Monday, November 17, 2003

Takagi Sayang (Akhir)
SESUDAH solat subuh tadi Dian terus tidur. Lena sekali dia di peraduan, jadi aku malas nak ganggu dia. Setelah siap mengenakan uniform aku terus ke dapur. Biasalah.. uniform ladang.. kan ke aku ni peladang berjaya? Seperti biasa sejak beberapa bulan yang lalu dapur seolah sebati dengan aku. Mana taknya.. si Dian bila bau gulai aje uweeekk.. bila dengar minyak ditumis aje dah terbaring pening. Tak sangka pulak selepas dua bulan mengandung dia alah teruk. Kesian isteri aku.. sebagai suami yang baik aku kenalah sabar kan..

“Aznil.. buat apa tu?” Aku menoleh. Eh.. mak mertua aku rupanya.

“Ohh.. mak.. masuklah mak pintu tu tak kunci.. dari mana?” soalku sambil membukakan pintu yang memang tidak dikunci. Pagi tadi aku pergi membuang sampah yang tak sempat dibuang semalam. Sebelum mem kat dalam tu bising sampah penuh baik aku buang. Bukan takut bini tapi aku tahu memang sifat dia tak suka sampah dibiar bemalam-malam. Lagipun hidup sebagai suami isteri ni kenalah tolak ansur kan, tambahan pulak dia sedang mengandung tu.

“Dian mana?” soal mak sambil meletakkan seplastik buah nangka yang sudah dikupas.

“Tidur, mak sarapan sekali sini okey?” pelawaku. Mak Cuma tersenyum, bukan dia tak tahu sarapan bujang aje.. milo dengan roti. Itulah yang aku telan sejak Dian mengandung. Kalau malas nak buat air aku akan ke warung Pak Ali di simpang sana pekena kopi O dan nasi lemak Bedah Janda.

“Ni, mak ada bawakan lempeng pisang, makanlah,” wah.. wangi bau lempeng yang dipanggang di atas kuali membuka selera. Aku tersenyum. Bagus dapat mak mertua yang perihatin.

“Susah mak jer.. abah ke mana?” soalku bila melihat tiada pun kelibat bapa mertuaku.

“Dah ke bandar.. hantar anak si Leman Rongak tu masuk asrama.. makanlah kamu tu..mak nak jenguk tuan puteri kat dalam tu..” ujar mak dan bangun masuk ke dalam. Aku melihat hari di luar kian cerah. Alamak.. dah pukul 7.10.. segera aku capai kunci motor di atas peti sejuk. Takut tauke Mod dah datang menanti buah-buah belum siap. Semalam dah berjanji nak serahkan mangga harum manis sebanyak 10 bakul. Beginilah jadi peladang.. teringat kata-kata Izan tempoh hari. Aku akan susah kalau menolak ajakannya bekerja di syarikat abangnya. Tapi aku yakin, andai kita berbudi pada tanah, tekun dan gigih aku juga mampu menjadi usahawan berjaya. Mujurlah abah sering menyokong.

Ramai juga yang terkejut dengan keputusan aku untuk menjadi petani dulu. Penat-penat belajar Kejuruteraan akhirnya memilih untuk tinggal di kampung. Tapi aku memikirkan siapa lagi yang akan menjaga ibu bapaku yang sudah tua. Tambahan pula tanah berekar-ekar tidak diusahakan. Baik aku buat sesuatu pada ladang mangga abah yang baru naik itu. Sekarang ini aku ada satu lagi perancangan. Tanah seluar 3 ekar di hujung kampung sana akan kutanam pelbagai spesis tanaman herba. Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan macam-macam lagi memang sudah sedia ada pada tanah terbiar itu. Yang selebihnya aku sudahpun berbincang dengan Osman, Pegawai Penyelidik di UPM, juga classmate aku semasa di PPP dulu.

Aku tiba di ladang dalam 10 minit sahaja. Kelihatan dua orang pembantuku Usin dan Ali sedang sibuk memetik buah mangga yang sudah matang. Dalam pukul sepuluh nanti Tauke Mod akan mengambil hasil ladang abah ini.

“Bang, kat ujung sana tu dah ada tiga bakul..” beritahu Ali sewaktu aku merapatinya. Aku mengangguk.

“Pilih buah-buah yang elok sikit Ali, yang sebelah sana tu jangan petik lagi.. habiskan yang sebelah sini dulu, okey?” Ali mengangguk faham. Aku menuju semula ke motor setelah melihat semuanya berjalan lancar. Kemudian aku menghala pula ke arah sekolah. Kolam-kolam udang harimau dan ikan keli aku pun kena jenguk juga. Kadang-kadang macam YB pulak aku ni.. ke hulu ke hilir. Tapi nak buat macammana, adik-beradik lain memang tak berminat untuk tinggal di kampung, apatah lagi nak mengusahakan ladang-ladang dan kolam macam aku. Mujurlah aku dikurniakan seorang isteri yang tak kisah, sanggup bersama-sama hidup di kampung ni, menyimpan Diploma Sains Kesetiausahaannya di rumah, macam aku jugak!

Bercakap pasal si Dian.. memang susah untuk aku memahaminya. Iyelah.. kawin pun pilihan keluarga. Perasaan cinta tu mekar bila dah masuk ke alam rumahtangga.. lagipun, Dian nie suka menyimpan perasaan, mulut kata tak suka, dalam hati kata sayang.. Depan kita berlagak tak ada apa-apa.. belakang kita menangis bagai nak runtuh jealousnya.. Tapi yang specialnya, Dian seorang isteri yang baik, anak yang patuh pada orang tua..Cuma kadang-kadang tu suka jugak tunjuk protesnya... tapi yang pasti aku tahu dia teramat-amat menyayangi aku. Aku tahu dia bimbang aku menduakannya.. satu perkara yang aku rasa semua perempuan di dunia ini takuti. Memang aku seorang yang happy go lucky, mudah mesra, tambahan pulak dikurniakan wajah yang agak memuaskan, ramai jugaklah admirers. Ahh… perempuan.. kadang-kadang sensitif sangat.. aku bergurau nak tackle Mak Siah Sanggul Tinggi tu pun boleh satu hari suntuk mogok lapar. Takkan la aku nak pegi tackle Mak Siah yang dah masuk 50 tahun tu..

“Ala.. Mak Siah tu kan ada ilmu..” Aku tertawa bila Yan mula buat muka.

“Abang main-main aje la..”

“Ah! Main-main apa.. tu hari-hari Mak Siah tu telefon tau! Mana Yan tak geram dengan abang tu!” Yan menarik muka masam. Kain yang sedang dilipatnya dicampak ke tepi. Huyyoo.. marah betullah tu..

“Ala.. dia telefon nak tanya khabar.. tak salah kan?” soalku.

“Abang kan tahu dia tu pantang orang layan, tak kira tua muda.. dulu abah tu pun kena macam tu jugak bila abah tumpangkan dia ke bandar.. “ Heh.. pak mertua aku pun kena jugak?

“Iyelah.. tapi kan Yan.. abang tengok Mak Siah tu lawa apa.. pinggang ramping.. peh.. cun lagi la.. tak nampak umur dah dekat lima puluh..” sengaja aku menyakatnya.

“Abang ni! Malaslah nak layan!” dan aku Cuma tertawa bila dia bersusah payah bangun membawa perutnya masuk ke bilik.

Aku melawat dari sebuah kolam ke sebuah kolam. Alhamdulillah.. sejak Dian mengandung rezeki kami begitu murah. Agaknya inilah dia rezeki anak yang bakal lahir nanti. Kalau tak silap dalam tiga minggu lagi aku akan bergelar bapa. Si Dian pun nampaknya dah sarat benar. Berdebar-debar juga hati ini menanti kehadiran orang baru.

“Abang, ada call!” Teriak Rusiah. Ak u segera berlari ke bangsal. Telefon bimbit bertukar tangan.

“Hello,”

“Hello Nil,” Errkk.. aku terkedu.

“Izan.. ada apa U call I?” soalku. Sejak peristiwa itu terjadi lapan bulan yang lalu dia menyepikan diri. Aku pun sudah menutup mulut rapat daripada menyebut namanya di depan Yan. Aku kesiankan Izan tapi dalam masa yang sama aku menyayangi Dian. Aku tak mahu hatinya terguris.

“Boleh.. boleh I jumpa you?” soalnya. Aku mengeluh lemah. Bukan aku tak teringin nak jumpa tapi.. bagaimana kalau Dian merajuk lagi?

“I perlu jumpa you.. please..” rayunya.

“Izan.. I sibuk sekarang..” aku cuba memberi alasan.

“Nil.. Cuma you yang boleh tolong I sekarang.. please.. I perlu jumpa you.. esok I tunggu you kat Rest House..”

“Tapi Izan..” Talian sudah diputuskan. Alamak.. macammana ni?

YAN sedang menonton tv sewaktu aku pulang tengah hari. Di atas meja, hidangan tengah hari sudah disaji. Tentu mak mertua aku yang masak tadi. Aku masuk dan menghampiri Dian yang kian berseri-seri.

“Ishhh… abang nie berapa kali Yan pesan.. mandilah dulu.. busuk!” Aku Cuma tersenyum. Marah betul dia bila aku sengaja memeluknya dengan uniform kebunku ini.

“Ohh.. busuk ye?.. busuk-busuk ni la jugak yang tolong picit kaki tu malam-malam.. “ Dian Cuma tersengih dan mencubit pipiku.

“Cepatlah mandi.. Yan dah lapar..” pintanya sambil menggosok perut yang membesar.

“Ohh.. masak tak nak.. makan laju jer..”

“Kang Yan makan habiskan semua lauk-lauk tu nanti baru tahu..” ugutnya.

“Okey-okey.. abang mandi sekarang..” Melangkah ke kamar aku terasa macam duduk dalam kedai kain. Seluruh bilik terbias warna pink, warna yang paling aku tak suka. Kenapa la dalam banyak-banyak warna warna merah jambu yang dipilihnya? Cadar pink, langsir pink, carpet pink.. aduiii pening kepala aku. Tapi kerana sayangkan isteri aku buat-buat tak nampak aje la. Orang kata kalau warna-warna lembut macam tu mungkin anak perempuan. Si Dian pulak aku lihat berseri semacam ajer.. makin lama makin cantik pulak walaupun perut dia tu macam belon udara. Selesai mandi dan sembahyang aku segera menyarung T Shirt dan seluar pendek. Isteri aku ni sejak mengandung bukan main manja. Tapi tak apa.. aku sayangkan dia jadi aku akan buat apa saja asalkan dia bahagia.

“Mak dah balik ke?” soalku sambil mengambil pinggan yang sudah berisi nasi.

“Dah.. lepas masak tadi abah ambil.. abang, “ Dian mengetab bibir.

“Kenapa?” soalku sambil mengusap kepalanya.

“Yan nak makan buah nangka,”

“Aikk.. tadi kan mak bawak nangka..” soalku.

“Yan nak nangka berbuah sulung..” Astaga.. aku tersenyum. Dia dah start dah nak benda-benda ajaib di dunia!

“Cari la bang.. ye? Abang cari ye?” pujuknya. Aku menggeleng kepala dan terus menyuap nasi. Dulu, semasa 4 bulan dia mengandung tiba-tiba saja tekaknya tu gatal nak makan telur ikan baung Sungai Tembeling. Tak boleh ditipu-tipu pulak tu.. tahu dia bila aku bawa balik ikan baung sungai belakang tu. Sudahnya.. berhari-hari juga aku pergi mengikut Abang Seman ke Sungai Tembeling. Masuk bulan ke 7, tak pernah-pernah makan buah kabung, nak makan buah kabung. Nasib baik pokok kabung banyak kat sempadan kebun, kalau tidak.. yang lagi best sewaktu kandungannya mencecah lapan bulan, dia mengidam nak makan gulai pisang udang muda sisir tujuh. Macam nak gila aku membelek satu-satu pokok pisang yang ada sisir tujuh. Dah ni nak buah nangka sulung pulak..

“Abang.. carikan la untuk Yan..” pintanya lagi. Nasi sedari tadi tidak dijamahnya.

“Buah nangka je ke? Buah kelapa beranak sulung tak nak?” soalku mengusik.

“Abang ni!” dia dah mula menarik muncung, membuatkan dia semakin cantik.

“Mana la abang nak cari Yan.. kalau pokok mangga ke.. pokok jambu madu ke boleh jugak abang teka-teka buah sulung ke tidak.. ni pokok nangka.. aduii…” keluhku sambil menggaru kepala.

“Abang tu memang tak sayang Yan!” Dia menolak pinggan dan masuk ke dalam. Hmm.. itulah kerjanya.. merajuk merajuk merajuk.

“Wooii… mak buyung! Rugi tau tak makan masak lemak cili api nie.. pehh.. best betul.. cepat la sayang.. ssedapnye… ikan keli nie..”

“Tak payah.. biar la Yan tak makan..” Aik… menjawab!

“Huhh… ni kerabu kantan ni.. pehh!! Best giler.. ruginya orang merajuk…” Senyap.. alamak.. merajuk betul ke? Aku mengangkat pinggan menyusulinya yang duduk di kerusi di anjung rumah.

“Tengok ni sedapnya.. makanlah sikit..” pujukku.

“Abang tu memang tak sayangkan Yan..” ujarnya sambil mengesat pipi. Aikk.. menangis?? Aku tergelak.

“apa gelak-gelak?” soalnya geram.

“Sian isteri abang.. iye la.. iye la abang carikan.. nah makan,” aku menyua sesuap nasi membuatkan dia tertawa.

“Abang ingat Yan nie tak boleh suap sendiri ye?” soalnya, tapi menganga jugak. Ceh!

“Satu ni je.. selebihnya ambilah sendiri kat dapur!” jawabku selamba.

“Apa? Ohhh??” Segera dia mencubit lenganku membuatkan aku terjerit kecil.

“Kang abang tak cari nangka kang..” ugutku bila cubitan tak henti-henti hinggap di lengan dan badan.

“Jahat abang ni..” dia tersenyum.

“Abang cari.. insyaAllah.. kat rumah Mak Cik Siah pun abang sanggup cari..” usikku lagi.

“Abang ni!” Dan aku Cuma tertawa bila dia menghala penumbuk tanda amaran. Dian.. dian..Ring! Ring! Deringan telefon mengganggu suasana harmoni yang baru tercipta. Aku segera meninggalkan pinggan di situ dan menjawab panggilan.

“Hello..”

“Nil.. I ni..” Izan? Aku terasa seperti bala nak tiba bila mendengar suara itu.

“I need to see you.. please..” rayunya.

“Err..”

“Siapa tu bang?” soalan dari Dian membuatkan aku menggaru kepala.

“Okey I datang sekarang..” Gagang kuletak. Dian sedang menyambung makan nasiku memandang hairan.

“Siapa? Mak?” soalnya. Aku menggeleng kepala. Perlukah aku berterus terang dengan Dian? Terbayang-bayang peristiwa beberapa bulan yang lalu. Aku tahu hatinya terluka dengan layanan-layanan Izan. Perempuan.. mana boleh lari dari sifat cemburu? Kasihan Izan.. dia langsung tak bersalah apa-apa.. Cuma hati Yan yang berprasangka bukan-bukan. Aku tak tahu bila Izan pergi. Tapi bila mak cerita yang abah memintanya supaya jangan menjadi racun dalam rumahtanggaku dan Dian, dia akur. Dan, tak pasal-pasal pulak aku kena brainwash dengan abah bila dengar cerita si Dian dah nekad nak ke Kuala Lumpur. Kenapalah tiba-tiba semua orang menyalahkan Izan? Hakikatnya aku kenal Izan.. kami dah rapat sejak di Jepun lagi. Wajah Dian yang kemerahan itu kutatap.

“Kenapa ni bang?” soalnya lembut. Aku Cuma tersenyum.

“Abang nak keluar ke bandar kejap.. Yan duduk kat rumah ok?” Aku mengucup dahinya sebelum bergegas keluar..

IZAN senyum melihat kedatanganku. Segera dia masuk ke dalam Kembara dan kami memecut laju menghala ke arah Kuala Lipis. Aku tak boleh sembarangan jumpa Izan di bandar ini. Mati aku kalau orang nampak.

“Sorry kalau I susahkan you Nil.. tapi I tak ada choice lain..” pintanya sambil memandangku. Apa sudah jadi dengan dia? Badannya yang kecil itu kelihatan cengkung.

“Tak apa.. tapi you kena paham la.. I tak boleh lama-lama sangat jumpa you ni.. Dian tinggal seorang di rumah..” ujarku sambil memberi signal ke kiri bila kami tiba di Jeram Besu. Izan Cuma tunduk dan melepaskan keluhan. Aku mengajaknya turun dan minum di gerai yang terdapat di situ. Hari khamis begini tak ramai pengunjung yang datang.

“Kenapa you nak jumpa I?” soalku sambil merenungnya tunak. Izan menarik nafas resah.

“You mesti tolong i.. Cuma you jer yang boleh tolong I,”

“Ceritalah.. kalau dapat I tolong, I akan tolong..” aku cuba memberi jaminan.

“Kahwini I ..” Kata-kata yang lahir dari mulut Izan itu membuatkan aku ternganga..

DIAN seperti biasa, selepas mandi dan sembahyang dia akan menyediakan segelas milo panas untukku dan kami akan duduk berbual di anjung rumah, melihat keindahan malam yang ditaburi beribu bintang. Waktu inilah kami akan berbual-bual dengan anak kami, dan sesekali Dian akan tergelak kecil sambil menahan sakit bila anak kami menendang perutnya.

“Abang, kalau terjadi apa-apa pada Yan nanti.. abang kawin lain tak?” soalnya.

“Hishhh.. apa pulak fikir macam tu..” cepat aku memotong sambil merenungnya.

“Yan… Yan takutlah bang.. orang kata bersalin ni antara hidup dan mati..” aku tersenyum dan menggenggam tangannya.

“Janganlah fikir yang bukan-bukan..” aku meneguk milonya yang sedap.

“Abang sayang Yan tak?” soalnya sambil memandangku.

“tentulah..” jawabku ikhlas.

“Kalau abang sayang, jangan sia-siakan kepercayaan Yan pada abang selama ini,” pintanya. Aku mengangguk dan tersenyum.

“Yan dah lewat nie.. pergi masuk tidur dulu, abang masuk kejap lagi, okey?” Yan mengangguk dan masuk ke dalam. Aku menatap wajah bulan yang dipagari bintang. Dilemma betul aku sekarang ini. Terngiang-ngiang permintaan Izan siang tadi. Adui.. tak ditolong, dia sahabat baik yang pernah berjasa pada aku. Tapi, takkan kerana itu aku harus mengecewakan Dian..

“I .. i tak dapat tolong you Izan..”

“Tolonglah Nil.. i tahu ini berat untuk you tapi i tak ada cara lain..”

“Kenapa sebelum perkara ni terjadi you tak fikir panjang?” Izan menangis tersedu-sedu.

“Cuma you yang I yakin boleh solve problem I ni.. please Nil..” rayuannya membuntukan fikiranku. Terbayang wajah Izan yang manis itu. Aku pun tak sangka aku boleh menjadi teman rapatnya. Lima tahun kami berkawan, banyak sangat jasa dia pada aku. Waktu aku kesempitan duit dialah tempat aku mengadu. Maklumlah anak tunggal.. bapa pegawai tinggi kerajaan, ibu pula seorang pakar pemakanan..Di kala assignment aku mengejar dateline dialah teman berbincang, sanggup berjaga hingga ke subuh membantu apa-apa yang patut.. dah paling tak dapat kulupakan sewaktu aku kemalangan di Jepun dulu, dialah yang mendermakan darahnya demi menyelamatkan nyawaku. Manakan mungkin aku melupakan jasa-jasanya itu. Aku tahu masalahnya kali ini berat.. tapi Izan, aku lebih menyayangi isteriku. Mustahil aku melukai hatinya demi menyelamatkan dirimu.

MENTARI bersinar terang membias jalur-jalur cahaya di permukaan kolam. Kelihatan anak-anak keli yang berusia dua bulan kelihatan berebut-rebut mengisi perut bila makanan ditabur ke dalam kolam. Aku mencampakkan lagi makanan berzat untuk ikan-ikan peliharaanku ini. Kolam di hujung sana sudah diuruskan oleh Man. Kadang-kadang aku berbangga juga dengan hasil usahaku ini. Selain dapat menjaga mak dan abah yang sudah tua, aku juga membantu mengisi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di kampung ini. Daripada melepak tak tentu hala ada baiknya mereka membantu aku mengusahakan ladang dan kolam. Malah.. aku juga galakkan mereka turut membuka kolam sendiri. Tanah-tanah bendang yang kosong dulu boleh diusahakan projek tanaman pisang. Alhamdulillah.. nampaknya ramai juga yang mengikut jejak langkah aku.

Titisan-titisan embun masih basah di hujung kelopak daun. Aku duduk di atas pelantar sambil berjuntai melihat ikan-ikan yang meriak kelaparan. Permintaan Izan petang semalam benar-benar mengusutkan fikiran. Kalau dari segi duit memang aku boleh tolong, tapi dia meminta aku mengahwininya. Gila!

“Abang.. telefon..” Rusiah sudah tercegat di belakangku dengan handset di tangannya.

“Siapa telefon?” soalku.

“Perempuan..” Hmm.. dah sah dia.

“Cakap abang tak ada.. dah.. jangan kacau abang!” pintaku dan terus meninggalkan Rusiah yang terpinga-pinga. Aku segera menuju ke arah Kembaraku. Tolonglah Izan jangan ganggu aku dengan permintaan paling mengarut itu!

“Abang!” MasyaAllah! Rusiah tersengih melihat aku terkejut berruk.

“Ada apa lagi?” soalku.

“Telefon.. kakak telefon..” ohh.. segera aku mengambil telefon dari Rusiah.

“Abang.. kat mana tu?”

“Abang kat kolam nie.. kenapa? Yan okey ke?” soalku.

“Abang dah lupa ye.. hari ni kan Yan ada appointment dengan doktor..” Alamak! Aku menepuk dahi. Macammanalah aku boleh lupa..padahal tarikh-tarikh temujanji dengan doktor memang dalam kepala.

“Sorrylah sayang.. abang lupa betul.. okey.. abang balik sekarang..” Aku segera melarikan Kembaraku. Tiba di halaman rumah kelihatan Dian sudah siap, memakai baju pregnant warna oren lembut dan tudung dari warna yang sama. Aku segera turun dan mendapatkannya.

“Abang tukar baju dulu, okey?” Dian Cuma menggeleng kepala melihat aku kelam kabut masuk ke rumah. Selesai menyarung T Shirt dan Jeans, aku bergegas mengunci pintu. Tangan isteri kupimpin ke kereta.

“Bang.. abang ni Yan tengok sejak semalam tak senang duduk jer.. kenapa?” soalan Dian kusambut dengan senyuman.

“Tak ada apa.. biasa jer.. penat sikit kot..” aku cuba memberi alasan yang terbaik.

“Abang marah Yan ye?” soalnya lagi sambil memegang sebelah tanganku.

“Marah? Kenapa?” soalku hairan.

“Pasal buah nangka hari tu..” MasyaAllah!!! Sebut pasal nangka aku terlupa yang hajat isteriku itu belum tertunai lagi.

“Yan.. sorry la.. abang terlupa pasal nangka tu.. nanti balik nanti abang pergi cari ye?” pintaku. Yan senyum.

“Tapi jangan cari rumah Mak Cik Siah tau bang.. “ sempat lagi dia berpesan. Aku Cuma tertawa. Dia melontar pandangan keluar. Kadang-kadang aku kesian tengok dia. Pertama, muda-muda lagi dah kena kawin dengan aku. Hehehe.. kelakar bila mengenangkan peristiwa-peristiwa lucu sebelum kawin dulu. Aku pun terkejut juga bila mak dan abah menyatakan hasrat untuk melamar Dian. Iyelah.. sebab aku tahu Dian memang tak sukakan aku jadi bimbang nanti mak dan abah kecewa. Tapi, tak sangka pinanganku diterima. Sebenarnya aku memang sukakan dia. Garangnya memang tak siapa boleh lawan.. lagi la aku suka mengusik. Aku suka bila dia marah.. nampak lebih cantik, lebih terserlah kecunnannya itu.

“Abang.. berangan ye?” sapanya membuatkan aku tersenyum. Selepas meletakkan kereta di hadapan klinik aku menemaninya masuk. Sementara menanti giliran aku membaca beberapa brosur yang disusun kemas di situ. Ramai juga yang datang mendapatkan perkhidmatan dari Doktor Hamidah ini.

“Bang.. Yan nak pegi toilet kejap..kalau sampai turn Yan nanti abang panggil ye?” Aku bangun dan memimpinnya ke toilet walaupun dia melarang. Sejak akhir-akhir ini aku lihat Yan kurang bermaya. Mungkin kerana kandungan yang kian sarat.

“Dah la tu bang.. takkan nak masuk sama pulak..” cubitan halus hinggap di perut membuatkan aku tergelak kecil. Yan menjeling geram, ala.. saja nak mengusik.. Aku memandang sekeliling sambil membaca apa yang tertampal di board di depan aku. Tetapi tiba-tiba seorang perempuan bertubuh kecil yang sedang mengambil ubat di kaunter menarik perhatianku. Izan? Segera aku menghampirinya.

“Izan,” Izan menoleh dan tersenyum.

“Berapa bil dia?” soalku sambil mengeluarkan wallet.

“Tak pe Nil, tak pe.. I boleh bayar..” Izan menolak bila aku menghulurkan not lima puluh kepada gadis penjaga kaunter.

“Tak apa dik, abang bayar..” aku terus menghulur dan gadis itu menyambut. Izan mengeluh lemah.

“I ni tak habis-habis menyusahkan you.. you buat apa kat sini?” soalnya.

“I.. I hantar Dian, dia kata dia kurang sihat..” jawabku. Izan mengangguk.

“Tak apalah.. I pergi dulu..” Izan cepat-cepat beredar. Aku menggeleng kepala.

“Puan Diana Adurah!” ops! Aku berpatah untuk ke toilet tapi Yan sudah pun menghampiriku. Kami sama-sama masuk ke dalam bilik. Doktor Hamidah tersenyum melihat kehadiran kami.

“Baby okey? Aktif tak?” soal Doktor Hamidah sambil mengambil tekanan darah Yan.

“Hmm… aktif sangat doktor.. especially bila abah dia bacakan apa-apa surah..” jawab Yan sambil tersenyum memandangku. Tiba-tiba pintu bilik diketuk. Gadis di kaunter bayaran tadi masuk.

“Encik, ini balance duit tadi..” dia menghulurkan sekeping not sepuluh ringgit kepadaku.

“Eh.. abang bayarkan untuk siapa?” soal Dian membuatkan aku menelan air liur.

“Adik silap orang tak?” soal Dian.

“Tak.. betul.. encik ni yang tolong bayarkan untuk perempuan yang masuk sebelum ni..” ujar gadis itu bersungguh-sungguh. Aku tersenyum dan menyambut huluran itu.

“Siapa punya bil Maya?”

“Err.. Nor Azizan Arifin, “ My God! Wajah Dian dah berubah.

“Ohh.. patient sebelum you masuk, Dian.. kesian.. dia demam kuat,” Doktor Hamidah bercerita. Aku menjeling ke arah Dian yang sudah membatu.

“Key.. Dian… semalam call nak scan baby.. boleh la tau baby boy or girl..” Doktor Hamidah tersenyum dan berjalan ke katil.

“Dian, come..” Aku memujuknya lembut tapi dia langsung tak bergerak. Dian bangun, tapi menuju ke arah pintu.

“Tak apa la doktor.. tak payah tahu pun tak apa.. “

“Tapi I belum habis check you..” belum sempat ayat itu habis Dian sudah keluar dari bilik. Aku menepuk dahi beberapa kali sementara Doktor Hamidah memandangku penuh tanda tanya…

“YAN.. nah.. ni nangka yang Yan nak hari tu kan.. abang dah carikan..” aku menghulur sepiring buah nangka yang masak kepadanya. Dian tidak menjawab. Matanya masih tajam merenung rancangan sukan di kaca tv walaupun aku tahu dia tak berapa suka menonton sukan. Aku menggaru kepala. Alamak.. apa cara lagi aku nak memujuk dia ni? Dah dua hari mogok macam ni…

“Err… apa kata kita plan nama anak kita, nak?” Aku merapatinya tapi cepat-cepat dia beralih tempat.

“Emm.. Yan.. hari tu Yan kata baju baby tak cukup.. jom kita keluar pergi beli..” usulku walaupun aku tahu itu satu cadangan yang bodoh. Mana ada kedai yang buka lagi dah lewat pukul 11.00 sekarang nie..

“Yan.. Yan kenapa ni? Cuba cakap dengan abang apa lagi yang tak kena?” soalku tapi Dian tetap membisu. Aku mencapai remote tv dan switch off. Dian kuhampiri.

“Yan.. pandang abang,” Dian makin menoleh ke arah dinding bila aku menatapnya lama.

“Okey.. abang rasa kita perlu berbincang…” tegasku.

“Cakap, apa salah abang?” soalku.

“Jangan pura-puralah bang! Takkan abang tak tahu lagi?” soal Dian.

“Abang tanya Dian dengan elok, tolong jawab dengan elok..” pintaku bila Dian mula meninggikan suara.

“Abang dah berjanji dengan Yan, abang takkan ada apa-apa hubungan lagi dengan dia.. tapi di klinik kelmarin tu apa?” soalnya.

“Yan tak yakin dengan abang ke? Izan tu kawan abang, abang dah lama kenal dia.. salah ke abang menolong dia?” soalku.

“Tapi abang dah berjanji dengan Yan,”

“Kenapa Yan ni cemburu sangat?” soalku akhirnya. Tension dengan kerenahnya yang mengada-ngada.

“Cemburu Yan bertempat bang.. dia pernah cuba merampas abang dari Yan, wajar Yan cemburu, curiga.. kenapa dia mesti datang lagi ke sini? Untuk apa? Kerana abang kan?” Dian merenungku dengan air mata yang sudah berlinangan.

“Apa bukti yang dia mencintai abang?” soalku. Dian terdiam.

“Kenapa diam? Abang rasa Yan sangat memahami abang. Okey.. memang abang rapat dengan Izan, tapi tak lebih dari seorang kawan. Tapi, kerana cemburu Yan tu dia terpaksa pergi. Abang pun pelik dengan Yan nie.. apa salah Izan tu pun abang tak tahu..” aku mengurut dahi.

“Abang ingat tak abang kata kat Yan dulu? Abang kata abang tak tahu dia cintakan abang selama ni.. “

“Itu kerana abang tak mahu Yan berprasangka buruk pada hubungan kami,” Yan merenungku lama.

“Abang, kerana Dian tak mahu abang membenci dia Yan tak pernah beritahu kenapa.. tapi sebagai isteri, dia dah melampaui batas.. dia mencabar kedudukan Yan, priority Yan sebagai isteri abang..” Dian bangun dan menuju ke bilik. Aku Cuma memandang langkah beratnya dengan penuh kesalan. ..

“KENAPA you tak beritahu I you demam?” soalku. Izan Cuma tersenyum sambil menghirup kopi panas.

“Tak mengamuk ke isteri you tu kalau dia tahu you jumpa I nie?” soal Izan memerli. Aku senyum.

“Dian bukan begitu orangnya.. “ aku cuba membela imej Dian. Izan senyum lagi.

“I kenal you dah lama.. dan I boleh beza apa yang you cakap tu benar atau salah..” sekali lagi aku terpukul dengan sindiran Izan.

“You dah cakap dengan dia?” soalnya. Aku menarik nafas kemudian menggeleng kepala.

“Kita ke sempadan je Nil..” Izan memegang tanganku.

“Izan.. you jangan buat kerja gila..” pintaku sambil melepaskan pegangannya. Izan mengeluh sambil memicit dahinya.

“Kalau you tak tolong I matilah I Nil..” pintanya sambil mengesat pipi yang mulai basah.

“Kalau I kawin dengan you boleh solve ke problem you?” soalku. Izan mengangkat bahu.

“Sekurang-kurangnya I ada someone yang boleh I percayai..” jawabnya.

“And then?” Izan senyum sahaja bila aku bertanya begitu.

“Kita ikhtiarkan cara lain.. okey?” pujukku.

“Cara apa?” soal Izan sambil tertawa kecil. Pandangannya dilontar keluar.

“I tak mahu melukakan Dian.. tak adil bagi I kalau I buat macam you suggest ni..” aku cuba menerangkan kepadanya.

“Atau you takut bini?” soal Izan lagi.

“Bukan soal takut atau sebaliknya Izan.. I kawin bukan suka-suka.. I cintakan dia.. dan I hormati pendirian dia. Lagipun selama ini kami bahagia.. perkahwinan bukan permainan bagi I, bukan pertaruhan atau perjanjian untuk menyelamatkan diri..” Izan menjelingku.

“I bukan nak harta you Nil.. dan I bukan nak gugat kedudukan Dian sebagai first wife.. I Cuma perlukan you.. to be my protector..” jawabnya.

“Kalau benar you anggap I sebagai kawan baik you, tolonglah Nil.. “ pintanya lagi. Dan aku Cuma mampu mengeluh seperlahan yang mungkin…

“ABANG memang jumpa dia..” kataku akhirnya. Dian yang sedang merenungku menarik nafas berat.

“Jadi, betullah apa yang Fina beritahu Yan..” Aku mengangguk. Tak perlu lagi aku nak berselindung. Lagipun perkara yang benar.

“Kalau begitu.. tak perlulah Yan tanya apa-apa lagi..” Dian mengesat pipinya yang basah. Aku mengeluh dan duduk disisinya.

“Yan tak mahu dengar penjelasan abang?” Dian menggeleng kepala.

“Tapi abang perlu jelaskan pada Yan sesuatu mengenai Izan..”

“Tak perlu, Yan memang tak akan faham.. sebab abang lebih kenal dia dari Yan. Malah abang terlebih dulu berkawan dengan dia sebelum berkahwin dengan Yan.. abang tersilap kerana memilih Yan..” ujarnya.

“Yan.. janganlah cakap macam tu.. Izan lain.. Yan lain.. abang tak pernah membandingkan Yan dengan dia..” pujukku lembut.

“Sudahlah.. terpulanglah pada abang.. fikirkanlah masak-masak tentang perkahwinan kita nie.. tentang anak abang ni.. “ Dian memandangku lama. Aku tunduk. Tak terniat langsung untuk aku melukakan hatinya, jauh sekali membuatkannya menangis.

“Yan.. Izan dalam kesusahan sekarang.. dia perlukan bantuan abang..”

“Sudahlah bang.. Yan dah cakap, Yan tak nak dengar apa-apa lagi..” Dian bangun dan masuk ke bilik. Aduii.. buntunya fikiran aku! Aku segera mencapai kunci motor. Lebih baik aku mencari ketenangan dahulu. Antara Dian dan Izan sama pentingnya. Bukan suka-suka Izan mahu aku mengahwininya.. dia meminta pertolongan dan wajar bagi aku untuk membantunya. Tapi kenapa Dian tak mahu mengerti?

“Kau nie.. sama ada gila atau hilang akal.. “ Abah menggeleng kepala. Aku tersenyum.

“Kenapa pulak abah cakap Nil macam tu?” soalku.

“Buat apa lagi kau jumpa perempuan tu?” Alamak.. aku tidak jadi meneguk nescafe panas yang emak buat.

“Dia ada masalah mak, abah.. bukan suka-suka dia nak datang cari Nil..” aku cuba menegakkan kebenaran.

“Apa masalah dia sampai sanggup datang ke sini?” soal abah.

“Dia dah guna duit syarikat tempat dia kerja tu. Orang yang ada bahan bukti tu ugut dia, kalau dia tak mahu dibawa ke balai dia mesti jadi isteri orang tu..” ujarku.

“Jadi?”

“Jadi.. dia minta Nil kawin dengan dia..” mendengar jawapanku itu abah dan mak berpandangan.

“Nil.. kalau nak percayakan orang janganlah sampai ke tahap paling tak logik..” abah menggeleng kepala.

“Tapi bah.. Nil terhutang budi pada Izan, dia pernah selamatkan nyawa Nil dulu.. jadi..”

“Jadi untuk membalas budi kau kena jadi suami dia?” soal abah pantas. Mak menarik kerusi dan duduk di sebelahku.

“Nil, perkahwinan bukan semudah yang disangka. Kau tak kesian ke pada Yan? Apa dosa dia sampai kau sanggup lukakan hati dia?”

“Mak.. Nil sayangkan Yan.. bukan Nil dah berpaling arah atau sebagainya. Tapi Izan kawan Nil. Pada siapa lagi dia nak minta tolong kalau bukan Nil?” soalku kembali.

“Sampai kau sanggup mengorbankan rumahtangga kau?” soal abah. Aku mengeluh.

“Jangan ingat perkara ni main-main Aznil. Ini berkaitan dengan agama, tanggungjawab, keadilan.. “ sambung abah lagi.

“Abah tahu Izan ada berniat tak baik pada kau dan Dian.. abah tak mahu kata apa-apa.. hal ini abah nampak dengan mata abah sendiri, dan Yan juga nampak..”

“Apa maksud abah? Abah pun sama macam Yan..”

“Aznil.. kalau benar Izan tu perempuan baik-baik, dia tak akan ganggu rumahtangga orang.. takkan semata-mata nak elak dari masalah dia , kau yang dipilih untuk menjadi penyelamat… sedangkan rumahtangga kau bergoncang.. itu mementingkan diri sendiri namanya.. jangan gunakan keistimewaan berkahwin lebih dari satu tu untuk merosakkan kebahagiaan yang kau kecapi sekarang ni Nil..“ Aduiii.. kusut fikiran aku.

“Dengar nasihat abah dan mak ni Nil.. “ Aku mengangguk akur.

“Tak apalah mak, abah.. Nil balik dulu..” aku menyalami abah dan mak sebelum keluar dari rumah..

DIAN memegang tanganku erat. Perlahan-lahan dia meletakkan kepalanya ke ribaanku. Aku kaku di kerusi, tambahan pula berdepan dengan mak, abah, mak mertua, pak mertua dan adik-adik iparku yang telah lama sampai tadi. Suasana malam itu benar-benar hening.

“Abang.. Yan tahu abang sangat-sangat percayakan Izan. Yan tahu abang amat menghormatinya sebagai kawan…” Aku menarik nafas.

“Tadi pun Izan datang sini jumpa Yan..” Apa?

“Bila dia datang?” soalku cepat.

“Abang.. sebagai seorang isteri, Yan sedar sekarang.. bukan senang nak membahagiakan seorang suami. Yan tahu abang tersepit antara perasaan Yan dan antara simpati abang pada seorang kawan..” Dian merenungku dengan mata yang berkaca-kaca.

“Kalau la menolong Izan dapat memberi kepuasan abang sebagai seorang kawan dan melaksanakan tanggungjawab pada seorang kawan.... Yan izinkan abang berkahwin dengan dia,” Aku ternganga menatap wajah lembut Dian. Apa sudah jadi pada isteriku?

“Yan.. abang tak mahu melukakan hati Yan.. sebab Yan tak pernah melukai hati abang..” balasku segera. Mak dan mak mertua aku saling berpandangan. Mungkin tak percaya apa yang Dian katakan agaknya. Aku sendiri tak percaya dengan apa yang aku dengar tadi.

“Yan.. Yan dah fikir masak masak ke?” soal mak aku.

“Dah mak.. tahap paling tinggi seorang isteri apabila dia dapat membahagiakan suaminya.. Yan tahu bermadu itu memang pahit.. tapi lebih pahit kalau Yan gagal menggembirakan abang..” Aku lihat ke dalam matanya. Dian.. oh Dian.. Mak dan mak mertuaku turut mengalirkan
airmata terharu.

“Yan.. abang Cuma cintakan Yan seorang saja.. Cuma Yan di hati abang..” bisikku ke telinganya. Dian mengangguk.

“Yan tahu.. demi cinta Yan pada abang.. Yan izinkan..” Dian senyum sambil mengesat airmatanya.

“Tapi Yan nak minta izin abang..” aku angguk.

“Yan nak balik rumah mak sehari dua ni.. lagipun Yan rasa tak sedap badan.. sementara abang uruskan perkahwinan abang.. biarlah Yan balik rumah mak..” Airmatanya terjun laju melafazkan ayat-ayat itu membuatkan hatiku benar-benar tersentuh. Ya Allah.. betapa mulianya hati isteriku ini!!

“Nanti abang hantarkan Yan..”

“Tak payah.. Yan nak balik dengan abah jer.. nanti bila senang.. abang telefonlah Yan..” pintanya sambil mengucup tanganku. Fina segera mendapatkan alongnya yang berusaha bangun untuk berdiri. Sambil mengesat pipinya yang basah Fina sempat memeluk kakaknya erat.

“Yan.. “ aku bangun dan meraihnya ke dalam pelukan. Kami beriringan menuju keluar rumah diekori kedua mertuaku.

“Yan minta abang jangan ketepikan Yan nanti, Yan tahu susah nak berlaku adil tapi abang jangan abaikan anak kita nanti..” Aku tak tahu apa yang harus kukatakan. Yang mampu aku buat hanya memeluknya buat kali terakhir sebelum dia masuk ke dalam van.

“Abah balik dulu Nil, fikirlah masak-masak..” bapa mertuaku menepuk bahuku lembut. Aku angguk. Enjin van dihidupkan dan aku menghantar mereka dengan ekor mata sehingga van itu hilang di balik selekoh.

“Nil,” Abah berdiri di belakangku.

“Jangan sampai kau hilang permata yang kau genggam dalam tangan..” kata-kata abah penuh bermakna itu membuatkan aku terfikir sesuatu..

IZAN tersenyum sambil membetulkan selendang yang sedang menutupi kepalanya. Sesekali dia membetulkan butang baju melayuku. Aku menatap wajahnya lama sebelum turun dari kereta.

“Izan.. “ Izan senyum sambil mengangkat kening.

“I janji I akan jumpa Yan dan ucapkan terima kasih..” dia memegang tanganku.

“I janji akan jadi isteri yang baik untuk you..” sambungnya lagi.

“Izan, sebenarnya.. I dah fikir masak-masak.. I tak boleh mengahwini you..”

“Aznil!” Izan merenungku lama.

“Sorry Izan.. memang I berhak kawin lagi. Tapi I sangat-sangat mencintai Dian. I boleh kawin dengan you sekarang, tapi tak ada gunanya kalau cinta itu tiada dalam hati I, nanti you akan kecewa dan I akan menanggung rasa bersalah yang amat sangat pada Dian..” Izan memandang ke arah luar. Kelihatan air jernih turun laju membasahi pipi.

“Tentang masalah you tu.. I dah bercakap dengan Adnan.. I dah ganti balik duit RM15,000 yang you guna tu.. you jangan bimbang, dia tak akan ambil apa-apa tindakan sebab dia sepupu I,”

“Sepupu you?” aku tersenyum.

“Ya.. sebelum dia offer you kerja di syarikat dia tu, dia dah offer I dulu..tapi I tolak dan suggestkan nama you.. saja I malas nak ceritakan pada you.. “ kata-kataku itu membuatkan Izan tunduk.

“Izan, selama ini I menganggap you kawan yang terbaik yang pernah I jumpa. I tahu you memang menaruh hati pada I, tapi you Cuma seorang kawan pada I, dan I tahu you menolak lamaran orang lain semata-mata kerana you masih berharap akan memiliki I,” aku menarik nafas panjang.

“Dalam hidup I, I Cuma inginkan sebuah kehidupan yang cemerlang. I nak menjadi anak yang baik pada orang tua I, menjadi orang yang berguna pada masyarakat, memiliki rezeki dan kejayaan atas usaha I sendiri, dan membentuk keluarga I sendiri dengan wanita yang paling I cintai di dunia dan akhirat.. iaitu Dian, isteri I,” Izan mengangguk perlahan. Kemudian dia tersenyum.

“I faham Nil.. I tahu I yang bersalah dalam hal ini. I kagum dengan isteri you.. I tahu dia memang isteri yang baik pada you. Kalau tak masakan dia izinkan you kawin dengan I kan?” aku senyum.

“Hmm.. memang I cintakan you.. I sanggup lakukan apa saja untuk memiliki you.. tapi memang cinta you pada dia kuat.. dan I mengaku I kalah.. thanks a lot kerana tolong I, nanti kalau I ada duit I bayar balik duit you tu..” Aku mengangguk.

“Kita masih kawan kan?” Izan meminta kepastian.

“I tak pernah membuang you dari hidup I, you tetap kawan I sampai bila-bila..” Izan senyum dan keluar dari kereta.

“Thanks Aznil..” dia melambai pendek. Aku angguk dan melarikan Kembara ke arah kampung. Sudah dua hari dua malam aku memikirkan tentang hal ini dan akhirnya aku memilih keputusan ini. Ini semua berkat kesabaran dan keikhlasanmu Dian! Tiba di rumah aku lihat pintu tertutup rapat. Ehh.. mana pula orangnya?

“Assalamualaikum! Yan! Yan!” Aku berlari ke dapur. Pintu juga terkunci. Seketika Nokia Blue Screenku menjerit.

“Hello!”

“Hello abang! Rina ni.. abang.. along kat hospital ni.. dia dah nak bersalin,” suara adikku yang bongsu kedengaran.

“Apa? Kenapa tak call abang?”

“Tak dapat la.. abang datang la cepat.. semua orang dah ada kat sini..” pintanya. Aku segera menghidupkan enjin kereta. Ya Allah.. selamatkanlah Dian!

AKU segera menerpa masuk bila doktor muda itu memberi keizinan. Sudah dua jam kami menanti di luar akhirnya saat yang ditunggu tiba jua. Yan tersenyum lesu melihat kedatanganku dan ahli-ahli keluarga yang lain. Dahi dan tangannya kukucup lembut.

“Yan okey?” soalku. Dian mengangguk.

“Abang macammana? Dah selamat?” soalnya berat. Aku senyum.

“Abang dah janji tak akan ada orang lain selain Yan kan.. tentulah abang akan kotakan janji abang tu..” jawabku.

“Maksud abang?” soalnya.

“Abang dah selesaikan masalah Izan, tanpa perlu kawin dengan dia..” Yan tersenyum sambil menyeka airmatanya.

“Betul ke ni?” soalnya.

“Abang Cuma sayangkan Yan seorang saja.. tak ada orang lain dah..”

“Err.. Encik Aznil, bolehlah encik azankan anak-anak encik sekarang...” seorang nurse mengganggu perbualan kami.

“Anak-anak?” soalku hairan. Lupa pula aku tentang anak yang telah lahir itu.

“Iye.. kamu dapat anak kembar..lelaki..” jawab mak sambil tersenyum simpul.

“Apa? Kembar?” Aku rasa macam tak percaya aje. Dian di katil mengangguk mengiyakan sambil tersenyum gembira. Sebentar kemudian datang dua orang nurse membawa anak-anak kami. Aku menyambut sambil mengucup dahi anak-anakku itu. Selamat datang anak-anak abah..

“Dah tu Nil.. pergi ambil wuduk..” abah bersuara.

“Macam tak percaya pulak.. kan mak?” soalku.

“Itulah.. mengidam macam-macam.. buah nangka sulunglah.. telur ikan baunglah.. dah dapat hero!” semua yang ada di situ tertawa. Yan Cuma tersengih malu.

Aku sempat menggenggam tangan dan membisikkan sesuatu..Terima kasih Yan.. kerana melahirkan dua putera untuk menceriakan hidup kita.. dan abang akan pastikan kita akan kekal bahagia hingga ke akhir hayat.. ini janji abang!


No comments: