar. Perasaan dendam mula membara dihatinya.

Shida begitu geram sekali. Dia begitu malu mengusung nota itu ke sana ke mari. Bila pulang dari sekolah dan dia mahu menukar pakaian, barulah dia sedar akan kehadiran nota bodoh tu.

Arrrggggghhh!!!setan kau dajal,patutlah semua orang pandang aku semacam je kat aku.. Hantu betul lah si dajal besar tu.. Tak guna.. Shida hanya berbisik di dalam hati. Dia betul-betul malu dan geram. Tidak semena-mena dia sendiri yang menyebarkan gossip. Sudah tentu gossip liar tu akan merebak secepat mungkin ke serata sekolah.

Shida terus menyarungkan pakaian silatnya ke tubuhnya. Tali pinggang merah dililit dan diikat kemas di pinggang. Begitu juda dengan dengan pengikat kepala. Kemudian Shida terus mencapai basikal BMXnya dan meredah kegelapan malam untuk ke gelanggang silat sendeng Tuk Guru Ahmad.

Sudah lama Shida mempelajari seni mempertahankan diri itu. Kini, Shida sudah boleh dikira hebat dan cukup tangkas sebagai sebagai pesilat perempuan. Sejak menerima kecederaan ketika menyelamatkan Zalina dahulu, Shida bertekad untuk belajar silat. Ianya penting kepada wanita sepertinya untuk mempertahankan diri.

Si Anuar tu tak tahu yang aku ni handal bersilat. Nanti kalau dia kacau aku lagi, tahulah dia.. Patah riuk aku kerjakan dia….. Shida ketawa melayan fikirannya.

Shida masih ingat amanat Tuk Guru Ahmad kepada anak-anak muridnya. Pesanannya itu terpahat di jiwa Shida sebagai pedoman hidupnya.

"Seni bermaksud kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun rapi ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakkan jasmani. Silat pula ialah ketangkasan pergerakkan jasmani ketika mempertahankan diri atau menyerang berposisi mengiring," kata Tuan Guru Ahmad, kemudian dia menyambung lagi.

"Dari segi ilmiah, sendeng berdiri dari suku kata, dua perkara yang dicantumkan iaitu ‘sen’ singkatan kepada senggam yang bermaksud kedudukkan yang kukuh, kuat atau rapi. Manakala ‘deng’ berasal daripada perkataan dinding, iaitu tempat bertahan, tembok atau tempat perlindungan yang kukuh dan selamat. Tapi ingat… mesti mentaati perintah Allah swt dan Rasul, bersifat sopan-santun, menjauhi sifat-sifat mahmudah iaitu takbur dan sentiasalah mengamalkan perkara-perkara kebaikkan." Pesanan Tuk Guru Ahamad itu terus digunakan untuknya mengharungi kehidupan.

Shida telah tiba di gelanggang silat. Ramai pesilat-pesilat lain sudah memulakan latihan. Tidak kurang juga yang masih berbual-bual. Shida segera masuk dan memulakan latihannya.

Tuk Guru Ahmad keluar dari rumahnya.

"Pesilat-pesilat semua," semua pesilat menumpukan perhatian kedapa guru mereka.

"Malam ni, saya tidak dapat untuk melatih kamu semua sebab saya ada urusan di luar."Tuk Guru Ahmad menerangkan. Jelas riak kekecewaan terbit di wajah para pelajarnya.

"Jadi saya tinggalkan pembantu saya, untuk melatih kamu semua." Seorang pemuda berpakaian hitam keluar daripada rumah. Shida mengamatinya. Dia seolah-olah mengecam susuk tubuh itu.

Wajah pemuda itu sedikit-sedikit diterangi oleh cahaya obor api. Serta-merta Shida terpana. Pemuda itu adalah Anuar. Shida mula terbayang dirinya teruk didajalkan olehnya.

"Baiklah mulakan latihan." Anuar memberi arahan. Dia memandang ke arah Shida seperti tidak mengenalinya. Nyata Anuar profesional dalam menjalankan tugasnya.

"Kamu!! Genggam penumbuk tu, biar kemas dan padu.. hah.. betulkan kekuda tu." Anuar memberi arahan kepada Shida.

Tiga jam sessi latihan berlangsung tetapi langsung Anuar tidak mengambil peluang untuk mendajalkan Shida. Gaya Anuar bersilat juga cukup hebat dan mengagumkan Shida walaupun tali pinggang mereka berdua sama.. merah..

Shida segera pulang setelah sesi latihan tamat. Dia terus naik ke bilik dan merebahkan diri ke katil. Dia memikirkan apa yang dilaluinya sebentar tadi. Shida hairan kenapa Anuar tidak mengambil kesempatan untuk mengenakannya. Nampaknya dia tak akan mengambil kesempatan pada kelebihan dan kuasa yang ada padanya. Maka peperangannya dengan Anuar bersifat fair and square. Hem..baik jugak si dajal ni...

Namun, dia sedar ada satu perasaan yang terdetik dihatinya. Dia mula rasa seronok kerana diusik dan disakat Anuar. Hidupnya terasa ceria. Mungkin benar kata pelesit yang Anuar cuba memikat aku. Apa yang pasti, Anuar telah berjaya memikatnya dengan caranya yang pelik itu. Kini dua lelaki telah mengisi kekosongan hidupnya. Pelesit yang tidak diketahui identitinya dan Anuar pula, lelaki yang sering mendajalkannya.

No comments: