Thursday, January 29, 2004

Setiaku Di Sini(2)
Shida mengelamun seorang diri di tepi padang sekolah. Matanya meliar melihat pasukan bola jaring sekolahnya mengadakan sessi latihan. Dia rasa agak bosan kerana tiada apa-apa yang perlu dilakukannya petang itu.

"Hai Shida. Mengelamun jauh nampak?" tegur Zalina sambil menghulurkan tin coke yang dipegangnya.

"Oh kau Lina. Hmmm thanks." Shida menyambut huluran coke itu.

Shida dan Zalina adalah dua sahabat yang amat akrab. Mereka saling memahami antara satu sama lain. Jarang sekali mereka bermasam muka. Kalau adapun sedikit perselisihan faham, ianya hanya kekal untuk sepetang atau semalam sahaja. Namun memahami jiwa Shida merupakan satu cabaran yang begitu mencabar buat diri Zalina. Ini adalah kerana Shida merupakan gadis yang sukar untuk diduga lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru mengenalinya.

Shida merupakan seorang pelajar perempuan yang agak lasak. Tidak hairanlah jika dia mendapat jolokan awek brutal di kalangan rakan sekolahnya. Wajah dan potongan badannya memang boleh dikatakan sempurna dan cantik tetapi jangan haraplah untuk melihat Shida bersolek atau melawa. Namun Shida bukan gadis tomboy atau pengkit. Rambutnya yang panjang separas bahu itu hanya diikat ekor kuda, lengan baju sekolahnya sentiasa digulung sehingga hampir ke siku dan kain sekolahnya dibiarkan labuh menyapu lantai.

Bukannya Shida tidak mempunyai peminat tersendiri, tetapi tiada lelaki yang berani merapatinya apatah lagi cuba memikatnya. Sifatnya yang kasar dan ‘brutal’ menghalangnya daripada dirapati oleh lelaki. Lagipun Shida bukanlah jenis gadis yang jiwa-jiwa serta jiwang karat. Shida barangkali tidak memerlukan lelaki untuk hidup. Dia sendiri dibesarkan tanpa kehadiran seorang ayah.

Namun Shida adalah seorang gadis yang baik. Tidak pernah dia menyakiti hati guru-guru dan sahabat-sahabatnya. Malah Shida akan membantu dan melindungi rakan-rakannya. Pernah sekali Shida bergaduh dengan seorang pemuda liar yang cuba mengganggu Zalina sehinggakan Shida mendapat luka di kepala akibat ditolak pemuda itu.

Shida juga merupakan jaguh dalam sukan. Shida adalah pelari pecut sekolahnya dan pernah menyandang gelaran olahragawati sekolah di tingkatan 3 dahulu. Dia juga hebat dalam sukan hoki dan menjadi ketua pasukan hoki wanita. Pencapaiannya dalam akademik juga agak memuaskan.

Shida disukai rakan-rakannya walaupun dia agak kasar. Ke ‘brutal’annya itu tidak pernah menyusahkan orang lain. Oleh itu Shida tidak pernah mempunyai musuh… kecuali Anuar, pelajar yang baru mendaftar di sekolahnya minggu lepas. Semua ini bermula pada petang Selasa yang lalu.

"Haus betul aku Zalina. Penat betul tadi kan. Shida berkata riang kepada Zalina. Kayu hoki yang dipegangnya itu disandangkan ke bahu. Mereka baru sahaja menamatkan perlawanan hoki persahabatan dengan sebuah sekolah jiran. Sekolah mereka berjaya menewaskan pasukan lawan dengan 5 jaringan berbalas 1.

"Aku tahulah yang kau tu penat. Ya lah kan. Kau score 3 gol tadi." Zalina mencebik, menyampah pada kehebatan Shida di padang tadi.

"Yalah tu. Jomlah ke kantin. Aku belanja kau minum. Kau kan score sebiji tadi. Cantik pula tu." Shida menarik tangan Zalina kekantin.

Pelajar-pelajar lain, mungkin baru sahaja selesai menonton perlawanan hoki tadi juga berpusu-pusu ke kantin. Hendak tak hendak, Shida terpaksa berbaris di belakang mereka.

Hampir 10 minit dalam penantian, akhirnya giliran Shida pun tiba. Sambil tersenyum Shida membuat pesanan minuman

"Akak the ais dua."

"Sorrylah dik. Teh ais dah habis." Kakak kantin itu menjawab. Selalunya air bancuhan sebegitu tidak lagi disediakan di waktu petang sebegini.

"Tak apalah kak, bagi milo ais dua."kakak kantin itu hilang ke dapur. Kemudian dia muncul kembali menatang dua gelas air berwarna putih. Eh! Takkan milo colour putih kot??

"Milo pun dah habis. Horliks adalah." Kakak kantin itu tersengih. Shida mengambil tanpa banyak bicara. Apalah punya kantin. Minta milo dapat horliks. Horliks pun horliks lah. Shida membayar dan terus berlalu dari kaunter.

Tiba-tiba Shida terasa ada tangan yang memegang bahunya dan menariknya ke belakang. Tarikan itu menyebabkan air yang ditatangnya terlepas dan membasahi track bottomnya. Shida memandang ke belakang, mahu melihat siapa yang begitu kurang asam menariknya tadi. Seorang pelajar lelaki yang kelihatan innocent sedang menggaru-garu kepalanya.

Mulanya Shida berniat untuk memaafkannya. Pada fikirannya budak lelaki itu tidak sengaja. Tetapi apabila Shida memandang budak lelaki itu semula, budak lelaki itu sedang tersengih-sengih seperti kerang yang hampir mampus sambil mengenyitkan matanya kepada Shida. Tahulah Shida yang budak lelaki itu seronok di atas perbuatannya.

Kalau bukan kerana Zalina menariknya lekas-lekas selepas peristiwa hitam bercampur kelabu itu tentu sahaja Shida sudah memaki hamun budak lelaki itu. Malah kebarangkalian bahawa budak lelaki itu menerima celak mata free akibat penumbuk Shida juga besar. Budak lelaki itu terus berlari pergi tetapi sempat menjelirkan lidahnya pada Shida

"Setan! Puaka dajal!" Shida menjerit sekuat hati.

"Sudahlah tu Shida. Dia dah pergi pun." Zalina memujuk.

"Tak guna punya budak. Kau kenal siapa budak tu Lina? Geram betul aku."

"Kalau kau nak tahu itulah Anuar, student baru sekolah kita. Handsome kan?" Zalina menjelaskan.

"Handsome kepala otak kau. Jomlah balik. Tak lalu aku nak minum. Shida terus meraih beg galasnya dan berlalu pulang.

Bila diingat-ingat, memang Shida amat bengang dengan Anuar ekoran peristiwa itu. Memakai seluar yang basah sudah cukup untuk menarik perhatian mata-mata yang memandangnya. Sepanjang perjalanan pulang hari itu, Shida begitu malu orang menjeling seluarnya yang basah.

Perangnya dengan Anuar tidak hanya mati di situ sahaja. Setiap kali dia berselisih dengan Anuar, pasti Anuar akan memanggilnya dengan gelaran "awek horliks". Rasanya mahu sahaja dicekik-cekik leher budak Anuar itu. Tetapi entah kenapa setiap kali berhadapan dengan Anuar, Shida seolah-olah kehilangan kekuatan untuk membalas ejekannya. Barangkali buku sudah bertemu dengan ruas.

"Eii geram betul aku dengan si dajal besar tu!" luahnya kepada Zalina pada suatu hari. Sebentar tadi sekumpulan pelajar lelaki menyapanya dengan gelaran baru "awek horliks"nya itu. Shida begitu geram kerana gelaran itu telah tersebar ke segenap pelusuk sekolah.

"Benci betul aku dengan budak Anuar tu" Sambungnya lagi. Tangan kanannya menumbuk-numbuk tapak tangan kirinya.

"Kalau ye pun janganlah sampai benci. Nanti terjatuh cinta baru tahu." Zalina ketawa.

"Eii tak kuasa aku Lina oii..!"

Suasana kelas 4c tanpa guru masih seperti biasa. Penghuninya tetap berborak, memekak, tidur dan melakukan pelbagai aktiviti yang membuang masa walaupun berkali-kali ditegur oleh Julia si gila kuasa, penolong ketua kelas mereka.

"Hoi. Tak reti nak diam ke hah?" Julia memekik lagi. Namun tidak diendahkan oleh sesiapa. Memang seluruh kelas kurang menggemari Julia yang gila kuasa, kuat mengadu dan mengada-ngada itu.

Zainal, ketua kelas 4c asyik berbual dengan rakan baiknya Khairil. Kamil pula sibuk ke hulu-hilir bersama katalog Avonnya, membuat promosi dan memujuk pelajar-pelajar perempuan untuk membeli barangan Avon yang dijualnya. Shida hanya melepak di meja Zalina sambil berborak dan mengumpat. Hanya beberapa orang sahaja yang menghadap buku. Itupun sekadar buku cerita ataupun buku komik. Maklumlah, tingkatan 4 dianggap sebagai ‘honeymoon year’ oleh semua pelajar tingkatan empat di seluruh dunia.

"Shida!" Shida menoleh apabila mendengar namanya dipanggil. Kamil sedang tersengih-sengih memandangnya.

"Hah! Nak apa?" Shida bertanya.

"Ni lah yang aku nak story ni. Kau nak tahu, kempen Avon bulan ni kelas tau. Semua murah-murah. Sure kau berminat kan?" Kamil mula mempromosi. Zalina geli hati. Hai Kamil oii. Kau salah orang lah. Manalah minah tu nak pakai barang tu semua.

"Tak nak tahu dan tak berminat langsung." Shida menjawab ringkas.

"Eh Shida. Cubalah kau tengok dulu. Murah gila tau. Dia bagi less 30% lepas tu kalau ramai yang beli dapat lagi 20% diskaun. Orang perempuan macam kau kenalah pandai jaga body. Kalau tak nanti tak laku." Kamil mencucuk jarum.

"Tak payah lah Kamil. Aku tak minat. Lagipun aku ni kan dah lawa. Baik kau jual kat Julia tu. Dia tu tak cukup lawa." Serentak Shida dan Zalina ketawa. Kamil juga turut ketawa lucu.

Julia menoleh ke arah mereka, mungkin terdengar namanya disebut. Namun mereka bertiga tidak mengendahkannya.

"Takpelah. Kalau tak nak beli sudah." Kamil mencebik dan berlalu, kecewa kerana barangnya tidak dibeli. Sambil itu hatinya mengomel. Entah apalah si Shida tu. Bukannya reti nak berbedak. Apa lagi pakai perfume, krim atau losyen. Aku yang lelaki pun pakai. Namun dia akui yang Shida sudah sedia jelita walaupun tanpa penjagaan yang rapi. Kulit mukanya licin tanpa jerawat dan rambutnya bermaya dan sihat. Shida sebenarnya lebih cantik daripada Julia yang kononnya anak kacukan itu.

"Bangun." Suara Julia bergema, mengatasi segala kehingaran yang ada. Maklumlah, gila kuasa. Shida segera berlari ke tempatnya yang terletak di barisan belakang sekali.

Cik Liana Chong, guru sejarah merangkap guru kelas mereka melangkah masuk penuh bergaya. Beliau adalah guru yang paling seksi di sekolah mereka. Pakaiannya seksi dan berjenama. Mengalahkan Posh Spice. Beg tangan hitam bersulam perkataan CLC, singkatan namanya itu diletakkan di atas meja.

"Selamat pagi cikgu!" bergema suara para pelajar memberi ucapan selamat. Cik Liana Chong menjawab sambil tersenyum seksi. Macam manalah pelajar lelaki boleh belajar dengan cikgu sebegini.

"Baiklah semua. Saya nak buat satu pengumuman. Kelas kita akan menerima seorang pelajar baru." Cik Liana Chong melemparkan pandangan ke seluruh kelas. Kemudian dia menyambung bicara.

"Beliau akan bertukar dari aliran perakaunan ke aliran sains. Namanya Mohd Anuar Shah." Tiba-tiba bumbung kelas runtuh menimpa kepala Shida. Berita terkini yang dibawa oleh Cik Liana Chong itu membuatkan jantungnya menari dangdut.

"Shida. Meja di sebelah awak tu kosong. So Anuar akan duduk di situ." Kali ini langit pula jatuh menimpa kepala Shida. Jantungnya pula kini menari agogo. Kata-kata gurunya itu ibarat hukuman gantung sampai mati buatnya.

Tolonglah selamatkan aku daripada si dajal tu. Macam mana aku nak lepaskan diri ni. Matilah aku kalau kena duduk sebelah dajal besar tu. Eii takutnya. Tapi nak buat macam mana. Dulu aku yang sibuk-sibuk nak duduk seorang. Zalina tu dah bahagia duduk sebelah buah hati dia si Amir tu. Habis tu nak suruh siapa duduk sebelah aku ni hah? Kamil. Ye Kamil. Budak tu orait juga. Aku lagi rela dengar mulut kamil tu membebel daripada duduk dengan si Anuar tu….. Shida terus merangka rancangan.

"Shida, sebutkan lapan ciri-ciri pembentukan tamadun. Saya mengajar di depan awak mengelamun di belakang." Shida terkejut. Cik Liana Chong menjengilkan mata padanya. Seisi kelas memandang kepadanya. Shida terus menggelabah. Dia langsung tidak menumpukan perhatian tadi. Buku teks sejarahnya diselak sehingga ke kulit belakang. Yang pasti Shida tidak mampu untuk menjawabnya.

***************
Seminggu berlalu dengan adanya Anuar, si dajal besar itu di kelas 4c. Nampaknya tiada apa yang tidak diingini berlaku. Shida tidak merasakan sebarang ancaman langsung daripada Anuar. Anuar masih belum lagi memulakan persengketaan. Keadaan tidaklah seburuk seperti yang disangkakannya.

Shida berjaya memujuk Kamil untuk duduk di sebelahnya. Terbang juga wangnya 30 ringgit. Kamil mengenakan syarat yang Shida mesti membeli satu barangan Avonnya. Terpaksalah Shida mengalah dan membeli satu botol perfume. Woman of the Earth gitu. Boleh bagi hadiah kat ummi. Asalkan dirinya tidak berada hampir dengan si dajal besar itu. Eii seram.

Anuar bijak menyesuaikan diri di kelas baru. Pelajar lelaki kelas 4c begitu gemar bergaul dengan Anuar. Ada sahaja yang boleh mereka bualkan. Pelajar perempuan apatah lagi. Suka benar bertegur sapa dengan Anuar. Yang paling ketara ialah Julia. Julia begitu jelas cuba merapati Anuar. Anuar… tolong saya hantar buku di bilik guru lah, Anuar… tolong suruh si dia tu sapu sampah lah, Anuar… tolong panggil cikgu lah, pendek kata ada sahaja alasan Julia untuk merapati Anuar.

Yalah kan. Siapa yang tak suka berdampingan dengan jejaka yang kononnya kacak itu (memang kacak pun). Mereka sering berbisik-bisik bahawa Anuar itu tampan, berpenampilan menarik, punyai tulang rahang yang kukuh yang kononnya lambang lelaki sejati. Pirah mabuk. Namun Shida langsung tidak berhasrat untuk bertegur sapa dengannya. Entah sampai bila. Mungkin selama-lamanya selagi anuar tidak meletakkan senjata.

Rupanya ketenangan yang dikecapi oleh Shida itu tidak kekal lama. Ketenangan itu hanya bertahan selama seminggu itu sahaja. Anuar telah merosakkan ketenangannya di hari pertama di minggu yang kedua.

"Zalina, kau ada nampak organizer aku tak?" Shida bersuara cemas. Organizer Ziana Fan Club kesayangannya tiada di dalam mejanya.

"Tak. Kau letak mana Shida?" Zalina bertanya.

"Dalam meja aku. Kau ambil ye Kamil?" Shida menuduh Kamil pula. Mamat lembut ni bukannya boleh percaya sangat.

"Eh. Tuduh aku pulak. Pergilah tanya budak berdua tu. Dalam kelas ini cuma dia orang sajalah yang rajin mengambil harta-benda orang. Kau nak tahu Shida, hari tu habis bekas pensel aku yang gambar Hello Kitty tu dikerjakan dek dia orang tu." Kamil memuncungkan mulutnya kepada Khairil dan Zainal. Sempat juga dia menceceh dalam keadaan tegang itu. Shida segera melangkah ke arah Khairil dan Zainal.

"Hoi!" Khairil dan Zainal yang sedang berbual itu tersentak.

"Apa ni Shida main sergah-sergah je. Nak apa?" Zainal bertanya geram.

"Korang ambil organizer aku kan?" Shida terus menuduh.

"Apa tuduh-tuduh ni. Kita orang ni metal lah Shida, tak mainlah Ziana Zain ni." Khairil membela diri.

"Pukul 10 balik rumah. Lepas tu terus telefon pakwe, ajak tengok wayang. Mak suruh pergi kedai beli gula satu kilo. " Satu suara yang cukup arlegi di telinganya terdengar oleh Shida. Shida segera menoleh ke belakang. Anuar sedang mengawang-awangkan organizer kesayangannya. Shida mengetap bibir, marah. Tanpa berlengah lagi Shida terus menerpa ke arahnya.

"Hoi dajal besar! Siapa mengajar kau ambil harta orang ni hah?" Shida terus menengking kuat. Seluruh kelas memandang ke arah mereka.

"Alah. Rilekslah dajal kecik. Bukan aku bawak balik pun." Jawab Anuar selamba. Aaa. Tengok tu dia panggil aku dajal kecik.

"Dajal besar tak guna! Kau ni memang saja je nak cari pasal dengan aku. Baiklah. Kalau kau dah mengidam sangat nak berperang dengan aku…. Mulai saat dan ketika ini aku istiharkan perang!!!" Shida menjerit, merampas organizernya dari tangan Anuar dan terus berlalu keluar dari kelas. Pandangan mata seluruh penghuni kelas itu menghantarnya keluar.

Monday, January 26, 2004

Setiaku Di Sini(5)
Prolog

Seorang gadis turun daripada teksi. Baju kurung kuningnya yang agak renyuk dihenyak punggungnya ketika duduk tadi di tepis-tepis dengan tangan. Selendang hitam yang melingkari kepalanya turut dirapikan. Bunga mawar merah di tangannya dipegang erat. Dia terus melangkah maju ke pintu hospital. Pintu kaca automatik itu terbuka sendiri apabila gadis itu tiba di hadapannya.

Seorang jururawat tersenyum mesra padanya. Gadis itu membalas senyuman. Dia meneruskan langkahnya menuju ke lif.

Pintu lif itu terbuka. Tiada sesiapa di dalamnya. Gadis itu masuk ke dalamnya. Butang lima ditekan dan pintu lif itu tertutup semula membawa gadis itu ke destinasinya.

Bab 1

Shida keluar dari perut teksi dan terus bergegas melangkah laju ke bangunan tinggi di seberang jalan. Matanya sempat melirik jam tangan Omega berwarna perak yang melingkari pergelangan tangan kirinya.

Alamak! Dah pukul 9.15 pagi! Mampus aku. Lambat pula aku hari ini. Pagi tadi Lina kejutkan tak mahu bangun. Ikutkan sangat nafsu tidur sampai lupa yang aku ni kerja di Kuala Lumpur, bandar paling sesak di abad ini… agaknya lah. Jalan raya sesak sana sini. Sudahnya, diri sendiri yang terperangkap dalam traffic jam. Teksi yang boleh lari laju pun terpaksa jalan macam siput terseliuh. Shida terus mengomel di dalam hati.

Shida kini berada di hadapan bangunan pejabatnya. Pantas Shida menarik kad perakam waktu miliknya dan terus mem ‘punch card’. Yang nyata waktu tiba Shida dirakamkan dalam warna merah.

Alahai. Dah terang-terangan lambat. Eh mati aku. Shida menepuk dahi. Hari ini boss baru nak datang. Hish! Hari pertama aku dah buat hal. Tak fasal-fasal first impression aku dah buruk. Tentu kena black list. Macam manalah nak minta naik gaji. Tak apalah nanti bodeklah sikit. Aku kan lawa… heh heh heh. Shida terus cuba menyedapkan hati.

"Lambat hari ni Cik Sidah!" Shida yang masih lagi mengelamun di mesin perakam waktu itu tersentak. Beg tangan yang dipegangnya terlepas dari tangannya. Segala isinya berterabur di atas lantai marmar kerana beg tangan itu tidak dikancingkan. Segera Shida melutut dan terus mengutip segala harta-bendanya yang bertaburan itu. Sambil itu kepalanya mendongak melihat orang yang menyergahnya tadi.

Celaka punya Pak Wahab, maki Shida di dalam hati. Pengawal keselamatan pejabatnya itu hanya tersengih-sengih gatal menampakkan gigi kapaknya yang kuning keemasan itu. Orang tua itu langsung tidak menunjukkan reaksi ingin membantu Shida yang kelang kabut itu. Shida hanya membisu. Cuma mulutnya sahaja yang

memuncung pancang mempamerkan rasa tidak puas hatinya itu. Pak Wahab hanya ketawa kecil melihat kekalutan Shida mengemaskan barang-barangnya.

Eii geramnya aku! Kau pun satu Shida. Semua benda nak disumbat dalam hand bag. Daripada panadol, sikat, tisu, bateri, sampaikan ke paku tekan dan pengasah pensil semuanya ada dalam beg tangan. Kalau boleh satu rumah nak dimasukkan dalam hand bag. Kalau ada laki pun simpan dalam hand bag juga. Sudahnya sendiri yang susah. Baru padan dengan muka kau Shida. Shida memarahi diri sendiri. Pak Wahab ni pun satu dah nampak anak dara lawa ni kelam kabut, dia boleh bantai gelak pula. Cis, cis dan cis cisss lagi.

Segala barang yang jatuh telah selesai dikutip. Hampir 10 minit tergadai di situ. Shida terus bangkit dan menyiku rusuk Pak Wahab menyebabkan orang tua itu melolong kesakitan. Hah padan muka. Jangan main-main. Aku ada silat sendeng tau.

Pak Wahab menunjukkan reaksi hendak membalas. Dengan langkah selaju mungkin Shida melangkah ke lif dan……… betul lah kata orang tua-tua malang tak berbau. Itulah padahnya memakai kasut tumit tinggi yang sempit dan kurang selesa. Cuma nak lawa sahaja. Shida tersembam jatuh di hadapan pintu lif. Dia hanya mampu menjerit kecil. Pak Wahab terus menyambung tawanya.

Cermin matanya tercampak ke hadapan ketika jatuh tadi. Belum sempat Shida bangun dan mengawal diri, pintu lif terbuka. Seorang pemuda berkaca mata hitam dan berpakaian kemas lengkap bertali leher berdiri tegak di dalam lif. Shida tahu di sebalik ray ban hitam itu ada mata yang sedang merenung sinis gadis cantik yang sedang tertiarap di atas lantai di hadapannya. Cis sempat perasan lagi tu. Namun Shida tergamam bagai telah disihirkan menjadi patung kayu. Malu………

Tanpa sebarang reaksi kepada Shida, pemuda itu melangkah keluar dari lif. Tiba-tiba…. Prakkk!!! Kasut Dr Cardin hitamnya dengan selamba memijak cermin mata Shida. Bunyi pecahan itu menyentak Shida daripada alam patungnya. Segera dia bangun. Rambut yang jatuh di dahinya ditolak kasar ke belakang.

Dengan wajah tidak beremosi, pemuda itu terus melangkah pergi meninggalkan Shida yang masih terpinga-pinga menahan geram. Pemuda itu terus melangkah. Namun Shida tidak mati akal. Spontan cermin matanya yang telah pecah itu dicapainya.

"Setan!!" sambil menjerit nyaring, cermin mata yang hanya tinggal bingkai itu dicampakkan kepada pemuda itu dan tepat mengenai belakangnya. Belum sempat pemuda itu menoleh ke belakang, Shida telah hilang di sebalik pintu lif.

~~~~~~~~~~flash back~~~~~~~~~~

Shida memandang ke kiri. Sebuah istana yang cantik tersergam megah dihiasi pohon-pohon besar yang berbunga lebat. Musim bunga memang menjanjikan pemandangan yang sungguh mempersonakan untuk semua makhluk Tuhan. Pohon-pohon besar, pohon-pohon renek sehingga rumput-rumput yang melata mengeluarkan bunga-bungaan aneka warna yang sungguh cantik. Aromanya yang harum itu menyegarkan lagi udara yang dihirup.

Shida memanjat kudanya yang cantik itu. Gaun putih yang dipakainya itu diangkat sedikit. Kuda putihnya terus berlari merentasi padang hijau itu. Vail putih yang menghiasi rambutnya turut berombak-ombak mengikut rentak larian kudanya. Shida merasakan keriangan yang sebenar, menunggang kuda di padang rumput yang menghijau dengan gaun pengantin yang cantik seperti Julia Robert di Runaway Bride, bertemankan arnab-arnab comel, burung-burung yang menyanyi merdu sambil berterbangan riang serta rama-rama indah berkejar-kejaran di celah-celah bungaan indah.

Kuda putihnya berhenti di pinggir sebatang anak sungai yang mengalir perlahan. Shida turun dari kudanya dan terus melangkah ke anak sungai itu. Terus dia melabuhkan punggungnya di sebatang tunggul kayu sambil memerhatikan gelagat anak-anak ikan yang berwarna-warni bermain riang di dalam air yang jernih itu.

Bunyi seekor kuda menyentak Shida. Shida terus berpaling ke belakang. Seorang pemuda kacak berpakaian serba putih memacu kuda coklatnya menghampiri Shida. Shida tersipu malu. Pemuda itu turun dari kudanya dan melangkah ke arah Shida. Shida terasa seperti berada di alam kayangan. Malu-malu Shida memalingkan wajahnya. Shida semakin tidak keruan. Dadanya berdebar-bedar kencang.

Pemuda itu kini berada di sebelahnya. Dia duduk di sebelah Shida sambil meraih tangan Shida. Tangan Shida dikucup mesra. Shida hanya tersipu-sipu malu. Shida merasakan dialah gadis yang paling bahagia di dunia.

Pemuda kacak itu merapatkan bibirnya ke telinga Shida seolah-olah mahu membisikkan sesuatu. Hati Shida mengharapkan agar pemuda itu membisikkan perkataan I love you ke telinganya. Namun pemuda itu tiba-tiba menjerit….

"Woiiii!!!!!"

Khairil dan Zainal menahan ketawa melihat gelagat Shida yang begitu melucukan. Aii tidur siang pun boleh mengigau ke?? Apalah agaknya yang dimimpikan dek minah brutal seekor ni sampai begitu asyik tersenyum dan terkikih-kikih ketawa.

"Zainal, aku dah tak tahan nak gelak ni. Kau kejutkanlah dia tu. Kesian pula aku tengok si Shida tu." Khairil bersuara separuh berbisik sambil menekan perut menahan tawa.

"Relax la Khairil. Tengah syok ni." Zainal membandah. Dia begitu terhibur melihat gelagai Shida melayan mimpinya itu.

"Kejutkanlah dia Zainal oii…"

"Yelah! Kita sergah dia sama-sama…………"

"Woiii!!!!"

Shida tersentak dan terus membuka matanya. Tiada lagi padang yang menghijau, tiada lagi sungai yang jernih, tiada lagi gaun putihnya, tiada lagi pemuda kacak yang menemaninya. Yang ada hanyalah kehingaran kelas yang menggantikan ketenangan musim bunga, meja dan kerusi kelas yang menggantikan padang dan sungai, baju kurung putih berkain biru menggantikan gaun putihnya dan wajah 2 ekor beruk yang hanya layak menggantikan kudanya dan kuda pemuda tampan tadi. Dua ekor beruk itu begitu seronok mengetawakannya.

Alamak! Aku tertidur ke? Shida membetulkan duduknya. Di tangannya, sebuah novel inggeris masih lagi terbuka tanpa dibaca kerana pembacanya terlelap. Tak guna betul.

"Sampai ke mana awak mengembara cik Shida oii?" dalam tawa yang masih belum ada tanda untuk berhenti itu Zainal bertanya.

"Kamu mimpi cium putera katak ke Shida?" Khairil menyambung lagi. Tawa mereka terus bersambungan.

Shida mendengus menahan marah. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri. Semua penghuni kelas 4c sedang sibuk dengan urusan masing-masing.

Ketawa Zainal dan Khairil berjaya menarik perhatian penghuni kelas yang lain. Masing-masing menoleh ke arah mereka. Tak kurang juga yang melangkah menghampiri mereka.

"Kenapa ketawa ala-ala pontianak ni Ril? " Kamil bertanya.

"Kau nak tahu Kamil, awek brutal kita mengigau." Khairil memberitahu Kamil.

"Kelas kau Shida. Mengigau dalam kelas lagi." Kamil turut bersama-sama ketawa.

"Hoi Khairil! Kau nak gaduh dengan aku ke hah!?" Shida bangun dan menyinsing lengan.

"Alamak! Awek brutal mengamuk lah. Cepat selamatkan dirrr……."belum sempat Khairil menghabiskan ayatnya, buku tebal di tangan Shida terlebih dahulu menjamah kepalanya. Terus sahaja Khairil menaduh panjang.

"Padan muka!" Shida mencebik dan segera melangkah keluar dari kelas, bimbang Khairil bertindak balas atas pukulannya tadi. Dia menoleh ke belakang melihat Khairil mengusap-usap kepalanya dan kemudiannya memandang ke hadapan semula.

"Arrrggghhh!!!" Shida menjerit. Dia telah terempuh Puan Rozi janda yang sedang melangkah memasuki kelas. Buku-buku latihan yang dibawanya turut sama terpelanting dan bertaburan di koridor. Nasib baik kelas mereka di tingkat tiga. Jika tidak pasti ada buku-buku yang menyerap air longkang.

"Awak tak ada mata ke?" Puan Rozi menjerkah Shida sambil membetulkan kedudukan cermin mata berbingkai keemasannya. Kemudian dia bangun dan menepuk-nepuk kebaya pendek birunya.

"Sorry… cikgu …" tergagap-gagap Shida memohon ampun. Spontan dia tunduk dan mengutip buku buku latihan yang bertaburan itu.

"Kutip dan bawa semuanya ke kelas!" Puan Rozi memberi arahan. Shida hanya mengangguk. Rasa meluat mula timbul dihatinya. Alah. Dah janda tu perasan glamour pulak. Dah tua-tua pakai baju ketat-ketat. Rambut pulak mengalahkan pontianak. Garang macam singa gila je… Shida terus membebel di dalam hati.

"Shida! Apa lagi awak mengelamun kat luar tu. Cepat masuk. Saya nak mula mengajar ni." Laungan Puan Rozi yang persis ngauman singa itu membuatkan Shida terkocoh-kocoh berlari masuk ke kelas.

Wednesday, January 14, 2004

Sejalur Sinar di Ufuk Timur (5)
Hatinya kian resah apabila malam makin dinihari. Matanya masih lagi terkelip-kelip merenung siling biliknya. Ah, sampai bilakah aku akan terus begini. Aku perlukan tidur ini untuk bangkit awal pada esok hari, ngomelnya sendirian. Keadaan sunyi sepi di biliknya menyelimuti diri. Hanya bunyi cengkerik yang mengisi tiap ruang kosong, sedikit sebanyak menjadi simfoni penghibur kesunyiannya itu.

Jemu menanti mata yang tak terpejam tadi, dia bangkit dari katilnya dan berlalu ke mejanya. Dia merenung gambarnya bersama tunang, Ahmad Shariza, yang diambil kira-kira satu tahun yang lepas ketika selepas majlis pertunangannya diadakan. Ahmad Shariza atau lebih gemar dipanggil Shariz jarang bercakap. Shariz lebih suka mendengar celoteh Nora apabila keluar dengannya. Nora merenung wajah tunangnya dalam-dalam. Dia senang sekali memerhatikan wajah tenang tunangnya itu terutama apabila Shariz sedang fokus mengerjakan sesuatu. Ada satu perasaan yang tak dapat dia gambarkan muncul dalam hatinya setiap kali dia merenung wajah Shariz. Sinar mata Shariz sering bercahaya, seolah memancarkan sesuatu yang luhur. Hanya pasangan yang bercinta saja mampu mentafsirkan apakah cahaya itu, bicara hatinya lagi. Dia juga pernah melihat sinar mata yang sama tetapi dari jiwa lelaki yang lain suatu ketika dahulu.

Nora menarik lacinya dan mengambil keluar diari dari ceruk laci. Perlahan-lahan dia menyelak tiap lembar diarinya. Nora jarang menulis dalam diari melainkan dia ada sesuatu yang penting untuk diceritakan atau yang penting diingati. Hatinya tertarik untuk melihat catatan bertarikh 13 Ogos 1998.

11/9/1998 – 12. 20 tengah malam.
Aku tak tahu kenapa aku menangis waktu melihat dia melangkah pergi. Aku tahu, dia tinggalkan Malaysia dengan hati terluka. Hati aku sebak bila aku nampak air matanya bergenang bila mana dia menoleh ke belakang. Redup sinar mata dia cukup membuatkan aku sebak tak tertahan. Aku akur yang hatiku dimilikinya, bukan Lan tapi Zul. Di situ juga air mata aku terburai dari kelopaknya. Hatiku luluh semahu-mahunya.

Hati pedih menangis
Jiwaku yang suram
Malam yang panjang ini, aku bersendirian
Merenung kehidupan
Memikirkan kesudahan
Pada siapakah hendak kucurah keresahanku
Aku berpaut pada sejengkal tali cuma
Itulah yang ada sementara aku
Hidup di dunia ini
Inikah dugaanku
Inikah kesempatan
Haruskah kuterus atau membiarkan ianya berlalu
Dekat di depan mata, berat meluah kata
Terpendam segala apa dirasa
Sekian lama ini
Apakah kita nanti tiada dapat serasi
Ataukah hanya aku bermimpi untuk memiliki

Aku ingat lagi email yang dia hantar padaku. Dia janji, dia akan hentikan segala komunikasi dengan aku kalau dia tahu aku sudah berpunya. Selagi perkara tu tidak terjadi, dia akan tetap mendatangi aku dalam apa cara sekali pun. Aku benci pada diriku sendiri kerana melepaskan dia. Aku tahu dia kecewa yang teramat sangat. Tapi aku sangat lemah.

Aku tak mampu lagi tanggung rasa bersalah aku pada dia. Aku tak tahu pun kenapa aku rasa bersalah. Salah ke aku meminta waktu darinya? Aku sungguh-sungguh terasa kehilangannya sejak dia tahu dari Ain yang aku sudah berpunya. Dia betul-betul kotakan janjinya.

Kini sudah sebulan Zul tinggalkan hidup aku. Tiada lagi email darinya, tiada lagi nota ringkas darinya, tiada lagi panggilan telefon darinya. Aku sunyi sekali. Aku rindukan nasihat-nasihat darinya, aku rindukan lenggok bahasanya, aku rindukan senyuman bibirnya. Lan tinggalkan aku bila dia tahu aku pergi ke KLIA untuk menghantarnya. Lan cemburu mengetahui aku menangis bersungguh-sungguh di lapangan terbang. Salahkah aku menangisi pemergiannya? Sudahnya Lan pergi terus meninggalkan aku.

Zul, maafkan aku zul! Aku akui hatiku hanya untuk kau, aku akui egoku melampaui batas kewajaranmu. Aku rindukan kau Zul. Bilakah rinduku ini akan berakhir?

Setitis air mata Nora berderaian jatuh di atas lembaran diarinya. Dia tidak menyangka sejarah emosinya yang cermat disimpan di lipatan sejarah masih lagi menganggu ketenangan tasik hati wanitanya. Dia menyelak lagi lembaran diari. Kali ini Nora melihat catatan catatan bertarikh 15 November 2001.

15/12/2001 – 8.00 malam

Sudah hampir seminggu lebih aku terlantar di katil hospital. Kata mak, aku terlibat dalam kemalangan kereta. Aku sebenarnya masih samar-samar dengan apa yang terjadi ketika itu. Yang aku tahu, aku tiba-tiba terdengar Kak Nina menjerit Allahu Akbar dan dentuman kuat menghentam kananku. Aku lihat Nasir, adik bungsuku tercampak keluar dari tingkap. Aku tidak tahu apa yang terjadi pada Pak Long kerana dia duduk di tempat pemandu di hadapanku. Selang sesaat selepas itu kepalaku terhempas pada sesuatu yang keras dan pandanganku terus kelam.

Dan bila kusedar, aku sudah terlantar 5 hari di hospital. Ummi dan Abah ada menanti di tepi katilku. Aku bertanya di manakah Nasir, Kak Nina dan Pak Long? Ummi serba salah. Dia menangis tidak berhenti sebaik saja aku bertanyakan tentang mereka. Abah kulihat menelan air liurnya sendiri. Abah kata adik Nasir dan Pak Long meninggal dalam kemalangan. Adik Nasir tercampak keluar dari kereta dan merempuh sebuah motorsikal yang kebetulan sedang mengikuti kereta kami dari belakang. Pak Long cedera parah di kepalanya akibat hantukannya di stering kereta. Doktor tidak mampu untuk menyelamatkannya kerana darah beku yang berkumpul di bahagian otak Pak Long meragut nyawanya sebaik saja dia tiba di hospital. Kak Nina? Kak Nina mujur alhamdulillah selamat. Tali pinggang keselamatannya menyelamatkan Kak Nina dari turut terhumban keluar dari kereta seperti arwah adik Nasir. Bahu kiri Kak Nina retak dan tangan kanannya patah.

Aku? Abah cakap doktor sendiri ragu-ragu untuk menyelamatkanku. Kata mereka aku ini tidak punya lebih dari 50% untuk hidup. Hatiku koyak akibat hentaman momentum. 3 tulang rusukku patah dan mencederakan paru-paruku. Para doktor bertungkus-lumus cuba untuk menyelamatkan nyawa aku. Kata seorang doktor pakar lagi, hatiku ini tidak dapat dijahit lagi. Ianya perlu diganti.

Kemudian Abah kata ada seorang pemuda dan seorang gadis yang datang dari KL untuk melawatku kira-kira satu hari selepas aku dimasukkan ke dalam hospital. Abah dan ummi menerima kehadiran pemuda itu kerana pemuda itu mendakwa dia kenalan lamaku. Katanya lagi pemuda itu mendapat berita aku terlibat dalam kemalangan dari seorang teman kami di kolej. Kebetulan ketika itu dia berada di rumah untuk bercuti dari luar negara. Tambah lagi terkejut apabila pemuda itu menunjukkan surat kebenaran untuk mendermakan sebahagian hatinya untuk menyelamatkan aku. Abah bertanya berkali-kali apakah dia pasti untuk melakukan perkara itu. Pemuda itu cuma memandang sayu ke arah aku dan berkata ya.

Pembedahan memindahkan sebahagian hatinya kepadaku mengambil masa 10 jam. Abah dan ummi kata mereka tidak berputus-putus mendoakan keselamatan kami berdua. Gadis yang menemani pemuda itu pun turut kelihatan sangat gusar, kata ummi. Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar dan aku telah pun selamat menerima sebahagian hati pemuda itu. Selang sehari selepas pembedahan, pemuda itu dan temannya berangkat pulang semula ke KL. Abah dan ummi tidak berpeluang mendapatkan alamatnya atau pun nombor telefonnya. Semuanya berlaku seperti kisah dalam dongeng. Pertolongan yang diharapkan datang jatuh bergolek. Sebelum beredar pemuda itu turut sempat meninggalkan sejambak bunga dan sebuah anak patung teddy bear untukku. Hanya dua ayat saja yang ditinggalkan pada kad di jambangan bunga itu. “Akan kukorbankan apa saja untuk mu, biar nyawa bercerai badan, biar jasad hancur dimamah tanah. Cintaku masih padamu, dulu, kini hingga selamanya. Dari, ZM”.

Zulhariq Mohamad. Hanya nama itu saja yang aku mampu teka. Apakah ini semuanya takdir tuhan? Setelah lama tanpa khabar berita, dia muncul lagi dalam hidupku. Kali ini bukan minta untuk ditangisi, tapi untuk menyelamatkan nyawaku. Aku sudah terhutang nyawa dengannya. Bagaimana harus kuganti jasanya? Sekali lagi pandanganku kelam, basah dengan air mata.

Kali ini Nora tidak lagi mampu menahan sebaknya. Sendunya dilepaskan dalam rintihan. Apakah dosa Zul sehingga dia mendapat layanan yang begitu buruk dari Nora? Di manakah silapnya hubungan kita Zul? Apakah aku yang degil atau pun sudah suratan takdir menjadikan kita begini? Mengapakah hatiku degil, jahil dan benci pada cintamu? Nora tertunduk sayu di mejanya. Titisan demi titisan air matanya jatuh membasahi catatan memorinya itu. Nora meramas-ramas jarinya sendiri seperti kehilangan arah. Sesaat kemudian dia melayangkan pandangan mata pada wajah Shariz yang setia menyerikan mejanya. Hati tambah pilu, hati jadi kaku dan hati pun jadi kelu.

****************************************************

Perjalanan hidup Zul yang berliku-liku menuntut dia menjadi berani. Dia harus berani pada kenyataan dan juga berani menghadapi kenyataan itu. Tiap langkah hidupnya dititipkan suka-duka yang barangkali sukar bagi emosi seorang manusia mendepaninya namun Zul gagahi jua. Dan pada dirinya, tiap kejadian yang tuhan jadikan itu sudah diiringkan hikmah pengajaran dari sebaliknya. Sungguh pun ada ketika-ketikanya dia berasa lemah dan benci melihatkan takdir hidupnya, dia tetap beriktikad untuk menjalani kehidupan seperti biasa dan enggan tunduk pada tekanan hidup.

Hatinya seperti biasa merindukan hanya seorang wanita dalam hidupnya. Seorang wanita yang dikenali kira-kira 6 tahun dulu ketika menuntut di kolej. Wanita yang dahulunya seorang gadis kini hampir menjadi seorang wanita, pendidik dan isteri. Yang pasti wanita itu bukan miliknya biar pun sudah berjuta kali dia cuba untuk memenangi hati wanita itu. Apakah lagi silap taktiknya? Di manakah lagi sudut hati wanita itu yang harus dia selami? Ciri-ciri lelaki yang bagaimanakah yang wanita itu mahukan darinya? Acap kali soalan-soalan itu bermain di ruang benak Zul. Apakah diri ini penuh kekurangan sekali hingga gagal berkali-kali menyakinkan cintanya pada wanita itu?

Kesunyian waktu tengah malam membuatkan Zul melayani perasaan penuh kekhusyukan sehingga dia terlepas ke ruang fikirannya sendiri. Sibuk melayari ruang legar benaknya, dia tidak sedar mummy datang menghampirinya. “Zul, lama termenung?” lembut saja suara sang ibu menegur. “Oh, mummy. Hmmm..Alang cuma teringat kisah dulu-dulu ajer. Mummy belum tidur lagi ke?” balas Zul. Di tangannya masih lagi tergenggam sebiji gelas berisi air Milo, minuman kegemarannya sejak dari kecil. Matanya agak sedikit bundar menatap wajah tua mummy. Terlihat garis-garis kedutan tua di wajah mummy. “Mummy rasa tak berapa selesa baring di bilik. Rasa panas sikit malam ni ya? Zul pulak tak tidur ni sebab apa? Takkan layan kenangan dulu-dulu ajer kot?” Mummy senyum bersahaja. Dia melabuhkan punggung di sebelah Zul.

Sudah besar ya anak terunaku, bicara hati mummy sendirian. Mummy seringkali cuba menelah hati anak terunanya tetapi ternyata gagal. Entah mengapa hatinya begitu sukar untuk melepasi tembok hati anak ketiganya itu. Ditatapnya wajah Zul puas-puas. Kata orang Zul ada iras-iras wajahnya. Riak wajah yang serius tetapi tak lokek menghulurkan senyum tika keadaan mengizinkan. Hidung Zul pula tidak mancung seperti Kak Long dan Angah, tapi kemek sedikit tampak hidung melayu tulen. Bibirnya nipis, bermisai dan sedikit berjanggut menambahkan lagi perawakan serius anaknya.

Bagi mummy, Zul mewarisi dua sifat dari papanya; penyabar dan pandai mengambil hati orang terutamat sekali ketika berbicara bersama. Zul tidak kekok membawa dirinya di hadapan orang lain, baik dengan ahli keluarga sendiri mahupun dengan orang luar. Tahu bila dia harus merendahkan suaranya tanda beradab sopan dan bersuara lantang untuk memperdengarkan buah fikirannya. Sifat degilnya pula diwarisi dari perangai mummy sendiri. Degilnya bukan yang bersifat negatif tapi lebih cenderung ke arah nilai positif. Mummy akui akan hakikat itu. Mummy ingat lagi ketika Zul lumpuh sebelah kaki sewaktu dia berumur 4 tahun. Sungguh pun tubuhnya kecil namun Zul tak pernah putus asa menggagahi untuk berjalan. Terkial-kial dia cuba melangkah dan terjatuh tapi dia tidak pernah putus asa. Mummy dan papa sudah mencuba pelbagai cara untuk merawati penyakitnya itu tetapi gagal. Akhirnya papa berikhtiar untuk mendapatkan khidmat bomoh urut di Kelantan selepas beroleh nasihat dari temannya di pejabat. Ketika di sana, bomoh itu mengurut kaki kecil Zul. Muka Zul sewaktu diurut kakinya berkeriut seperti sedang menderita dengan kesakitan yang dahsyat sekali. Namun begitu tidak sedikit pun dia berteriak mohon dihentikan proses pengubatan itu sungguh pun dia hanyalah seorang budak berumur 4 tahun. Dalam kesakitan menahan segala urat sendi dipulas dan diinjak-injakkan, Zul tetap juga menitiskan air mata seperti kanak-kanak yang lain bila disakiti. Mummy sendiri tidak tertahan melihatkan penderitaan anaknya sehingga mummy turut menangis tersedu-sedu juga. Setelah beberapa kali Zul dibawa berubat dengan bomoh urut tersebut, dia akhirnya sembuh dari penyakit lumpuhnya itu dan akhirnya dapat berjalan seperti kanak-kanak normal yang lain. Mummy dan papa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dilepaskan mereka dari menghadapi ujian getir ini.

“Mummy, Zul nak tanya mummy satu perkara”.
“Apa dia nak? Tanyalah,” ujar mummy.

“Kenapa orang laki-laki susah nak faham orang perempuan? Maksud Zul, hati orang perempuan,” bicara Zul lagi. Kali ini kepalanya tunduk ke bawah. Mummy merenung Zul. “Mummy sebenarnya tak tahu jawapan yang macam mana yang Zul hendak. Bagi mummy, tiap-tiap manusia ni samada laki-laki atau wanita adalah unik. Jadi untuk kita fahami satu-satu hati manusia itu memangnya payah. Tidak ada jalan mudah melainkan kita iringkan dengan doa kepada tuhan,” jelas mummy. “Tapi mummy, macam mana pulak kalau kita dah doa pada tuhan? Kita dah minta pun pada tuhan supaya dibukakan pintu hati kita untuk fahamkan orang perempuan tu tapi tak faham-faham juga. Kat mana pulak salahnya?”, tingkah Zul dengan nada tidak berpuas hati. Mummy hanya menghela nafasnya berat.

“Zul, setiap perkara yang jadi dalam hidup kita ni sudah pun Allah siapkan hikmah pengajarannya. Cuba Zul fikirkan contoh kisah pengembaraan Nabi Musa dengan Nabi Khaidir ya nak? Nabi Musa ni selalu persoalkan tindakan Nabi Khaidir walaupun Nabi Khaidir sudah beri amaran pada Nabi Musa supaya jangan persoalkan tindakannya kalau dia hendak ikut Nabi Khaidir mengembara. Nabi Musa pulak jenis langgar saja amaran Nabi Khaidir. Dalam hal ini Nabi Musa bertindak kurang sabar sikit, tapi akhirnya bila Nabi Khaidir terangkan rasional tindakannya, barulah Nabi Musa rasa kesal dengan tindakannya yang agak melulu tu. Kita selalunya takkan faham kenapa sesuatu perkara itu terjadi tetapi lambat-laun nilai pengajaran dari peristiwa yang kita lalui tu akan datang juga pada kita. Cuma perlukan masa dan redha kita Zul,” jelas mummy dengan nada suara yang lembut sekali. Sesekali tangan mummy mengusap lembut bahu anak terunanya. Zul cuma terdiam seketika dan lesu memandang mata mummy.

Sesekali tergerak di hatinya untuk berkongsi gelora hati dengan ibunya sendiri. Tapi barangkali lama sangat dia dibesarkan di sekolah berasrama, lantaran itu dia kekok apabila berbicara dengan darah dagingnya sendiri. Hati sendiri rasa gusar tapi sayang tak tahu pada siapa nak disalurkan kegusarannya. Kadang-kadang timbul rasa cemburu apabila terkenangkan sukanya Kak Long bertemankan Abang Faizal. Ada juga rasa irihati melihatkan Angah yang begitu tenang saja tanpa teman wanita. Jiwanya masih lagi jiwa muda dan secocok dengan aliran masa yang menjadikan hatinya ingin dimanjakan oleh kaum Hawa. Bilakah dia akan bertemu dengan jodohnya, hanya takdir dan waktu penentu segala.

Karya : mxm659 ; sumber : www.melayu.com
Sejalur Sinar di Ufuk Timur (4)
Zul selesai menunaikan solat maghrib. Matanya tunduk menekur di tikar sejadah. Keheningan kamar solat di pejabatnya jelas menyelungkupi suasana hatinya. Zul kian tenggelam dalam tafakur. Bibirnya masih lagi terkumat-kamit mengalunkan zikir. Dalam diri dia menyerahkan hatinya kepada Al Khaliq untuk disucikan, baik dari segala dosa-dosa yang mencengkam diri mahupun penyakit hati yang mengaburkan pandangan hatinya.

“Ya Allah ya Tuhanku, aku mohon kepada Mu akan keampunan atas kedua ibu-bapaku, kaum keluargaku, sahabat-sahabatku dan sekalian umat Islam. Ya Allah, aku mohon perlindungan dari Mu dari gangguan syaitan pada setiap masa. Ya Allah, kupohon dari Mu janganlah Engkau memalingkan hatiku dari agamamu, tetapkanlah hatiku dan matiku dalam agama Mu. Ya Rahman ya Rahiim, kupohon dari Mu kelapangan hati dan ketenangan jiwa dalam menghadapi urusan kehidupanku seharian. Engkaulah yang Maha Pengasih dan Engkaulah yang Maha Penyayang, sekiranya Engkau mentakdirkan aku mati, maka matikanlah aku sebagai para syuhada yang menegakkan syiar agama Mu di atas muka bumi ini. Amin ya Rabbal A’lamiin,” doa Zul penuh khusyuk. Bertakung air matanya di pelupuk mata ketika dia sedang berdoa. Padanya biarlah dia merintih di hadapan tuhannya. Segala kedukaan hatinya diluahkan di tikar sejadah, segala kesugulan jiwanya dicurahkan pada Penciptanya, segala pengaduan diajukan kepada tuhan yang berkuasa ke atasnya. Dia sedar kudratnya sebagai manusia tidak berkuasa mengubah apa-apa melainkan hanya memanjatkan doa kepada tuhan untuk diberikan rahmat ke atasnya.

Selesai solat maghrib dia segera bergegas kembali ke meja kerjanya. Keadaan mejanya tidak ubah seperti tongkang pecah. Penuh dengan fail, laporan, alat tulis dan segala macam sampah sarap ciptaannya. Zul mengemaskan segala perkakasan di atas meja dan mencapai bag galas untuk diisikan dengan fail-fail rujukan milik pejabat. Aduh, aku dah tak larat nak teruskan laporan ni, bisiknya. Dia berdiri tegak seketika sambil merenung laporan yang dikerjakan sejak petang tadi. Hmm, tak apalah. Biar aku bawa balik laporan ni dan cuba siapkan di rumah pulak.

“Hello mummy, ini Alang ni. Alang still kat pejabat lagi. Semua orang di rumah dah makan malam ke belum? Belum ya? Apa, mummy tak masak apa-apa malam ni? Haa..tak apa, biar Alang belanja makan kat luar malam ni. Insya Allah dalam 40 minit lagi Alang sampailah di rumah. Ok ya mummy, assalamualaikum!”, pantas Zul meletakkan gagang telefon. Okay, aku kena gerak sekarang ni. Lambat balik nanti, bising pulak mummy dan papa di rumah.

Zul mengaturkan langkahnya segera ke stesen LRT di tingkat bawah. Perjalanan pulang ke rumah dari pejabatnya di Menara Berkembar Kuala Lumpur hanya mengambil masa 30 minit saja dengan menaiki LRT. Itu pun dia terpaksa menukar LRT daripada laluan LRT Putra kepada laluan LRT STAR di Stesen LRT Masjid Jamek. Parah juga Zul membayar tambang LRT setiap bulan. Tapi apakan daya, dia tak mampu untuk punyai kereta. Berkali-kali Angah menyuruh dia membeli sebuah motorsikal supaya mudah untuk Zul bergerak ke sana ke mari tapi dia sengaja menolak cadangan Angah itu. Zul senang begitu, kurang stress katanya.

“Excuse me, saya rasa saya pernah nampak saudara. Tapi tak berapa ingat pulak di mana kita berjumpa, “ tegur seorang gadis. Dia berpakaian t-shirt berwarna merah jambu yang agak ketat sedikit dan berseluar jeans. Jelas kelihatan yang gadis ini gadis kota. Ketika itu keadaan di Stesen LRT Masjid Jamek agak kelam-kelam sedikit. Zul sedikit terperanjat. Maklumlah baginya bukan menjadi satu kebiasaan bagi gadis menegur lelaki. Zul meneliti gadis itu dari muka sampailah ke hujung kakinya. Wajahnya yang bujur sireh, bertubuh lansing, berkulit cerah dan memiliki sebuah senyuman yang manis sekali kelihatan seperti pernah dia ketemui sebelum ini. Berkerut-kerut dahinya cuba untuk mengingatkan wajah gadis itu. “Errr…saya pun rasa saya pernah jumpa cik ni. Tapi tak berapa ingatlah, sorry ya!”, balas Zul kembali. Boleh tahan juga minah ni, katanya dalam hati. Kemudian mata Zul menjeling ke arah jam tangannya. Alamak, kenapa pulak LRT lambat sangat ni. Mesti diorang di rumah kebulur menunggu aku balik, gerutunya.

“Haa baru saya teringat! Saya terjumpa saudara ni dalam flight dari Newark ke KLIA dulu. I was one of the flight crews at that time,” jelas gadis itu. “Hmm…eh kejap. Ini Cik Syarmila ke? Yang lawa-lawa tu kan?” tanya Zul selamba sambil membeliakkan matanya. Gadis di hadapannya tersenyum lagi. “Ya saya. Nama saya Syarmila Mansur tapi panggil saja saya Mila. Nama saudara apa ya?” ujar Mila tersipu-sipu malu mendengarkan pertanyaan Zul itu. “Panggil ajer saya Zul”. Mila menghulurkan tangannya tanda salam perkenalan. “Maaf saya tak salam dengan perempuan, haram!” Zul tersengih lagi. Pipi Mila mula terasa hangat, pipi gebunya yang putih itu mula kelihatan kemerah-merahan.

“Cik Mila, LRT untuk pulang ke rumah saya dah pun sampai. I guess I’ll see you some other time ok? By the way, this is my business card. You can either keep it or throw it away,” ujar Zul tersenyum sambil menghulurkan kadnya. Mila menyambut kad tersebut dari tangan Zul. “Ini pula kad saya. Zul pun boleh buat perkara yang sama juga, samada simpan kad ini atau pun buangkan terus dalam tong sampah tu,” balas Mila. Wajah Mila bertukar dari tersenyum manis kepada masam mencuka. Alamak, minah ni perli aku nampak, kata Zul dalam hati. Sengih Zul masih tak lekang lagi dari bibirnya. “Okaylah, jumpa lagi ya! No hard feeling tau? Assalamu’alaykum,” Zul dengan segera berlalu dan masuk ke dalam LRT meninggalkan Mila. Mila seakan terpaku di situ, terkejut dengan tindakan Zul. Terasa sebal hatinya diperlakukan sebegitu oleh Zul.

*******************************************************

Sudah hampir setengah tahun Zul pulang dari Amerika. Pelbagai peristiwa berlaku sepanjang tempoh itu. Kak Long sudah pun bertunang dengan Abang Faizal, Angah pula menyambung pengajiannya di UTM dalam peringkat ijazah sarjana dan Nani baru saja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Papa juga telah pencen dari pekerjaannya sebagai anggota polis. Zul pun makin tenggelam dalam kesibukannya di tempat kerja. Dia selalu pulang larut malam sehinggakan papa dan mummy turut perasan perubahan dirinya. Waktu terluang di hujung minggu pula sering dia habiskan dengan aktiviti usrah dan kegiatan jemaah.

“Zul, papa ada hal sikit nak cakap dengan kau ni”.

“Ada apa papa? Zul ada hal di luar sekejap lagi,” balas Zul lembut. “Lama papa tak sembang dengan kau. Sejak kau terlibat dengan usrah kau tu, jarang kau ada kat rumah ni,” tegur papa sayu. Bergetar pada hujung nada suaranya. Zul melemparkan pandangannya ke luar rumah kemudian dia memakukan pandangannya pada budak-budak kecil yang bermain di luar pagar rumahnya. “Papa bukan nak kongkong sangat kau. Kau pun dah besar, bukan macam dulu-dulu. Cuma papa nampak kau jarang ada di rumah ni,” kata papa lagi. Papa meletakkan helaian suratkhabar yang tergenggam kemas di tangannya ke atas meja.

“Zul tak ke mana-mana papa. Zul cuma pergi program usrah saja dengan kawan-kawan. Usrah tu macam kelompok kecil yang bincangkan soal agama. Tak lebih dari itu,” jelas Zul. “Itu papa tahu, bahkan papa juga tahu usrah tu maksudnya keluarga dalam bahasa arab. Tapi bukankah keluarga kau di sini juga perlu dipentingkan juga?”, tingkah papa. Kali ini nadanya agak tinggi sedikit. Zul sedikit terkejut. Dia sedikit pun tak bermaksud untuk mengusik ketenangan hati bapanya. Namun dia segera menghindarkan segala perasaan buruk sangkanya pada papa. Bimbang kalau-kalau apa yang dilahirkan di hatinya akan mengocakkan lagi suasana ketika itu. Zul menelan air liurnya sesaat kemudian. “Papa, Zul tahu keluarga kita penting. Tak ada sesiapa pun dalam dunia ni boleh sangkal kenyataan tu. Bila Zul sertai usrah, bukanlah maksudnya Zul lupakan keluarga kita papa. Itu sesuatu untuk diri Zul, untuk bekalan Zul pada keluarga yang bakal Zul bina. Bekalan untuk Zul tebus hasilnya di akhirat nanti. Harap papa mengerti apa yang Zul lakukan ni ya,” ujar Zul seraya pandang tepat wajah papa. Dia mengeluh perlahan. Bagaimanakah aku dapat fahamkan papa?

Zul minta izin dari papa untuk keluar dari rumah. Dicapainya kunci kereta Wira 1.5L milik papa dan terus dia berlalu dari Taman Uda Jaya menuju ke Shah Alam. Di sepanjang Lebuhraya KESAS itu dia melayari perasaannya memikirkan tentang perbualan singkat dia dengan papa tadi. Sesekali datang perasaan bersalah datang menghinggap dirinya tapi dia cuba menyakinkan tindakannya itu tetap benar. Perubahan pada keadaan emosi papa setelah pencen dirasakannya semakin mendadak. Papa mudah sangat terasa hati apabila anak-anak tidak mendengar katanya. Ingat lagi Zul pada ketika Kak Long meluahkan hasratnya untuk bertunang dengan Abang Faizal. Papa sungguh-sungguh tidak bersetuju dengan keinginan Kak Long. Bengkak mata Kak Long menangis berhari-hari mengenangkan permintaannya yang ditolak mentah-mentah oleh papa. Apa kurangnya Abang Faizal daripada orang lain, rintih Kak Long pada papa. Angah yang sering mendiamkan diri dalam urusan keluarga pun terpaksa masuk campur dalam soal ini. Angah dan mummy cuba pujuk papa supaya menerima pilihan Kak Long. Takkanlah hanya kerana Abang Faizal anak orang kenamaan, maka dia tidak boleh bersama Kak Long, anak golongan kelas pertengahan. Akhirnya setelah sebulan Angah dan mummy memujuk papa, barulah dia setuju menerima Abang Faizal sebagai tunangan Kak Long. Itu pun setelah sebulan lamanya Kak Long tidak bertegur sapa dengan papa di dalam rumah. Abang Faizal juga bersungguh-sungguh membawa kedua orang tuanya datang berjumpa dengan papa untuk menunjukkan kesungguhannya menyunting anak dara Pak Mohamad ini. Apabila dilangsungkan majlis pertunangan Kak Long dengan Abang Faizal, Zul dapat lihat betapa berseri-serinya wajah kakaknya itu tanda sukacitanya dapat ditunangkan dengan bakal suaminya.

Trutttt…truttttt..trutttt..

Ah, siapa pulak yang kacau aku ni, bentak hatinya. “Hello, assalamualaikum. Ini Zul bercakap. Oh Mila. Mila nak jumpa Zul? Bila? 8.30 malam ni? Tak bolehlah Mila tapi kalau you nak jumpa I lepas Isyak okay lah kot. Jumpa kat Nan Corner? 9.30 malam ni? Insya Allah, kita jumpa di sana nanti ya. Assalamu’alaykum,” ringkas saja perbualannya dengan Mila. Zul terus saja menghalakan keretanya menyusur keluar dari lebuhraya itu menuju ke Seksyen 11.

Program usrah bermula pada waktu Zuhur dan tamat kira-kira satu jam atau dua jam selepasnya. Itu bergantung kepada topik-topik yang dibawakan semasa usrah berlangsung. Zul kadang-kadang diberikan tugasan untuk membentangkan tentang satu-satu isu dan selebihnya dibawakan oleh naqib usrah sendiri. Kegiatan berusrah bagi Zul tidaklah asing kerana dia telah mengenali amalan sunnah rasulullah ini sejak dia menuntut di PPP lagi. Semasa di sana dia aktif menyertai kegiatan keagamaan. Barangkali kerana tarikan daripada teman sebiliknya, dia akhirnya menjadi cenderung untuk bergiat dalam aktiviti sebegini.

“Assalamu’alaykum ikhwan yang ana kasihi sekalian. Hari ini ana ditugaskan untuk bawa tajuk, Politik Islam. Ana faham ramai di antara kita ini tidak begitu memahami apa itu politik Islam, bahkan ada yang berpendapat tiada tempat bagi politik dalam agama kita,” Zul memulakan penyampaiannya dalam sesi usrah. Ada ahli-ahli usrah yang lain mengangguk-anggukkan kepalanya dan ada pula yang mencatatkan segala butir yang dikeluarkan dari mulut Zul. “Contoh amalan politik yang pertama yang kita dapat lihat dalam sirah nabawiyah adalah semasa penggubalan perlembagaan Madinah iaitu Sahifah Madinah. Nabi Muhammad telah diangkat secara sebulat suara sebagai pemimpin kota Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Madinah Al Munawwarah. Hal ini juga mencangkupi kepada sifat tolak ansur yang ditunjukkan oleh golongan Ansar dan juga Muhajirin kepada golongan bukan Islam yang menetap di situ,” kelihatan tegas sekali Zul menyampaikan isi kandungan pidatonya. Sesekali Zul menyemak helaian nota di hadapannya bagi memastikan dia tidak terbabas dari topik yang sedang dibincangkan.

Setelah tamat sesi usrah, Zul sempat menyemak notanya dengan beberapa orang sahabatnya dalam usrah. Naqib usrahnya sempat memuji kehebatan Zul mengendalikan usrah pada kali ini. Zul hanya tersenyum sahaja. Dia tidak cepat lupa pada pujian. Dia sedar pujian yang diberikan oleh naqib adalah untuk meniupkan semangat bagi terus istiqamah atau kekal dalam aktiviti berusrah. Kemesraan yang wujud sesama ahli usrah merupakan hasil daripada tarbiyah atau didikan ikhlas yang berteraskan ajaran Islam. Bagi dirinya, dia berazam untuk mendalami ilmu Islam di samping sibuk bekerja kerana ilmu asas Islam ini adalah tuntutan fardhu ain kepadanya. Apabila selesai mendalami ilmu Islam, dia juga berhajat untuk mempelajari cabang-cabang ilmu dalam Islam. Zul sering mengingatkan dirinya yang Islam ini bukanlah satu ajaran agama semata tetapi ia lebih merupakan kepada satu cara hidup yang lengkap yang diturunkan oleh Maha Berkuasa kepada seluruh makhluk di mukabumi ini.

“Akhi, subhanallah ana kagumlah tengok gaya anta bagi pengisian,” tegur Taufiq. Dia tersenyum lalu menepuk-nepuk bahu Zul. “Alhamdulillah, ana rasa ini pun datang dari bantuan Allah Ta’ala.Kalau Dia tak bantu, masakan ana dapat buka mulut hari ni, betul tak akhie? Mudah-mudahan Allah sentiasa permudahkan urusan kita ya,” ujar Zul sambil tersenyum. Senang sekali berbicara dengan anak muda ini kerana sifatnya yang rendah diri itu. Tersenyum saja Taufiq mendengarkan penjelasan Zul. “Eh Zul, ana sebenarnya ada hal sikit nak bincang dengan anta. Baru-baru ini ana pergi berjumpa dengan Ustaz Marzuki. Dia sampaikan salamnya pada anta sekali. Ustaz minta bantuan dari kita,” kata Taufiq. “Bantuan yang macam mana ni akhie,” soal Zul tertanya-tanya. “Macam ni, ustaz kata dia hendak berjumpa dengan semua ahli usrah minggu depan. Ada amanat penting yang dia hendak sampaikan pada kita semua. Insya Allah dia akan bawa seseorang dalam perjumpaan usrah minggu depan”. Zul terangguk-angguk mendengarkan penjelasan dari Taufiq. Kemudian dia melemparkan pandangannya jauh ke luar tingkap seperti cuba meneka akan perkara yang bakal disampaikan oleh Ustaz Marzuki nanti.

****************************************************

“Assalamu’alaykum Mila”.

“Wa’alaykumsalam, Zul jemputlah duduk,” balas Mila lembut. Di sebelahnya ada seorang gadis lain yang kemas berpakaian t shirt dan jeans hitam. Mila sendiri berpakaian ringkas malam itu, hanya berblaus putih dan skirt labuh berwarna coklat tua. Mila tahu Zul tidak suka berjumpa dengannya bersendirian, jadi dia bawakan rakan serumahnya untuk menemani Mila berjumpa dengan Zul.

“Tak nak kenalkan ke kawan Mila tu pada Zul?” tegur Zul sambil menjeling pada teman di sebelah Mila. “Oh, terlupa pulak. Dia ni namanya Suria. Kawan serumah Mila. Su, kenalkan Zul. Inilah kawan yang Mila selalu ceritakan tu,” ujar Mila pada Suria. Suria menghulurkan tangannya pada Zul tapi segera Mila menarik tangan Suria ke atas meja semula. “Zul tak salam dengan perempuan,” kata Mila sambil melirik senyuman pada Zul. Isk, ada saja modalnya untuk perli aku, gerutu hati Zul. “Hmm..bila Mila balik dari LA? Berapa lama Mila cuti kali ni ya?” soal Zul seraya mengukirkan senyumnya pada kedua gadis di hadapannya. Mila menjelaskan yang dia hanya akan berada di ibukota untuk beberapa minggu sahaja. Selepas ini dia akan kembali meneruskan tugasnya semula sebagai pramugari di langit biru. Oleh kerana itu dia ingin sekali bertemu dengan Zul sebelum dia kembali bertugas. Banyak sekali perkara yang mereka bertiga bualkan di meja.

Sejak pertemuan mereka yang tidak sengaja di LRT setengah tahun dulu, mereka menjadi semakin akrab. Zul yang mula-mula mengirimkan pesanan ringkas pada Mila menerusi telefon bimbitnya. Pada mulanya Mila berasa agak kekok berbual dengan Zul kerana Zul agak ‘bersopan santun’ baginya berbanding dengan kawan-kawan lelaki Mila yang lain. Mila merasakan Zul mempunyai kelainan pada personalitinya. Acap kali dia bertemu dengan lelaki yang berpendidikan tinggi tapi kelakuan mereka tidak pula mencerminkan taraf pendidikan yang mereka punyai. Jarang dia berjumpa bekas pelajar lulusan dari luar negara yang mempunyai pendirian seperti Zul, lebih-lebih lagi pada pendiriannya mengenai agama. Ketegasan Zul dalam beberapa perkara mengenai kehidupan juga turut membuatkan Mila tertarik padanya. Lama kelamaan Mila berasa selesa berkawan dengannya.

“Mila, Zul nak baliklah. Tak balik rumah sejak dari Zuhur tadi. Sekarang pun dah jam 11.30 malam. Takut-takut bising pulak orang kat rumah tu,” jelas Zul. Dia memandang tepat ke wajah Mila. Mila pun mengangguk lemah tanda faham. Lagi satu perangai Zul yang Mila akur adalah kebencian Zul untuk berada di luar rumah sehingga lewat malam. Pada Zul, dia perlu berada di rumah seelok-eloknya sebelum jam 12 tengah malam. Mila termenung sekejap, apakah dia ini waris lelaki melayu terakhir? Orang zaman sekarang tidak betah duduk di rumah tapi Zul pula tak betah duduk di luar. “Okaylah Zul. Mila pun nak balik dah ni. Penat satu badan ni pun tak hilang lagi sebab keluar pergi shopping dengan Su siang tadi,” balas Mila sambil menjeling pada Su. Su hanya tertawa kecil. “Haa..mari Zul hantarkan ke kereta. Hmm..siapa nak bayarkan teh ais Zul ni? Orang tengah sengkeklah, maklumlah sekarang kan tengah bulan,” Zul menjeling pada Mila sambil mengenyitkan matanya pada gadis itu. “Kitalah tu jadi mangsa dia ya malam ni? Tak apa, kali ni Mila belanja. But next time Zul pulak yang kena bayarkan. Okay?” pantas saja Mila mengaturkan janji. Zul hanya tergelak saja sambil mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju.

Setelah Zul meninggalkan kereta Satria Gti berwarna kelabu metalik milik Mila, gadis itu terus menghidupkan enjin kereta dan berlalu dari situ. Mila memegang erat stering kereta sambil memusatkan pandangannya pada jalanraya. Dalam hatinya masih lagi tertanya-tanya, apakah motif sebenar Zul mengenyitkan matanya pada dia? Tak pernah dia lihat Zul berbuat demikian padanya. “Eh Mila, kawan kau tadi best lah. Aku suka borak dengan dia. Nampak cool ajer,” kata Suria sambil tersengih. “Aku dah cakap kat kau. Kau tak caya”. “Ye lah, ye lah. Aku ajer yang kena. Tapi dia tak handsomelah. Hmm..kalau dia handsome kan, sure ramai awek lain himpit dia kan Mila?” ujar Suria lagi. Mila hanya mengangkat bahu saja sambil mencebikkan mukanya tanda protes. “Eh Mila, dia single lagi tak? Aku rasa aku dah berkenan lah kat mamat tu,” usik Suria lagi. “Manalah aku tahu Su. Kenapa kau tak tanya dia tadi?” tempelak Mila. Jauh di sudut hatinya, dia berharap tiada wanita yang datang bertakhta di hati Zul.
Sejalur Sinar di Ufuk Timur (3)
Kak Long mengatur langkahnya cermat sebaik sahaja dia keluar dari bank Bumiputera-Commerce. Matanya sentiasa melihat ke hadapan, tampak penuh keyakinan di dada. Sedang dia melangkah menuju ke arah pintu keluar dari bangunan KLCC, Kak Long terserempak dengan seseorang yang dia sudah lama tidak ketemu. “Eh Kak Long! Kak Long buat apa di sini?” tegur Nora mesra. Kak Long menghulurkan tangannya dan Nora menyambut salam Kak Long dengan erat sekali. Mereka berpelukan sebentar. “Kak Long baru keluar dari bank tadi. Saja Kak Long nak tengok berapa simpanan dalam bank,” jelas Kak Long sambil menjeling ke arah pemuda yang berdiri di sebelah Nora. “Oh, sebelum Nora lupa kak! Kenalkan Ahmad Shariza, tunang Nora,” kata Nora sambil melirikkan pandangannya pada tunang tersayang. Kak Long hanya menganggukkan kepalanya dan tersenyum di situ. “Eh, janganlah tercegat di sini saja. Jom kita pergi food court kat tingkat 3 sana. Boleh kita bual panjang lagi,” cadang Kak Long.

Mereka bertiga berjalan beriringan menuju ke Medan Selera di tingkat tiga Grand Suria Mall. Masing-masing seronok menceritakan perihal diri masing-masing sejak pertemuan terakhir mereka kira-kira empat tahun yang lalu. Kak Long juga tidak lupa mengkhabarkan pada Nora yang adiknya, Zul, sudah pun menamatkan pengajiannya di Amerika. Dalam hatinya sekoyong-koyong datang perasaan sedih apabila melihatkan kemesraan yang wujud di antara Nora dan tunangnya. Kasihan Alang, menanti bulan yang takkan jatuh ke ribaan, desis hatinya.

“Zul masih single lagi ke kak?” tanya Nora. Kak Long menganggukkan saja kepalanya tanda jawapan positif. Nora terdiam sebentar. “Emm…Kak Long dah kahwin ke belum ni? Zul pun dah tamat belajar kan. Adik bungsu Kak Long, si Nani tu pun agaknya dah besar dah sekarang ni,” ujar Nora lagi, seolah-olah cuba mengalihkan perhatiannya ke topik yang lain. Kak Long merenung sinar mata Nora, seakan-akan cuba menafsirkan apakah ada sambungannya pada soalan yang pertama tadi. Dia menghela nafas yang panjang. “Kak Long belum ada kesempatan lagi Nora nak cari calon untuk diri sendiri. Sibuk jaga urusan keluarga. Kerja di pejabat pun berlambak. Tak apa, kalau ada jodoh tak ke mana, lambat laun kahwin juga. Betul tak Nora?”, jelasnya dengan berseloroh bersahaja. Kedua-duanya tertawa kecil di situ.

Banyak sebenarnya kisah rahsia yang terselit di balik kemesraan mereka berdua. Kak Long mengenali Nora terlebih awal dari adiknya mengenali gadis itu. Nina. kakak kepada Nora adalah teman serumahnya ketika dia menuntut di bumi England dulu. Biarpun dia tidaklah mengenali secara rapat diri Nora, namun sedikit sebanyak dia beroleh juga kisahnya apabila tiap kali Nina mendapat kiriman surat dari Malaysia. Pernah satu ketika Nina memakluminya yang adiknya mempunyai peminat di kolej. Tapi sayangnya, adiknya tak pernah menaruh perasaan yang sama pada pemuda itu. Yang merunsingkan adiknya apabila pemuda itu begitu bersungguh-sungguh memenangi hatinya sedangkan dia hanya menganggap pemuda itu sekadar teman biasa. Nina cuba mendapat khidmat nasihat Kak Long bagaimana untuk mengatasi masalah adiknya itu. Pada waktu itu Kak Long sedikit pun tidak menyangka yang pemuda yang dimaksudkan itu adalah adiknya sendiri sehinggalah dia mendapat panggilan telefon dari Malaysia.

“Kak Long, Alang kecewa sungguh dengan dia!”.

“Laaa…kenapa ni Alang? Kecewa dengan siapa ni?”, soal Kak Long. Zul mengeluh panjang, sugul saja kedengarannya. “Zul rasa kak, Zul dah jatuh cinta dengan si minah ni. Zul dah buat macam-macam kak. I mean, literally, I did so many things to win her heart,” jelas Zul. Sekali lagi, nada suaranya murung sekali. “Zul tak pernah rasa macam ni kak. Demi Allah, Zul tak pernah rasa macam ni,” begitulah luahan hati adiknya. Kak Long merasa serba salah sekali. Apa yang harus aku katakan padanya, bisik hatinya. “Alang dah luahkan ke perasaan Alang pada dia? Alang dah merisik ke budak pompuan tu sebelum masuk line?” tanya Kak Long lembut. Dia bimbang sekiranya soalan-soalannya mengeruhkan lagi suasana hati Zul yang gundah itu. Pelik dia akan keadaan emosi adiknya itu. Jarang sekali Zul menunjukkan emosinya pada perempuan. Dia sedar yang adiknya punya cita-cita yang tinggi dan jarang sekali memberi perhatian pada perkara-perkara remeh sebegini. Jiwa kentalnya jarang sekali mengambil pusing tentang soal cinta duniawi apatah lagi ingin merebut hati seorang wanita. Apabila ditanyakan tentang soal cinta remajanya, sering saja Zul mengelak dan mencebikkan mukanya.

“Zul dah usha dah minah tu. Zul dah selidik dah latarbelakang keluarganya. Zul tahu dia masih lagi single kak. Kenapa dia tak mahu terima Zul, kak? Apa kurangnya Zul ni? Apa lagi yang dia mahu Zul buat untuk dia?” soal Zul bertalu-talu pada kakaknya mohon simpati dan mohon pengertian. Kak Long mati akal sebentar. “Dik, cinta bukan boleh dipaksa. Kak Long pasti ramai lagi perempuan di kolej Zul tu. Mesti ada yang lagi hebat dari dia, lagi canggih dari dia bahkan lagi lawa dari dia,” terang Kak Long. “Tapi kak, Zul tak mahu orang lain. Zul nak dia juga. Dialah yang paling baik di mata Zul, dialah yang paling lawa di mata Zul. Zul tak pernah rasa cinta kak, tapi Zul yakin dialah cinta hati Zul,” balas Zul keras. Sejurus selepas itu kedengaran di corong telefon suara Zul yang tertahan-tahan, tersedu menahan air mata dari tertumpah dari pelupuk matanya. Kali ini Kak Long tewas. Kak Long tak mampu berkata apa-apa lagi untuk menenangkan hati adiknya yang rawan. Hati Kak Long tertanya-tanya, apakah kehebatannya gadis bernama Nora ini hingga membuatkan jiwa jantan adiknya longlai sama sekali. Kedua-duanya terdiam buat seketika.

“Alang, Kak Long memang betul-betul tak tahu macam mana lagi nak redakan hati Alang. Tapi Kak Long yakin setiap yang berlaku ni, mesti ada hikmahnya yang kita tak nampak. Alang, Kak Long ni orang perempuan. Kak Long tahu hati perempuan ni macam mana. Kalau hati dah berkata tidak, maka tidaklah jawapannya. Tak guna lagi dipujuk-pujuk lagi. Kalau betul Zul rasa hati Zul kuat padanya, Zul biarkan saja dia pergi dari Zul. Lambat laun dia akan kembali juga kalau takdir Allah menentukan. Jangan biarkan emosi menguasai dirimu. Bukankah papa pernah pesan dulu, hati yang lemah akan mudah dikuasai syaitan?” lembut saja Kak Long menuturkan katanya. Zul masih lagi bungkam di hujung talian sana. Kedengaran lagi bunyi kesatan air mata di pipi adiknya. “Adik dengar tak cakap Kak Long ni?” soalnya lagi. “Ya kak, Zul dengar ni”, balas Zul lemah.

Begitulah perbualannya dengan Zul suatu ketika dahulu. Mujur saja adiknya masih lagi waras untuk mengawal emosinya ketika itu. Kalau tidak, Kak Long sendiri tidak tahu apakah yang akan dilakukan oleh adiknya itu. Seminggu selepas dia mendapat panggilan telefon dari Zul, Nina teman serumahnya memaklumkan padanya yang masalah Nora telah pun selesai. Pemuda yang tergila-gilakan adiknya sudah pun berhenti daripada berkomunikasi dengan adiknya. Walaupun itu bukanlah satu petunjuk yang terbaik, tapi sudah cukup untuk melegakan hati adiknya. Terpacul dari mulut Nina menyebutkan nama adiknya, Nora pada Kak Long. Kak Long terpaku seketika. Nora, bukan ke nama itu yang Zul sebutkan dulu, bisik hatinya. Setelah dia bertanyakan dengan lebih lanjut tentang perihal adik Nina, barulah dia ketahui yang Nora yang dimaksudkan oleh Zul adalah adik kepada si Nina. Subhanallah, kecil sangat bumi tuhan ini. Nina sendiri terkejut apabila mengetahui pemuda yang menggilai adiknya adalah adik kepada
Zulaika, teman serumahnya itu. Ketika itu dia merasa malu yang teramat sangat. Berkali-kali dia meminta maaf pada Zulaika akan peristiwa yang terjadi di antara adiknya dan juga adik Zulaika. Sungguh-sungguh dia tak menyangka sama sekali begini kesudahannya.

“Amboi Kak Long, lama termenung tu! Teringat siapalah tu ya?” tegur Nora. Kak Long tersedar dari lamunannya. Kemerah-merahan pipinya menahan perasaan malu. “Tak ada apa-apalah Nora. Tiba-tiba kenangan lalu mengusik jiwa,” ujarnya selamba. Kak Long tersengih sebentar.

Nora dan tunangnya memohon diri untuk berlalu dari situ. Katanya mereka ada urusan yang hendak diselesaikan. Sebaik sahaja mereka menghabiskan minuman masing-masing, mereka berdua berlalu dari situ. Sempat juga Kak Long minta Nora menyampaikan salamnya pada Nina. Nora juga mohon Kak Long menitipkan salamnya pada Zul. Kak Long kembali tersandar semula di kerusinya. Melepaskan keluhan yang panjang. Terlalu banyak kebetulan yang terjadi dalam hidup keluarganya. Apakah ini sememangnya kebetulan atau suratan ketetapanNya, dia sendiri tidak mengetahuinya. Namun jauh di sudut hatinya dia memanjatkan doa agar adiknya sentiasa tabah dan semoga hidup Nora dilimpahkan kebahagian berpanjangan.

***************************************************

Perjalanan ini terasa menyedihkan
Sayang engkau tak duduk di sampingku kawan
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering berbatuan..oh
Tubuhku tergoncang dihempas batu jalanan
Hati tergetar menampak kering kerumputan
Perjalanan ini seperti jadi saksi
Gembala kecil menangis sedih
Kawan coba dengar apa jawapnya
Ketika ia kutanya mengapa
Bapak ibunya telah lama mati
Ditelan bencana tanah ini
Sesampainya di laut,, kukhabarkan semua
Kepada karang kepada ombak kepada matahari
Tetapi semua diam, tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri terpaku menatap langit
Barangkali di sana ada jawapnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana
Mungkin tuhan mulai bosan melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa dosa
Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang

Syahdu sekali lagu ini ya, getus hati Zul. Dia begitu khayal sekali menghayati tiap baris seni kata lagu nyanyian M Nasir dan Ebiet G Ade. Kedua-duanya adalah penyanyi pujaan Zul. Tak hairanlah dia mudah tenggelam dengan melodi indah dan juga senikata yang penuh makna hasil gurindam kedua-dua penyanyi yang tersohor itu. Sedang asyik sekali dia menikmati lagu Berita dari Kawan, telefonnya berbunyi meminta perhatian. Aduh kacau betullah ni, orang baru nak merehatkan kepala, gerutunya sendirian.

“Hello, boleh saya bercakap dengan Encik Zulhariq Mohamad”. “Ya, bercakap di sini,” balas Zul tenang. “Saya buat panggilan ni dari Kedai Ubat Ah Seng, Jalan Ipoh. Kami dimaklumkan yang Encik Zulhariq ada membuat tempahan Ubat Tongkat Ali, makjun tenaga batin dari kami,” kedengaran lagi suara pemanggil itu. Dahi Zul mula berkerut. “Eh, saya tak pernah buat order tu. Kedai Ubat Ah Seng pun saya tak pernah dengar namanya. Awak silap orang kot,” jelas Zul bersungguh-sungguh. Tetiba suara pemanggil bertukar kepada gelak ketawa. Berdekah-dekah sekali ketawanya. “Woi! Ini aku lah, Fizzah,” gelaknya tak berkeputusan. “Fizzah? Fizzah mana? Ohhh..Hafiz Zahri. Celaka kau kenakan aku ya?!” kali ini giliran Zul pula yang ketawa besar. “Mana kau dapat nombor telefon pejabat aku ni?” soal Zul termengah-mengah menahan diri dari tertawa lagi. Fizzah atau nama sebenarnya Muhd Hafiz Zahri, temannya di sekolah menengah dulu menjelaskan yang dia mendapat nombor telefon ini dari teman yang lain. Sudah lama dia cuba mencari jalan untuk menghubungi Zul tapi baru kini berjumpa masa yang sesuai.

“Yo Fizzah, sorry lah aku tak boleh bercakap lama dengan kau. Aku sebenarnya ada kerja ni. Apa kata kalau kita jumpa hujung minggu ni?” cadang Zul. “Okay, aku setuju. Aku pun sebenarnya lama dah nak sembang-sembang dengan kau ni. Dengar cerita banyak kisah sensasi pasal kau sekarang eh?” usik Fizzah. Zul hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menidakkan soalan itu. Selepas itu mereka memutuskan tempat dan waktu untuk bertemu, Zul meletakkan gagang telefonnya kembali. Dia tersengih sendiri. Kau Fizzah memang tak pernah hilang minat kau nak kenakan aku ya, kata Zul lagi sambil menggeleng-gelengkan kepalanya lagi. Alamak dah jam 6.30 petang ni tapi laporan data analisis belum siap lagi. Matilah aku kali ni! Zul kembali memusatkan fikirannya pada tugasan yang belum diselesaikan lagi. Dia berazam untuk menyiapkan laporan itu sebelum dia pulang ke rumah malam ini.

Friday, January 09, 2004

Sejalur Sinar di Ufuk Timur (2)
“Alang, Angah, Nani…mari makan nih! Nasi dah terhidang!” kak long menjerit dari dapur. Dia cekap mengaturkan pinggan di atas meja makan. Mummy pula sibuk menyudu kuah masak lemak cili padi ke dalam mangkuk untuk dihidangkan di meja makan. Papa masih berada di hadapan televisyen, memerhatikan tiap butir yang diterangkan oleh pembaca berita di Bulletin Utama siaran TV3.

“Eh Ngah, jom ler turun makan. Kak Long dah teriak tuh,” ujar Zul. Angah kebetulan pula baru selesai mandi. “Eh ya Allah, aku baru lepas mandi nih. Kau pergi turun dulu lah. Ajak si Nani sekali. Leka sangat dia main komputer tu,” juih Angah pada adik bungsunya. Tak berkelip mata Nani menatap skrin komputer. Sedang khusyuk benar agaknya ‘chatting’ dengan teman online. Zul mencuit bahu Nani, “Nie, jom ikut Alang turun bawah tuh. Kak Long ajak makan,” tegurnya lembut. Nani segera mematikan komputer dan mengikut abang alangnya turun ke bawah.

Setelah selesai makan malam bersama mereka semuanya terus mendirikan solat isyak berjemaah. Papa seperti lazimnya mengimami solat isyak. Sekiranya papa tiada, Angah akan mengambil alih tempat papa dan sekiranya Angah juga tiada, Zul pula yang akan mengisi kekosongan itu. Begitulah kira-kiranya aturan tugasan imam dalam keluarga mereka seperti mana yang telah disyariatkan dalam agama.

Papa selalu berpesan pada anak-anaknya supaya jangan meninggalkan solat berjemaah. Bagi papa, solat jemaah adalah kunci kekuatan dan keharmonian keluarga. Kalau solat berjemaah tidak diamalkan, maka ranaplah kekuatan institusi baitul muslim jelas papa. Mereka adik-beradik hanya diam sahaja apabila papa menyampaikan tazkirahnya setiap kali tamat membaca doa selepas solat isyak berjemaah.

Zul selalu menyimpan rasa kagumnya pada papa kerana cermatnya papa menjaga soal agama dalam keluarga. Papa bukanlah berpendidikan tinggi sangat, cuma sekadar mempunyai sijil persekolahan dari Sekolah Pertukangan yang kini sama taraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional. Tapi papa sangat-sangat menekankan soal pendidikan dalam keluarganya. Dia sedar pendidikanlah yang menjadi kunci bagi segalanya, baik untuk dunia mahupun untuk akhirat. Pernah satu ketika dulu papa berpesan pada Zul sewaktu dalam perjalanan pulang menghantar Kak Long di sekolah berasrama di utara tanahair, “Kau belajar rajin-rajin Zul. Papa ni tak ada harta nak wariskan pada kau bila papa mati nanti. Kaulah harapan kami untuk jaga si Nani bila kami dah tak ada nanti”. Waktu itu Zul masih lagi kecil, masih lagi bersekolah dalam darjah 6. Dia sendiri tidak mengerti sangat apa yang papa katakan tapi pesanan papa itu masih segar lagi dalam ingatannya walaupun ianya disampaikan padanya kira-kira 12 tahun yang lalu.

Pesanan itulah yang menjadi keramat baginya, menjadi bekalan emosinya ketika dia menghadapi susah senang merantau di negara orang. Bermacam-macam kisah kesukaan dan kisah kedukaan yang terjadi pada Zul ketika dia menuntut di bumi Amerika. Jarang sekali pula dia bersungut pada papa tentang kesusahannya melainkan hanya bercerita tentang betapa seronoknya dia menjalani kehidupan di sana. Zul masih teringat lagi kenangan pahitnya semasa dia bergelar pelajar tahun pertama. Emosinya begitu tertekan apabila berjauhan dengan keluarga. Tambahan lagi prestasi akademiknya merosot kerana tekanan emosi yang menimpa diri. Fikirannya sangat kusut ketika itu. Baginya, jalan terakhir untuk menyelesaikan semua masalah yang menimpa diri adalah dengan pulang saja ke tanahair. Tapi dia malu! Dia malu untuk bercerita pada papa tentang keadaan dirinya kerana dia tidak mahu menghampakan harapan papa. Apatah lagi sekiranya dia menceritakan masalahnya itu pada mana-mana ahli keluarganya, sudah pasti lambat-laun papa akan ketahui akan masalahnya.

Akhirnya Zul tidak tertahan lagi menanggung derita emosinya lalu dia membuat keputusan drastik dengan menarik diri dari semester akademik. Tindakannya yang mendadak itu menyebabkan dia dipanggil oleh Dekan Akademik dalam Fakulti Kejuruteraan. Selepas dipujuk oleh dekan untuk meluahkan segala-galanya padanya, barulah Zul menceritakan semua masalah yang dihadapinya. Zul menangis tersedu-sedan di hadapan dekan tanpa rasa segan dan silu lagi. Mujurlah dekan seorang yang memahami akan situasinya. Dia sendiri seorang ibu dan dia juga pernah menuntut jauh di luar negara tempat kelahirannya. Pastinya dia amat memahami keadaan anak muda ini. Dia kagum dengan keutuhan semangat anak muda kelahiran bumi Malaysia ini. Pada pandangannya, pemuda ini sebenarnya sangat yakin pada diri sendiri sedangkan diri sendiri dibelenggu masalah emosi yang teramat sangat.

“I am sure you can overcome these problems. You’re strong young man. You prove to yourself that you’re not easily defeated. See, how far have you gone now? If I were you, I am pretty sure I packed my stuffs and go home. But you’re still here Zul. That proves something to me!”.

Zul hanya mengangguk lemah. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia menitiskan air mata. Entah di mana silunya lagi. Tapi satu perkara yang pasti, dia berasa amat lega sekali selepas meluahkan segala isi hatinya pada dekan. Nasihat dekan disemat rapat dalam hatinya. Setelah itu dia mampu menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya bebanan emosinya dapat dihilangkan dan dia mula tampak yakin mengintai masa depan.

******************************************************

“Cikgu Nora, saya nak berjumpa dengan cikgu di pejabat saya dalam masa 15 minit dari sekarang”.
“Baik Tuan Haji. Tuan Haji, ada apa-apa hal pentingkah?,” soal Nora dalam nada yang tertanya-tanya.

Dadanya tiba-tiba rasa berdebar. Apalah pulak salah aku ni, ngomelnya sendirian. Nora melangkah cepat ke pejabat Tuan Haji Rosli, pengetua Sekolah Alam Shah. Dia merasakan setiap langkahnya menghampiri pejabat pengetua, semakin kuat degupan jantungnya. Kenapalah aku nak rasa bersalah kalau aku tak buat salah apa apa, hatinya berbisik lagi.

“Haa..kenapa tercegat lagi di situ Cikgu Nora. Masuklah ke dalam,” jemput Tuan Haji Rosli mesra tapi sayang wajahnya masih lagi kelihatan serius yang teramat sangat. Nora pun duduk tegak di hadapannya. Dahi Nora berkerut-kerut memikirkan apa yang akan terkeluar dari mulut pengetua. Tuan Haji Rosli masih lagi menyemak-nyemak fail-fail yang bertaburan di atas mejanya.

“Macam ni Cikgu Nora, saya dah baca cikgu punya laporan pasal kegiatan ko-kurikulum sekolah ni. Memang menarik proposal cikgu tu tapi ada masalah sikit pasal budget,” ujar Tuan Haji. Dia merenung kembali fail laporan kegiatan ko-kurikulum di hadapannya. Berteleku sebentar dan hal ini membuatkan Nora semakin gelisah. “Beginilah cikgu, biar saya bawakan cadangan cikgu pada panel PIBG sekolah dan juga pada alumni. Barangkali mereka dapat membantu usaha cikgu. Saya faham cikgu mahu lakukan yang terbaik pada sekolah ini dan insya Allah, saya juga ingin membantu,” tegas Tuan Haji lagi. Kini barulah Nora tahu kenapa tujuannya dia dipanggil ke pejabat. Dia mampu menarik nafas lega “Tuan Haji ni buat saya cuak ajer. Ingatkan panggil saya sebab nak marah marah ke, atau nak bagitau saya yang saya ada buat salah ke,” Nora tidak dapat menahan diri dari tergelak kecil di depan pengetua. Pengetua hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. “Walaupun saya ni nampak serius, tapi bukanlah bermakna saya asyik nak makan orang ajer kerjanya,” tingkah Tuan Haji. “Baik Tuan Haji, saya faham maksud Tuan Haji,” balas Nora.

Nora pulang awal dari sekolah hari ini. Seharian dia asyik tersenyum mengenangkan peristiwa di pejabat pengetua pagi tadi. Ain, teman serumah Nora turut terasa kelainan pada kawannya hari ini. “Aihhh Cik Nora, awat hang sakan senyum hari ni? Menang loteri ka?” selorohnya. “Tak lah Ain, aku rasa happy la hari ni. Proposal aku dah diterima. Penat aku perah otak ni untuk buat proposal tuh,” balas Nora sambil mengukir senyum di bibirnya. “Oh yek? Kalau camtu, jom aku belanja kau makan kat luar hari ini. Kita celebrate kau punya proposal tuh, ok?,” ujar Ain. Kopaklah poket aku hari ni, bisik Ain dalam hati.

“Haa Nora, sebelum aku terlupa baik aku cakap awal-awal pada kau. Tadi tengahari mak kau telefon. Dia sampaikan salam dia pada kau. Mak kau ada cakap something, katanya ada kawan kau telefon dari KL,” beritahu Ain. Nora terdiam. Dahinyer berkerut-kerut cuba memikirkan siapa yang menelefon rumahnya. “Hmm, tak apalah Ain. Nanti aku call semula mak aku. Tapi apa-apa pun, janji kau mesti dipenuhi. Aku nak kau belanja aku makan nasi goreng pataya kat Taman Tenaga tu!!” tegas Nora, dengan gaya menunjukkan arah ke kedai makan. Mereka berdua tiba-tiba ketawa serentak memecahkan kesunyian malam itu. “Aku dah agak dah. Mesti kedai Pakcik Mat tu jugak yang kau tuju!” sambung Ain. .

Nora dan Ain sudah lama berkawan sejak dari zaman kolej lagi. Kebetulan mereka masing-masing mempunya mengikuti kursus yang sama cuma kelas-kelas saja yang berbeza. Agaknya sudah betah dengan perangai masing-masing, mereka terus mengekalkan persahabatan mereka hingga selepas tamat bergelar mahasiswi IPTA. Pengalaman 4 tahun hidup bersama Nora ketika di PPP dahulu sudah cukup membuatkan Ain kenal hati budi dan tingkah laku Nora. Bagi diri Ain, Nora tak ubah seperti saudara kandungnya. Susah senang ditanggung bersama, rahsia peribadi dikongsi bersama. Sesiapa pun pasti akan mengasihi Nora sekiranya dia kenal hati budi wanita bernama Noraisyah ini.

“Ain, kau ingat lagi pada Zul tak?”.
“Zul mana ni Nora? Banyak sangatlah orang nama Zul yang aku kenal ni,” balas Ain. Tangannya masih lagi lincah menyudu nasi ke dalam mulutnya. “Eh Nora, sedapnya nasi goreng pataya ni kan. Yum yum..ishh sedap tak ingatnya lah!” ngomel Ain sendirian. Nora masih lagi tak berpuas hati dengan reaksi Ain.

“Alah, mamat yang sama-sama dengan kita dalam Kelab Silat di PPP dulu. Tak ingat ke?” soal Nora lagi. “Oh, ingat-ingat! Dia yang cuba nak mengurat kau dulu kan? Tapi kau jual mahal pada dia,” cebik Ain. “Kesian Zul tu aku rasa. Aku tahu dia suka kat kau gila-gila,” tambahnya lagi. Nora hanya terdiam saja. “Hmm..yang dah lepas tu biarlah lepas Ain. Sebenarnya tadi aku call mak aku, dia kata Zul yang telefon dari KL. Mamat tu dah balik dari Amerika,” jelas Nora. Ain tercengang di situ. “Aik, ingat lagi dia pada kau ek? Aku ingat dia dah lupakan kau!” soalnya. Nora hanya mengangguk. Dia sendiri kurang pasti mengapa pemuda itu kembali mencari dirinya. Aku tak mahu lukakan hati kau lagi Zul, bisiknya sendirian sambil merenung jauh. Terbayang-bayang lagi kali terakhir dia melihat wajah Zul di KLIA 4 tahun dulu. Terngiang-ngiang lagi kata-kata terakhir Zul di telinganya ketika itu.

Selera makan Nora terhenti tiba-tiba. Matanya berkaca-kaca. Aku benci setiap kali perasaan ini datang. Sudahlah, kenapa aku yang mesti menanggung rasa bersalah? Bukan aku pun yang tergila-gila pada dia. Bukan aku yang tak mahu terima kasihnya cuma masanya saja yang belum sesuai. Bertubi-tubi soalan bernada penyesalan datang mengisi hati Nora. Sudunya masih lagi menguis-nguis nasi goreng di hadapannya. Setitik air mata akhirnya tumpah ke atas nasi goreng pattaya kegemaran Nora.

“Eh Nora, kau menangis ke? Eh, sorry lah kalau aku kecikkan hati kau. Aku tak bermaksud macam tu pun!” , Ain mula menggelabah melihatkan keadaan kawannya. “Ya Allah janganlah tumpah air mata di sini. Nasi goreng pattaya tu dah sedap dah walaupun tak campur air mata kau. Haa…nanti brader-brader motor kat depan tu nampak kau macam ni, jatuhlah saham wei!” pujuk Ain sambil cuba berlawak. Nora dengan segera mengesat air mata di pelupuknya. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, takut-takut ada orang di warung itu nampak dia menitiskan air matanya. Bermacam-macam perasaannya ketika itu. Malu, sesal, sebak, semuanya bercampur baur. Nora jarang begini sebenarnya. Dia wanita tabah dengan kehidupannya. Jarang sekali dia menitiskan air matanya. Cuma apabila terkenangkan peristiwa itu, dia menjadi cukup sensitif sekali.

“Ain, jom baliklah. Aku dah tak ada selera nak makan lagi. Kita bungkus sajalah nasi ni ya,” pinta Nora. Ain mengangguk lemah. Ikut kau lah Nora, janji kau tak menangis lagi, desis hati Ain dalam diam.

Thursday, January 08, 2004

Sejalur Sinar di Ufuk Timur (1)

Bab 1 : Kepulangan Yang Dinanti

“This is the final boarding call for flight MH90 to Kuala Lumpur. All passengers please be at Gate A9 for boarding”.

Aha, itu panggilan untuk aku, bisik hatinya sendirian. Segera pemuda itu memperkemaskan beg galas di bahunya dan bergerak ke Gate A9. Langkahnya tenang dan teratur. Riak mukanya juga jelas menunjukkan dia berkeyakinan tinggi menyusun perjalanan. Sambil tersenyum kepada pramugari di pintu Gate A9, dia menghulurkan tiketnya dan juga pasport merah. Sebaik sahaja dia selesai mengesahkan identiti diri, dia meneruskan langkahnya ke perut kapal terbang Boeing 777 milik Penerbangan Malaysia untuk kembali ke pangkuan tanahair Malaysia.

Selesa melabuhkan punggungnya di kerusi, dia segera mengeluarkan iPod dan disumbatkan earphone ke telinganya.

“I am sorry sir, you’re not allowed to turn on any electronic device until we take off. I hope you do understand that this is the standard in-flight regulation,” tegur pramugari MAS. Matanya tidak berkelip menatap pemuda itu.

“Oh, I am sorry. Sure I’ll keep this in my pocket here,” balasnya sambil mengukirkan senyuman kelat di bibir. Ada – ada saja pramugari ni, bentak hatinya. Tiba-tiba hatinya terasa sebal. Dia lemparkan pandangannya ke luar tingkap. Fikirannya sekoyong-koyong melayang ke memori lama kira-kira 4 tahun dulu.

**********************************************************

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang – 11 Ogos 1998.

“Papa, Mummy, Alang minta maaf zahir dan batin ya! Alang nak berlepas ke Amerika dah ni. Alang minta sangat-sangat papa dan mummy doakan keselamatan Alang di sana nanti. Jangan lupa doakan Alang berjaya sentiasa ya?”, ujar Zul lembut sambil mencium kedua tangan ibu dan ayahnya. Dia sedar pemergiannya ke Amerika adalah untuk meneruskan cita-citanya. Sejak dari bangku sekolah menengah lagi dia mengimpikan untuk melanjutkan pelajaran di sana. Dan kini dia beroleh peluang untuk menyempurnakan hajat di hati. Takkan aku sia-siakan peluang ini, bisik hati Zul.

Pelupuk mata Zul sudah basah dengan air mata. Hatinya sayu memandang wajah tua papa dan mummy. Air mata mummy sudah terlebih dahulu gugur di atas bahu Zul. Mummy peluk Zul erat-erat. Kak Long terpaksa menenangkan mummy. Papa pula nampak lebih tenang. Barangkali dia sudah mempersiapkan diri menghadapi saat-saat ini. Tambahan pula papa seakan sudah terbiasa dengan keadaan begini sementelah Kak Long juga pernah pergi menuntut ilmu di England tiga tahun dahulu. Bahu Alang mula terhenjut-henjut. Sedu-sedannya bertambah-tambah apabila lebih-lebih lagi mengenangkan yang dia akan berpisah dengan keluarganya untuk tempoh empat tahun. Kak Long, Angah dan Nani akan ditinggalkan.

“Zul!” tegur suara halus dari belakang. Angah menepuk bahu Zul lantas meleraikan lamunanya singkatnya. “Alang, ni ada kawan kau nak cakap dengan kau,” bisik Angah. Zul menoleh ke belakang dan dia terpempan. Tiba-tiba datang darah gemuruhnya menyerbu ke jantung. Terkasima!

“Hmm…aku ingat ko takkan datang ke airport Nora. Bukan ke kau kata kau ada kelas hari ini?”. Si gadis berbaju kurung berwarna merah jambu berbunga kecil itu tertunduk diam seketika. Alang merasa serba salah. Apakah dia patut meneruskan pertanyaannya? Adakah dia patut membiarkan gadis itu membisu sahaja? Perlahan-lahan Nora mengangkat wajahnya. Wajahnya kelihatan sugul, kurang bermaya dan kedua matanya bengkak.

“Aku minta maaf Zul. Aku tahu aku banyak buat salah pada kau. Aku tahu kau banyak makan hati dengan aku sepanjang kita berkenalan”. “Itu semua dah lama aku lupakan Nora. Dah lama aku maafkan kau. Kau dan aku sekarang ini tak lebih dari kawan saja. Kau pun dah ada Lan, kan?”, ujar Zul tenang. Alang pandang kedua ibu bapanya, seakan memohon belas dari mereka berdua. “Tapi Zul, aku pilih Lan pun sebab kau!” Nora pantas meningkah kata Zul. “Ah, kau takkan faham apa yang aku nak katakan. Tak apalah. Nah, ambillah hadiah ni. Aku akan doakan kau sentiasa selamat di sana,” seraya dia menghulurkan sebuah beg kertas berwarna coklat tanah. Air matanya perlahan-lahan menitis membasahi pipinya yang putih gebu. Tapi Zul masih lagi ragu-ragu untuk menerima buah tangan pemberian Nora.

“Alang, tak baik buat kawan Alang macam tu. Ambillah hadiah tu,” bisik Kak Long di telinga Zul. Zul mengangguk kecil. Beg kertas bertukar tangan. Dia sebenarnya malu. Dia malu apabila Nora hadir di hadapan orang tuanya dan menuturkan kata-kata yang sedemikian. Hanya Kak Long saja mengerti bagaimana huru-haranya perasaan Zul di kala itu. Papa dan mummy terdiam dan tertanya-tanya, siapakah Nora?

Nora mengundurkan dirinya dari hadapan Zul dan keluarganya. Hatinya pilu sekali. Dia sama sekali tidak menyangka yang dia akan membuat keputusan mengejut untuk datang ke lapangan terbang. Dia juga tidak menyangka sama sekali yang air matanya akan mengalir deras di hadapan Zul, lelaki yang pernah bermati-matian untuk memenangi hatinya. Maafkan aku Zul sebab tidak menerima cintamu, tutur hati wanitanya sendirian. Anak matanya mengekori tiap langkah terakhir Alang turun dari eskalator menuju balai berlepas. Dia nampak Zul memandangnya dengan pandangan yang penuh bermakna. Nora akhirnya tenggelam dalam sendunya. Perlahan-lahan dia merasakan dirinya didakap erat dan kedengaran sendu yang tertahan-tahan di cuping telinganya. Rupa-rupanya Kak Long yang mendakap Nora erat dan berkongsi tangisan. Kedua-duanya menangisi pemergian sementara orang yang dikasihi.

*********************************************************

“All passengers may turn on their electronic equipments. We just left the Newark International Airport and…..”

Suara lunak sang pramugari segera menyedarkan Zul dari lamunannya. Dia tersengih sendirian apabila mengenangkan peristiwa empat tahun lalu itu. Sekejap saja masa berlalu. Dia kini sudah selesai menamatkan pengajiannya di Amerika. Dia datang ke bumi Amerika dengan hati yang terluka, kini mampu mengukir senyuman puas tanda kemenangan. Menang menghadapi cubaan di bumi orang putih. Menang menghadapi liku-liku dugaan emosi yang kadang kala meruntun hatinya. Biarlah semua itu tersimpan di lipatan memorinya. Kini yang pasti, dia amat rindukan sehingga terpapar tiap wajah ahli keluarganya; papa, mummy, Kak Long, Angah, Nani dan juga sebuah wajah yang mencuri hatinya, Nora.

“Excuse me sir, would you like to have lunch now?”.

“Oh yes, sure I do. What shall we have for lunch?’.

“Emm..we have hot red saucy chicken with rice, corn pudding, and fruit for dessert”, jelas pramugari tersebut.

“Aah…lovely!” balas Zul sambil tersenyum padanya.

Sempat juga dia menjeling ke tag nama pramugari itu. Syarmila. Sedap juga nama minah ni ya, getus hatinya. Hasrat di hatinya untuk terus berbual dengan Syarmila termati apabila hidangan tengaharinya sudah siap terletak di hadapannya. “Thank you Miss Syarmila,” ucapnya ikhlas. Sebuah senyuman manis terukir di wajah Syarmila. “You’re most welcome sir!” balas Syarmila. Dia berlalu dari situ untuk meneruskan tugasnya menghidangkan menu tengahari bagi para penumpang yang lain.

Waduh, sungguh molek sekali adab wanita Melayu ini. Begitulah resam budi pekerti orang Malaysia dan lebih-lebih lagi umat Melayu. Lama sungguh aku berada di bumi mat salleh, sekali-sekala menatap wajah melayu dalam perantauan cukup buat aku kagum dengan bangsaku. Maklumlah kami dijajah lebih dari 400 tahun lamanya dan negara kami dibentuk berdasarkan citarasa penjajah namun jatidiri peribumi masih lagi utuh dijunjung oleh bangsaku, Melayu. Tapi pasti tiap yang molek itu ada kurangnya, begitulah kita resam manusia. Tapi tak mengapa, masih ada lagi ruang untuk kita memperbaiki untuk bangkit seiring dengan bangsa lain dalam dunia ini. Bak kata Perdana Menteriku dulu, perjuangan kita masih lagi belum selesai.

Zul terangguk-anguk dan khayal dalam dunia pemikirannya. Tenggelam segala deria rasa apabila dia memusatkan pemikirannya pada falsafah hidupnya. Memang sungguh tempoh 4 tahun berada di bumi Amerika menukarkan dia kepada manusia baru. Punyai jatidiri yang lebih kental, punyai matlamat hidup yang lebih teguh dan juga punyai keyakinan yang lebih tinggi dari sebelumnya. Cuma kini dia agak gusar, nasib apakah seterusnya yang bakal dia hadapi setiba di bumi pertiwinya, Malaysia. Apakah Malaysia sudah banyak berubah? Apakah Kuala Lumpur masih lagi kekal dengan suasana yang hingar-bingar? Adakah manusia di kota itu kekal dengan santunnya atau pun semuanya sudah beralih ke biadab budaya Barat?

Tuesday, January 06, 2004

Assalamualaikum... lama sungguh tak jenguk blog nih... mujurla tak sepi sangat. Sorila yek.... La ni tak sihat sangat. Alhamdulillah dapat gak jenguk blog tersayang nih. Hari ni baru masuk ofis...

EL: Bila start cuti semester? Mai la bangi. Jalan2 ker gi program ker ahakss...

K bahiah : Tak lama lagi nak februari... daku tetap setia menantimu... tak sabar rasanya... melihat wajah akak live...

Doakan saya cepat sembuh. Insyaallah cerpen2 baru akan menyusul. Kalau sape2 yang ade cerpen best tu, mai la anto kat kite(snor_hamka@yahoo.com).... manalah tau kot ade bakat terpendam yang sepatutnya ditonjolkan tapi takde bayaran royalti lah yer... saje suke2...

Till now.... babai... wassalam

Hasnor muahhh